Akhbar Tempatan

Madah Negarawan

Madah Negarawan

Popular Posts

Sedikit Mengenai Politik Pulau Pinang

Assalamualaikum dan salam sejahtera...



Semalam aku berborak-borak dengan seorang anggota polis yang juga merupakan jurulatih Kor SUKSIS di USM. Biasalah, bila kita berborak dengan orang yang lebih tua dan berpengalaman perbualan itu akan melencong ke bab politik. Aku tiada masalah untuk berbicara mengenai politik, dah memang kursus pengajianku di universiti ialah Sains Politik tetapi lebih baik ambil pendekatan mendengar dan memahami apa yang cuba beliau sampaikan selepas itu barulah kita memberi sedikit komen.


Politik Pulau Pinang nampaknya semakin menarik sejak pentadbirannya diambil alih oleh DAP. Jika ada anugerah Ketua Menteri paling popular, aku yakin dia boleh menang. Siapa lagi kalau bukan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang sentiasa menghangatkan dunia politik dengan pelbagai isu dan kontroversi.


Terkini, 1Malaysia tahu dia disiasat dan mungkin dikenakan hukuman di bawah Akta Hasutan jika disabitkan kesalahan. Gara-gara cakap tanpa berfikir, inilah jadinya. Dia mengeluarkan kenyataan bahawa Teoh Beng Hock mati dibunuh. Kenyataannya itu berbaur hasutan yang menuduh bahawa kematian Beng Hock itu akibat agenda politik pihak kerajaan. Rasanya dia tidak layak untuk melabelkan kes itu sebagai kes bunuh, sedangkan siasatan dan inkues kematiannya masih berjalan. Mahkamah sendiri masih belum mengeluarkan keputusan. Jadi pengajarannya janganlah kita memandai-mandai. Selepas itu, ada pula seorang Ahli Parlimen DAP yang mendesak PDRM agar menghentikan siasatan terhadap Guan Eng di bawah Akta Hasutan. Pelik...siapa dia nak memberi arahan kepada PDRM? Sudah cukup berkuasa dan hebat kot sehinggakan tindakannya itu dilihat seperti mengugut PDRM supaya menghentikan siasatan tersebut...macam-macam dunia politik...


Itu berkaitan parti pembangkang...sekadar mencuit sedikit pihak di sebelah sana. Sekarang aku nak cuit sedikit parti kerajaan pula. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta supaya jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang diserahkan kepada UMNO kerana hanya UMNO memiliki kerusi DUN dan Parlimen di Pulau Pinang setelah perti-parti komponen BN seperti MCA, MIC dan GERAKAN kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu. Untuk rekod jawatan itu telah disandang oleh parti GERAKAN selama 35 tahun di Pulau Pinang. Itu menjadi alasan Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon untuk berkeras tidak mahu menyerahkan jawatan itu kepada UMNO dan beliau tidak mahu perkara itu berbangkit.


Isu ini dah senyap bukan? Kenapa? Orang kata ia sengaja di'silent'kan sebab tidak mahu melihat parti komponen BN (UMNO dan GERAKAN) bertelagah sesama sendiri. Tapi tidakkah kita terfikir ia ada kaitan dengan sensitiviti perkauman? UMNO sudah tentu sinonim dengan orang Melayu manakala GERAKAN pula didominasi oleh orang Cina. Berdasarkan sudut pandangan aku, orang Cina tidak mahu melepaskan 'hak dan kuasa' mereka yang telah lama memegang Pulau Pinang. Berdasarkan konsosiasional parti-parti komponen BN, Pulau Pinang sememangnya diperuntukkan kepada parti GERAKAN sejak sekian lama. Lihat sendiri keadaan Pulau Pinang, komposisi penduduknya didominasi bangsa Cina. Itu yang membuatkan mereka tidak mahu melepaskan jawatan itu kepada orang Melayu kerana mereka mempunyai kepentingan di Pulau Pinang.


Tuntutan UMNO itu mampu menggugat survival politik orang Cina di Pulau Pinang. Satu lagi penaakulan yang terlintas di fikiran, sekiranya UMNO mahukan jawatan itu, berkemungkinan besar GERAKAN akan menuntut jawatan-jawatan lain dalam kerajaan tempatan. Mungkin Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP)? atau Datuk Bandar di negeri-negeri lain, mungkin Datuk Bandar Ipoh? Sekiranya orang Cina menguasai jawatan-jawatan penting dalam kerajaan tempatan, itu lebih berharga buat mereka kerana mereka mempunyai lebih banyak kuasa dan akses memerintah Pulau Pinang dengan 'secukup rasa'. UMNO tidak mungkin mahu mengorbankan perkara sebegini hanya kerana mahu menuntut jawatan Pengerusi BN negeri semata-mata.


Jadi adakah ini menjadi penyebab isu ini tiba-tiba senyap? Nampak sengaja disilentkan kan? aku sekadar berkongsi perbincangan antara aku dan anggota polis tadi...ada kemungkinan, relevan juga apa yang dibincangkan pada hari itu. Kita sebagai rakyat masih tertanya-tanya...apa perkembangan seterusnya?
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Bukan Kisah Peribadi...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Duduk di rumah sepanjang cuti semester tanpa melayari internet adalah suatu perkara yang membuatkan aku sering tergolek-golek kebosanan di atas lantai ruang tamu sambil melihat kipas berpusing ligat di siling rumah...

Rasa lega apabila kehidupan dah kembali normal apabila menjejakkan kaki semula ke kampus. Tiada lagi rasa bosan yang amat sangat, tetapi banyak pula masalah dan cabaran semester baru sedang menanti. Rasa-rasa perlukah aku merasa bosan dengan kehidupan di universiti pula?

Buat masa ini belum lagi ada mood nak mengarang blog aku yang telah lama ditinggalkan sepi. Ini bukan kisah peribadi, cuma sekadar menambah entri. Satu perkara lagi, aku dah mula merasakan angin pilihan raya kampus sudah mula bertiup....hmm...tengoklah entri selepas ini mungkin ada kaitan dengan PRK....

TQ
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

2012: Suntikan Halus Propaganda Barat

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan...
Beberapa hari lalu saya dan beberapa teman baik menonton filem "2012". Sebuah filem yang mengisahkan bencana alam maha dahsyat yang membawa kepada tamatnya riwayat kehidupan manusia di muka bumi ini (tetapi yang menaiki bahtera ramai yang terselamat).


Penggambaran, imej, kesan khas, grafik komputer dan segala teknologi perfileman tidak dapat dinafikan kehebatannya. Sememangnya ia mengkagumkan sesiapa sahaja yang menontonnya. Berlainan pula dengan filem tempatan "Pisau Cukur" yang konon-kononnya menjalani penggambaran di atas kapal persiaran mewah, tetapi....bagi anda yang telah menontonnya, faham-faham sahajalah. Bukan niat mahu merendah-rendahkan kualiti filem tempatan, tetapi kita masih jauh ketinggalan dan tahap kita masih di tempat yang sama.


Rasanya saya hampir lari dari objektif asal tajuk entri ini. Apa yang ingin saya ceritakan ialah propaganda Barat yang sangat bijak memainkan sensitiviti masyarakat dunia hari ini tanpa kita sedari. Mungkin pengamatan saya masih kurang tajam, tetapi apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah pengamatan saya terhadap jalan cerita dan adegan yang nyata menunjukkan propaganda Barat dalam memberi interpretasi terhadap perkembangan semasa dunia global hari ini .


1) India - Mempunyai kepakaran yang hebat dalam bidang sains dan keupayannya itu dirahsiakan daripada pengetahuan awam. Filem ini menunjukkan pakar geologi, fizik dan astronomi India menjalankan kajian dan pemantauan 3300 meter di bawah permukaan muka bumi. Merekalah yang mula-mula mengesan letupan yang sangat kuat di permukaan matahari, iaitu 'neutrinos' sehingga menghasilkan 'physical reaction' terhadap Bumi. Berlakunya pergerakan plat tektonik dan pemanasan mendadak kerak bumi serta impak yang akan berlaku terhadap bumi mengikut jangkaan tempoh tertentu.


2) China - Juga diperlihatkan kehebatan mereka dalam bidang kejuruteraan dan teknologi perkomputeran apabila China mencipta, membina dan mengoperasikan 'bahtera' yang sangat besar dan canggih hanya dalam masa dua tahun (2010-2012) dengan bilangan pekerja mahir yang sangat ramai. Namun, watak seorang pekerja China, Tenzin, yang membawa ahli keluarganya dan keluarga Jackson dari Amerika Syarikat menyusup masuk ke dalam bahtera digambarkan sebagai 'perosak' dan penyebab masalah kepada operasi menyelamat umat manusia.


3) Amerika Syarikat - Sebuah negara kuasa besar yang mengetahui segala-galanya. Mereka sedaya upaya cuba menyelamatkan dunia dan manusia daripada kemusnahan tetapi gagal. Presidennya pula digambarkan sebagai seorang yang berjiwa rakyat dan tidak mahu menyelamatkan diri ke China bersama-sama para pegawainya untuk menaiki bahtera. Presiden Amerika mengambil keputusan untuk mengambil pendekatan keagamaan dan berserah kepada ketentuan takdir. Presiden Amerika turun padang berseorangan bersama-sama rakyatnya meghadapi saat-saat kematian menempuh runtuhan bangunan, debu-debu kotoran, dan akhirnya dilanggar ombak tsunami yang datang bersama kapal perang USS yang datang entah dari mana. Manakala kapten bahtera juga merupakan warga Amerika walaupun bahtera tersebut dibina oleh China. Ini menunjukkan mereka amat berkuasa.


4) Rusia - Yuri Karpov, watak bilionaire berbangsa Rusia digambarkan sebagai bangsa yang mementingkan diri dan tamak dalam adegan ketika mereka ditahan oleh penguasa China selepas pesawat mereka terhempas di pergunungan China. Dia juga mengeksploitasi Gordon yang pandai menerbangkan pesawat demi menyelamatkan diri bersama anak-anaknya. Tamara dan Shasha pula mempunyai hubungan sulit dan digambarkan sebagai tidak setia terhadap majikannya. Adegan perlawanan tinju antara petinju Rusia dan Amerika juga menggambarkan petinju Rusia itu mudah hilang fokus dan lemah semangat apabila melihat Curtis berjalan keluar dari tempat berlangsungnya perlawanan, lalu dia dikalahkan lawannya dari Amerika dengan mudah.


5) Arab Saudi - Kerajaan Saudi diangkat sebagai salah satu kerajaan yang menyumbang sejumlah wang untuk membina bahtera melalui watak 'Raja Fahd' yang agak keberatan untuk menyumbang 1 bilion dalam matawang EU, namun permintaan itu ditunaikan juga.


6) Negara kuasa besar dalam PBB - Watak-watak pemimpin negara Rusia, China, Jepun, Jerman, Perancis, Sepanyol, dan UK digambarkan sangat mulia hati dan mengambil berat nasib rakyat ketika dalam adegan pertengkaran antara Adrian dan Anheuser dalam bahtera sama ada mahu membuka pintu bahtera atau tidak kepada orang ramai. Akhirnya para pemimpin tersebut bersetuju membuka pintu bahtera supaya orang ramai boleh memasuki bahtera dan bukan hanya untuk golongan atasan.


Terakhir, fakta yang sudah tersasar jauh, jika filem ini berkisar mengenai "The end of the world" atau "The judgement day" ataupun bahasa mudahnya ialah hari kiamat, sudah tentu tidak ada manusia yang terselamat. Tetapi filem ini menunjukkan rancangan Amerika Syarikat dan usahasama China membangunkan terknologi pembinaan bahtera dapat menyelamatkan manusia daripada hari kiamat. Lebih kurang begitulah tafsiran saya...


Sudah tentu ia bercanggah dengan ajaran agama kita...


Banyak lagi mesej yang tersirat dalam filem ini, baik ada, buruk pun ada, bergantung kepada bagaimana kita menonton sambil menghayati dan berfikir apakah makna terselindung di sebalik adegan dan jalan cerita sesebuah filem Barat.


Wassalam...
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Seungkap kata...

Tamat peperiksaan, ramai yang telah melangkah keluar dari pintu pagar kampus untuk pulang ke kampung. Selamat bercuti kepada semua mahasiswa/i IPT khususnya mahasiswa/i USM tidak kiralah dari Kampus Induk Pulau Pinang, Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal mahupun Kampus Kesihatan Kubang Kerian dan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha.
Bersama kita menanti semester akan datang......
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Cantik Luaran Indah Dalaman

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan.
.
Suatu tengahari ketika berada di kafe Desasiswa Aman Damai, sahabat saya KS30069 kelihatan sedang berborak dengan seorang pelajar perempuan tahun pertama. (biasa la tu....dah memang fi'il dia). Saya juga kemudiannya mendekati mereka dan turut sama berkongsi cerita. Tapi apa yang saya nak cerita di sini bukanlah mengenai perbualan kami tu, tetapi mengenai soal penampilan dan keperibadian.
.
Pelajar tersebut bertudung labuh dan lengkap menutup keseluruhan auratnya. Kebiasaannya kita akan menilai wanita sebegini sebagai wanita yang konservatif dan sukar didekati. Berlainan pula dengan pelajar tersebut, walaupun penampilannya sebegitu tetapi dia mesra, bersahaja dan bijak menyesuaikan diri dengan individu yang berada di sekelilingnya. Sifatnya sederhana seperti pelajar-pelajar lain. Tutur kata dan bicaranya tidaklah seperti terlalu control terikut-ikut ala ustazah.
.
Apabila saya melihat gaya dan penampilannya, saya teringat peristiwa rapat umum seorang calon pro-mahasiswa pilihan raya kampus (PRK) yang lalu. Sekadar ingin berkongsi cerita...
.
Seorang calon wanita, bertudung labuh berdiri di atas pentas, dengan gaya dan penampilan yang Islamik, memulakan syarahannya dengan kalimah Allah, lantang kata-katanya untuk menaruh keyakinan para mahasiswa supaya mengundinya dalam PRK agar dia dapat berjuang dalam barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) demi membangunkan universiti selari dengan kehendak Islam.
.
Permulaan yang mengkagumkan dan saya terus memerhatikan dan mendengar syarahannya dengan teliti. Kira-kira ketika itu calon tersebut sudah ada dalam fikiran saya untuk dipangkah dalam kertas undian pada hari pengundian nanti. Sedang saya cuba menghayati syarahannya yang berapi-api itu sambil terganggu dengan gegak gempita provokasi daripada para penyokong ASPIRASI dan PRO MAHASISWA, hasrat saya itu terbatal apabila calon itu mengeluarkan statement yang tidak sepatutnya. Terdetik di hati saya, "Nak pilih pemimpin yang akan berkhidmat kepada kita, perjuangkan hak kita mestilah yang elok peribadi luaran dan dalaman, tapi dia ni menyongsang arus plak. Reject la dia ni"...
.
Tidak perlu saya nyatakan ayat-ayatnya itu di sini, tetapi kenyataannya itu memburuk-burukkan pemimpin pelajar ketika itu, menyalahkan barisan kepimpinan yang tidak mengikut tatacara ajaran Islam sebenar. Seolah-olah dirinya betul dan hebat dalam pengamalan ajaran Islam.
.
Persoalannya, dia lupa ke dia sedang berada di khalayak ramai dengan membawa nama Persatuan Mahasiswa Islam (PMI)?? Dia lupa ke dia memulakan syarahannya dengan kalimah Allah, selepas itu mengeluarkan kata-kata yang mencerca dan memburukkan orang lain? Dia lupa ke dia sedang memperagakan pakaian Muslimah sejati? Dia lupa ke dia kata mahu membangunkan universiti dengan berlandaskan Islam sebenar, tapi kata-katanya itu ternyata menafikan kembali 'hasrat murninya' itu tadi.
.
Kesimpulannya mudah, jika kita mempamerkan imej luaran yang baik, sifat dalaman juga haruslah baik. Jangan sekadar memperlihatkan kecantikan kosmetik dan jangan pula bersikap hipokrit kerana mengejar tujuan dan maksud tertentu. Apabila seseorang itu bertudung labuh secara automatik kelakuannya juga harus terbatas dan terpelihara. Itu hak mereka untuk memilih dan saya sentiasa menghormati.
Berbalik kepada pelajar wanita yang saya ceritakan di awal entri tadi, memang benar dia bertudung labuh tetapi tidaklah dia bersikap hipokrit dengan cuba berlagak seperti ustazah dan baik serba-serbi. Lebih baik bersifat neutral atau semula jadi. Jadi diri sendiri...
Tidak perlu cuba untuk terlalu menonjolkan diri kerana jika "Cantik Luaran Indah Dalaman" dengan sendirinya orang lain akan tahu perwatakan dan keperibadian kita.
Wassalam....
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Secebis Catatan Peribadi

Tarikh : 10 November 2009
Masa : 5.58 pagi
Lokasi : Atas bukit bersebelahan BHEPP

Selepas menelan sekeping roti sardin dan segelas milo panas di Restoran Khaleel, aku, ainfikri dan fauzan mendaki bukit HEP sambil menyaksikan pemandangan laut, jambatan Pulau Pinang, highway Jelutong dan binaan pencakar langit.

Tatkala hati terasa tenang menikmati kedinginan embun pagi dan ketenangan alam di suatu tempat yang menggamit panorama, kedengaran suara bilal mengalunkan azan subuh, sayup-sayup dari jauh berlagu-lagu lagi mendayu-dayu memecah kesunyian, menambahkan lagi keasyikan suasana subuh hari.

Pulang ke Desasiswa AMAN DAMAI, sempatku mengisi saf pertama surau desasiswa yang sentiasa ada jemaahnya walaupun tak ramai.

Satu permulaan yang baik apabila aku memulakan hari dengan mendengar dan menghayati laungan azan subuh di samping menikmati pemandangan indah beserta perasaan bersyukur berada di bumi Malaysia yang AMAN DAMAI.

Alhamdulillah....
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Kisah Senioriti Dalam KOR SUKSIS

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan.

Saya tergerak untuk menulis mengenai "senioriti" kerana saya rimas berhadapan dengan beberapa masalah kerana konsep ini. Ia tidak melibatkan saya, tetapi melibatkan orang di sekeliling saya yang mungkin tidak mengerti dengan mendalam keperluan konsep senioriti.

Senioriti telah lama wujud dan diamalkan di mana-mana dan dalam pelbagai organisasi terutamanya di institusi pendidikan dan badan beruniform. Saya yakin jika anda merupakan pelajar yang membesar dengan kehidupan berasrama, anda sudah faham dan lali dengan konsep senioriti.

Saya tidak mahu menyentuh mengenai senioriti di sekolah asrama kerana kita tahu ia sinonim dengan keburukan, ketidakadilan, buli, penderaan mental dan fizikal dan lain-lain. Apa yang hendak saya terangkan ialah konsep senioriti dalam unit beruniform seperti POLIS dan TENTERA. Namun, sebagai mahasiswa saya lebih mengkhususkan topik ini dalam konteks pasukan Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (KOR SUKSIS). Tujuan entri ini bagi memberi gambaran sebenar dan tujuan mengapa konsep ini wujud dan perlu dipatuhi khususnya kepada anggota KOR SUKSIS secara keseluruhan.
.
Senioriti merupakan satu konsep yang menjadi satu keperluan kerana ia berkaitan dengan soal DISIPLIN dan PENGHORMATAN kepada individu yang lebih lama berkhidmat dalam pasukan. Saya tegaskan di sini, setiap anggota yang menyertai pasukan ini harus menerima corak kehidupan dan penerapan disiplin yang telah termaktub dalam pasukan ini. Jika anda merupakan seorang junior yang baru menyertai pasukan beruniform seperti KOR SUKSIS, anda tiada hak untuk mempersoalkan mengapa wujudnya sistem senioriti. Kewajipan anda hanyalah satu, iaitu menurut dan mematuhi segala ketetapan yang ada.
.
Saya berhujah atas kapasiti sebagai seorang anggota KOR SUKSIS tahun dua. Tidak kiralah siapa kita, mempunyai pangkat atau tidak, setiap anggota tertakluk kepada disiplin dan kawalan etika. Semua anggota bermula dari bawah. Bermula sebagai junior dan akhirnya menjadi senior. Semua anggota menghadapi situasi yang sama. Setiap individu mempunyai hak untuk dihormati, tetapi penghormatan itu perlu diletakkan lebih tinggi terhadap senior dalam pasukan anda.
.
Sebagai anggota baru, anda dilatih untuk memahami konsep hormat kepada pegawai atasan dan anggota yang lebih lama berkhidmat. Tidak timbul soal BERLAGAK atau TINGGI DIRI. Pegawai dan anggota PDRM sendiri menggunapakai konsep senioriti dan mengapa kita sebagai anggota KOR SUKSIS mempersoalkannya? Perlukah kita mempertikaikan konsep ini? Siapa kita? Kita hanya PELATIH tetapi sudah PANDAI menunjuk PANDAI.
.
Saya dan rakan-rakan lain tidak menghadapi sebarang masalah untuk menerima konsep senioriti sewaktu kami mula-mula menyertai KOR SUKSIS. Tidak pula wujud penderaan atau unsur-unsur kekerasan selama kami berada dalam KOR SUKSIS. Kerana kami sedar kami hanyalah anggota baru, masih lagi dalam proses pembelajaran, hidup dalam persekitaran baru iaitu dalam pembudayaan disiplin dan ketegasan. Ini menuntut kami untuk berusaha menyesuaikan diri dengan persekitaran sebegini. Apa yang paling penting, kami menyertai KOR SUKSIS atas dasar sukarela bukan kerana terpaksa.
.
Walaubagaimanapun, konsep senioriti dalam KOR SUKSIS hari ini tidaklah berlebih-lebihan. Apa yang saya maksudkan dengan berlebih-lebihan ialah anggota senior tidaklah terlalu mengangkat diri mereka sebagai senior yang hebat dan MESTI DIHORMATI. Apa yang tersemai dalam diri kami ialah anggota senior PATUT DIHORMATI. Kami masih lagi berpegang bahawa kita masih lagi menuntut sebagai pelajar universiti dan nilai-nilai yang diterapkan dalam KOR SUKSIS hanyalah di peringkat ASAS. Untuk mencapai amalan dan tataetika secara keseluruhan dalam PDRM, masih banyak lagi yang perlu kita pelajari.
.
Setiap anggota KOR SUKSIS masih boleh bercampur gaul sesama sendiri, makan bersama, berborak dan bergelak ketawa sesama sendiri tidak kira antara junior mahupun senior. Perkara ini wujud dan perlu diteruskan. Tetapi bergantung kepada diri masing-masing bagaimana untuk menyesuaikan diri anda dengan anggota yang lebih senior, mengawal tingkah laku, serta sifat hormat perlu sentiasa ada dalam pergaulan tersebut. Harus diingatkan, setiap tingkah laku dan tindak tanduk anda harus ada batasannya. Saya tidak akan mengunakan perkataan JANGAN kerana perkataan itu berbentuk larangan. Kebiasaannya larangan itulah yang akan diingkari. Mengambil pendekatan yang berbeza, saya memandang dari sudut psikologi rangsangan iaitu dengan menggunakan istilah ELAKKAN. Elakkan daripada mencari permusuhan sesama sendiri kerana faktor itulah yang menjadikan sesuatu pasukan itu menjadi lemah.
.
Saya tidak hairan jika anda tidak mengenali senior kursus pengajian anda. Saya tidak hairan jika anda menganggap senior di blok asrama anda seperti kawan-kawan biasa. Konsep senioriti di luar unit beruniform berbeza dengan senioriti yang dipraktikkan dalam pasukan beruniform. Tanggungjawab terhadap senior perlu dilaksanakan. HORMAT. Itu sahaja. Sekali anda mempamerkan sikap buruk terhadap orang lain, nama anda juga akan buruk dalam kalangan anggota lain. Saya memberi kanyataan berdasarkan pengalaman.
.
Peringatan sudah diberikan, kini tiba tanggungjawab untuk dilunaskan.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Negara Islam Atau Sekular?

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan.

Minggu ini jadual saya agak senggang tanpa sebarang peperiksaan. Jadi beberapa hari lalu saya memaksa diri untuk mengulangkaji kursus killer SPW206-Falsafah Politik. Sedang saya membelek-belek beberapa nota yang saya perolehi dari internet, saya terpandang frasa "Negara Islam". Jadi, timbul minat saya untuk membacanya. Nota itu turut dilengkapi dengan hujah-hujah daripada tokoh pemikir politik Islam, Prof. Dr. Yusuf Qardhawi dalam kitabnya Fiqh Kenegaraan dan Al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam As-Sultaniyah mengenai kriteria, ciri-ciri dan tanggungjawab negara Islam.
.
Menarik, dan menimbulkan pertikaian dalam pemikiran saya yang mulai berserabut dan seakan-akan diracuni apabila terselit satu isu dalam nota tersebut yang mempersoalkan Adakah Malaysia Sebuah Negara Islam? Selama ini saya telah menerima dan yakin bahawa Malaysia sebuah negara Islam. Tetapi sekarang, ia telah membuatkan saya berfikir kembali setelah meneliti beberapa fakta sejarah yang dikemukakan dan penghujahan daripada tokoh-tokoh tersebut dan beberapa tokoh tempatan.
.
Namun begitu, bukan mudah bagi saya menerima bulat-bulat maklumat tersebut. Saya mengambil inisiatif untuk mencari maklumat rasmi lain yang counter pendapat tersebut bagi mendapatkan informasi yang mengukuhkan penghujahan bahawa Malaysia adalah negara Islam.
.
Jadi, saya ingin menimbulkan keraguan di ruangan ini. Anda sebagai pembaca mempunyai hak untuk menilai. Saya juga mempunyai nilai pandangan saya sendiri. Tidak perlu wujudnya pertikaian yang cenderung ke arah fahaman politik. Saya tegaskan lagi, saya TIDAK MEMERLUKAN penghujahan yang bersandarkan fahaman politik. Yakin dan percaya dengan pandangan diri sendiri dan sulaminya dengan fakta yang bersifat ilmiah.
.
Nota yang berbentuk slide show itu boleh anda lihat di link berikut: http://www.scribd.com/doc/7456298/06-Negara-Islam
.
Nota tersebut mengandungi fakta-fakta sejarah dan pandangan tokoh-tokoh tempatan yang menunjukkan Persekutuan bukanlah sebuah negara Islam, tetapi merupakan sebuah negara sekular. Selain itu, turut dimuatkan kriteria negara Islam yang telah digariskan oleh Yusuf Qardhawi, tanggungjawab negara Islam oleh Al-Mawardi dan pendefinisian negara Islam oleh beberapa tokoh Islam terkemuka.
.
Hasil bacaan anda akan membuatkan anda berfikir seketika.
.
Jika anda percaya bahawa perlembagan kita menyimpang daripada perundangan Islam, untuk mendapatkan maklumat lanjut, saya sertakan juga fakta dan penghujahan yang menyokong dan menegakkan bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam di link berikut:
.
Ironinya, penghujahan ini menepati tanggungjawab negara Islam yang dikemukakan oleh Al-Mawardi dan membidas kembali fakta yang mengatakan Malaysia sebuah negara sekular.
.
Sama-sama kita membuka fikiran dan meluaskan pembacaan. Jika kita mempunyai ideologi sendiri, pemahaman sendiri dan pendirian sendiri jangan biarkan diri kita menjadi seorang yang taksub dan fanatik kepada sesuatu perkara. Belajar untuk menerima kenyataan dan hakikat sebenar, fakta dan penghuraian yang logik dan bertepatan dengan konsep amalan berakademik.
.
Sekadar ingin berkongsi maklumat...
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Ketandusan Pemimpin, Kualiti Kepimpinan - Mengundang Kritikan dan Kejatuhan

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan.

Isu kali ini berkisar mengenai satu perkataan dasar PIMPIN. Pemimpin, kepimpinan, terpimpin, memimpin dan pimpinan. Rasanya soal kepimpinan ini sangat penting dan banyak diulas di mana-mana medium maklumat tak kiralah blog atau akhbar atau majalah di kedai gunting rambut atau apa-apa artikel yang kita temui di internet.

Bukan mudah untuk menjadi seorang pemimpin. Banyak kriteria atau ciri-ciri yang perlu ada dalam diri setiap individu yang ingin atau yang sedang bergelar pemimpin. Jika kita lihat ketokohan pemimpin hebat sepanjang zaman seperti Iskandar Zulkarnain, Napoleon, Adolf Hitler, Genghis Khan dan yang sudah pasti Rasul junjungan kita, Muhammad SAW. Kesemuanya memiliki cara kepimpinan yang tersendiri sehingga mampu menakluk kawasan yang luas dan mentadbir dengan baik. Tidak kiralah ideologi apa pun yang mereka bawa. Masing-masing mempunyai kehebatan tersendiri.

Malangnya setiap keagungan, kehebatan dan kekuasaan seorang pemimpin dan sesebuah kerajaan itu tidak pernah kekal untuk selamanya kerana wujud masalah dalaman termasuklah ketandusan pemimpin sehingga menjejaskan kehebatan dan kekuasaan yang mereka miliki. Akhirnya ia membawa kepada keruntuhan empayar yang terbina sejak sekian lama dalam sekelip mata seperti Kerajaan Turki Uthmaniah, Kerajaan Melayu Melaka dan Soviet Union.

Demikian sedikit fakta sejarah sebagai mukadimah...sengaja saya kenang kembali sejarah kerana sejarah boleh berulang jika kita tidak mengambil iktibar daripadanya.

Saya sendiri mengakui saya sebenarnya belum layak untuk menjadi pemimpin yang hebat. Karisma, ketokohan, profesionalisme, dinamika dan keunggulan sebagai seorang pemimpin boleh kita lihat daripada tingkah laku dan gaya luaran seseorang itu. Ada insan yang dilahirkan sebagai pemimpin dan ada insan yang dibentuk untuk dijadikan pemimpin.

Saya ambil contoh kepimpinan Singapura, Perdana Menterinya yang pertama, Lee Kuan Yew dikatakan seorang tokoh yang mempunyai pemikiran yang brilliant sehingga mampu membawa Singapura yang 'kosong' hinggalah menjadi sebuah negara yang maju di rantau Asia Tenggara. Beliau dilahirkan sebagai pemimpin. Anaknya pula, Lee Hsien Loong yang merupakan Perdana Menteri sekarang merupakan tokoh politik yang telah dibentuk bapanya sejak kecil lagi sebagai persediaan untuk menjadi seorang pemimpin yang akan menyambung legasi 'Lee' pada abad ke 21 di Singapura.

Saya kagum dengan bagaimana cara Singapura diperintah. Bagaimana pelaksanaan dasar kerajaannya, bagaimana penguatkuasaan undang-undangnya dan banyak lagi aspek yang tidak kita lakukan di Malaysia.

Berbalik kepada isu kepimpinan dalam konteks mahasiswa di universiti. Saya tidak berminat untuk menyentuh kepimpinan di USM sahaja. Isu ini isu am dan ia sepatutnya disentuh secara umum dan menyeluruh. Apabila pilihan raya kampus (PRK) hampir menjelma bermulalah pelbagai gerakan di sana sini untuk menggerakkan jentera masing-masing. Seperti biasa, wujud gerakan untuk mengenalpasti calon-calon PRK yang sudah pasti memerlukan keterampilan dan kewibawaan sebelum disahkan namanya dalam borang pencalonan sebagai calon yang bertanding dalam PRK. Terdapat beberapa buah universiti yang telah selesai mengadakan PRK dan terdapat juga universiti yang masih mencongak-congak tarikh PRK yang bakal diadakan nanti.

Namun saya yakin kebelakangan ini di beberapa buah universiti termasuk USM sendiri menghadapi cabaran dan kesukaran untuk mendapatkan calon yang benar-benar memenuhi kriteria untuk diangkat sebagai seorang anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Seperti yang saya katakan, bukan semua orang memiliki perwatakan dan kriteria sebagai seorang pemimpin. Jikalau ada pun, orang yang dimaksudkan itu mungkin sudah mempunyai tanggungjawab dan komitmen lain dalam persatuannya. Mana mungkin tugas MPP dan pesatuan dicampur adukkan. Adalah berat untuk menguruskan kedua-duanya secara serentak kerana ia akan memakan diri dan boleh 'mengorbankan' akademik pelajar itu sendri.

Lebih malang, sekiranya calon PRK itu dipilih secara tangkap muat atau dipujuk untuk bertanding disebabkan faktor kekurangan calon yang berwibawa. Ini merupakan satu perkara yang wajar diberi perhatian serius. Sebagai mahasiswa, kita mahukan satu saf kepimpinan yang betul-betul berkhidmat untuk kebaikan bersama atas dasar sukarela dan tanggungjawab. Apabila proses pemilihan dilakukan secara sesuka hati, calon yang menang dalam PRK dikhuatiri tidak mempamerkan prestasi yang diinginkan kerana kurangnya minat dan rasa prihatin apabila memegang amanah. Kekuatan dan pengaruh kepimpinan itu juga akan layu dan mudah menjadi sasaran kritikan. Kita tidak mahu perkara itu terjadi. Itu tidak termasuk perbezaan pendapat dan perselisihan yang mungkin wujud dalam sesuatu kepimpinan. Bertambah-tambahlah kecelaruan dan kelemahan yang wujud dan tidak mustahil ia akan terbongkar bila-bila masa.

Satu lagi perkara di luar konteks PRK, wujudnya konspirasi yang mengatur kedudukan seseorang individu dalam organisasi tertentu. Saya tidak bermaksud untuk merujuk konspirasi ini kepada mana-mana pihak, tetapi sekiranya ia benar-benar wujud ia dilihat seolah-olah mempergunakan dan mempermainkan keupayaan dan kewibawaan seseorang itu hanya kerana dia mampu memimpin dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang diinginkan. Mungkin dari sudut lain, kita boleh mengatakan ia merupakan kepercayaan yang diberikan kepada individu terbabit. Tetapi keputusan itu harus dipersetujui individu tersebut dan dia juga mempunyai hak untuk menolak. Tidak sepatutnya berlaku paksaan kerana ia akan membawa masalah kepada organisasi itu sendiri. Di kemudian hari individu itu pula menerima kecaman kerana tidak memberi komitmen penuh terhadap tugasnya. Siapa yang bersalah? Siapa yang memaksa?.

Jadi, di manakah letaknya harga diri seseorang jika dia dijadikan 'buah catur' dalam permainan 'politik' pihak tertentu? Adalah lebih relevan jika ada konsep sukarela dalam diri para pelajar untuk memimpin sekiranya dia benar-benar berkeyakinan dan tahu sejauh mana kemampuannya untuk memimpin. Masalahnya, kita memang kekurangan orang yang boleh memimpin. "Ketandusan pemimpin"....itu yang lebih tepat untuk diungkapkan. Sebab itulah berlakunya pujuk-memujuk, paksaan, konspirasi, tangkap muat dan lain-lain lagi dalam memilih pemimpin.

Secara keseluruhan, apa yang saya katakan di awal artikel ini, ketandusan pemimpin menjadi satu penyebab keruntuhan sesuatu empayar. Dalam konteks mahasiswa universiti, ketandusan pemimpin menyebabkan sesebuah institusi atau organisasi itu menjadi lembab, malap, tenggelam, lesu dan menjadi sasaran kritikan, tidak kiralah pesatuan apapun. Akhirnya muncul pihak-pihak yang membuat spekulasi, teguran, ancaman dan kritikan terbuka terhadap kepimpinan yang diselimuti masalah dan kontroversi. Kadang-kadang membantu untuk penambahbaikan, kadang-kadang menimbulkan 'argumen' dan mungkin menjahanamkan. Inilah yang boleh dianggap sebagai 'kejatuhan'.

Bagi saya, mudah untuk menjadi seorang pengkritik, tetapi payah untuk menjadi seorang yang realistik. Sama-sama kita menunggu seseorang yang mampu memimpin ke arah perubahan....

Salam Aspirasi Untuk Mahasiswa Bersatu.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Adakah Kita Memahami Erti Kelestarian?

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan.

Kelestarian? Apa tu?

Universiti Sains Malaysia (USM) mula memperkenalkan konsep kelestarian dan ia mula disebarluaskan ketika saya menjadi penuntut tahun pertama di sini. Pada mulanya saya sendiri tidak memahami apa erti kelestarian, jauh lagi untuk memahami konsep yang terkandung di dalamnya.
.
Saya teringat suatu ketika dahulu RTM pernah menyiarkan rancangan Generasi X (sekarang dah ditukar nama jadi Generasi Y, apa beza X dengan Y pun saya tak tau) secara langsung dari Dewan Budaya USM yang dihoskan oleh pelakon Awal Ashaari. Topik rancangan itu membincangkan erti kelestarian dan proses mempraktikkannya di USM. Dalam rancangan itu diselitkan temubual responden dalam kalangan orang awam dan pelajar USM sendiri. Saya pada ketika itu hanya menonton televisyen di Desasiswa Aman Damai bersama rakan-rakan lain..
.
Sedang saya menonton, ada satu perkara yang membuatkan saya berasa malu sendiri apabila seorang pelajar perempuan yang juga merupakan kenalan saya (ketika itu tahun pertama) menawarkan diri untuk ditemuramah. Mungkin kerana teruja dengan kehadiran Awal Ashaari yang bertindak selaku hos pada hari itu. Soalan yang diajukan Awal lebih kurang berbunyi begini "Boleh adik terangkan apa sebenarnya yang berlaku di Dewan Budaya Hari ini?". Dalam jawapan yang diberikan pelajar tersebut ada menyebut frasa "lebih-lebih lagi sekarang ni USM sedang mempromosikan konsep kelestarian"....
.
Selepas itu Awal bertanya lagi...."kalau boleh kita sama-sama berkongsi dengan penonton di rumah, boleh adik jelaskan sedikit apa tu kelestarian?"...
.
Secara spontan, ketika rancangan sedang bersiaran secara langsung dan disiarkan di seluruh Malaysia, pelajar itu membeliakkan matanya dan memandang rakan-rakannya di tepi sambil ketawa....kelihatan dia terkedu dan tidak tahu bagaimana hendak menjelaskannya....dia cuba menerangkan mengenai pemeliharaan alam sekitar tetapi dia kelihatan tidak yakin dan tidak pasti dengan jawapannya, lantas ketawa malu. Maka, Awal pun cuba 'cover line' dengan mengatakan " oo...dengan melakukan aktiviti seperti kitar semula?" Pelajar itu mengiyakan sahaja sambil mengangguk dan ketawa.
.
Saya tak dapat bayangkan apa perasaan saya sekiranya saya ditemuramah secara langsung di kaca televisyen tidak dapat menjawab persoalan yang diajukan hos rancangan. Sedangkan soalan itu mengenai idea dan konsep kelestarian. Konsep yang diuar-uarkan di USM, tetapi saya selaku mahasiswa USM tidak dapat menjelaskannya, mestilah berasa sangat bengang dan malu.
.
Mungkin kerana pelajar itu masih dalam tahun pertama, jadi masih belum menguasai sepenuhnya mengenai konsep kelestarian. Tidak mengapalah. Sejak daripada itu, saya cuba memahami apa erti sebenar KELESTARIAN sedikit demi sedikit. Hari ini saya masih lagi belajar dan cuba mengaplikasikan konsep kelestarian yang diterapkan.
.
KELESTARIAN bukan sekadar menyentuh isu alam sekitar, tetapi banyak lagi aspek yang perlu dilestarikan. Ia bermaksud pemeliharaan berterusan atau mengekalkan sifat baik yang ada pada hari ini supaya terus kekal pada masa akan datang. Dari sudut apa? Alam sekitar, kewangan, akhlak, sosio-budaya, kemanusiaan dan pelbagai lagi. Bukan saya yang kata, tetapi berdasarkan apa yang saya dengar sendiri ketika menghadiri rakaman rancangan Forum Perdana Ehwal Islam di Dewan Tuanku Syed Putra yang diadakan ketika Program Siswa Lestari (Minggu Orientasi) pelajar-pelajar baru kemasukan 2009/2010 yang lalu.
.
Jadi, mari kita bertanya kepada diri sendiri selaku mahasiswa khususnya mahasiswa USM, adakah kita memahami erti kelestarian?
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Korban 1Malaysia??

Assalamualaikum wbt. salam sejahtera dan salam perpaduan...

Saya terpanggil untuk memberi secebis pendapat dan pandangan apabila membaca beberapa blog lain yang menceritakan perihal yang sama - tragedi jambatan gantung runtuh.

1MALAYSIA tahu baru-baru ini berlaku tragedi jambatan gantung runtuh yang meragut nyawa tiga pelajar sekolah rendah di Pusat Kokurikulum Jabatan Pelajaran Daerah Kinta Selatan. Saya tidak mahu mengulas panjang mengenainya sebab ia mendapat liputan luas media dan juga telah diulas di blog-blog tertentu.

Cuma dalam beberapa hal, saya tidak bersetuju apabila dasar 1MALAYSIA dipersalahkan kerana meragut nyawa manusia. 1MALAYSIA hanyalah satu cetusan idea yang dibangunkan untuk dilaksanakan sebagai dasar kerajaan. Ia berbentuk panduan dan pemangkin kepada usaha memurnikan nilai sosial dan penerapan perpaduan kaum di negara kita.

Jadi apa halnya 1MALAYSIA dipersalahkan kerana menyebabkan kematian??

Kematian boleh berlaku di mana-mana. Kematian tidak boleh dijangka, tidak mengenal usia, tidak mengenal siapa, tidak mengenal kaum dan sebagainya. Itu merupakan urusan Allah s.w.t. dan mengapa kita seolah-olah menjadikan 1MALAYSIA sebagai asbab kepada kematian itu?? Dangkalnya pemikiran....itu sudah ketentuan...sudah tercatat di Loh Mahfuz...

Banyak lagi perkara yang perlu diberi perhatian untuk mentafsir dan mencari punca berlakunya kejadian tersebut selain kita tidak boleh menolak itu sudah menjadi ketentuan Tuhan. Bukannya tak tentu hala menyalahkan pihak tertentu berdasarkan fahaman politik.

Pandanglah dari sudut kemanusiaan...

wassalam.

* takziah kepada keluarga mangsa.
** terima kasih kepada pihak yang bertungkus lumus dalam operasi mencari dan menyelamat.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Ranking Universiti oleh THE-QS Dipertikaikan

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan.

Saya tertarik dengan apabila membaca akhbar baru-baru ini yang menyiarkan isu ranking universiti dunia. Jadi saya sertakan sedikit maklumat ini untuk makluman kita semua. Berikut merupakan ranking terbaru 10 universiti terbaik dunia untuk rujukan kita bersama berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Time Higher Education - Quacquarelli Symonds (THE-QS) 2009.

Ranking Universiti Dunia

1. Harvard University ,US

2. University of Cambridge, UK

3. Yale University, US

4. University College London (UCL), UK

5=. Imperial College London, UK

5=. University of Oxford, UK

7. University of Chicago, US

8. Princeton University, US

9. Massachusets Institute of Technology (MIT), US

10. California Institute of Technology, US

180. University of Malaya (UM)

291. National University of Malaysia (UKM)

314. University of Science, Malaysia (USM)

320. University of Technology, Malaysia (UTM)

345. Putra University, Malaysia (UPM)

Sumber: QS Quacquarelli Symonds (http://www.topuniversities.com/)

Universiti di Malaysia bermula di ranking 180 iaitu Universiti Malaya manakala Universiti Sains Malaysia berada di tangga 314....satu kedudukan yang sangat jauh daripada UM. Apatah lagi jika dibandingkan dengan 10 universiti terbaik. Tetapi, adakah penarafan ranking ini patut kita terima? Adakah kita tahu apakah kriteria-kriteria yang ditetapkan THE-QS untuk membolehkan kita berada di ranking terbaik? Saya sendiri tidak tahu apakah yang menjadi kayu ukuran dan penanda aras bagi membolehkan sesuatu universiti mendapat ranking yang tinggi. Dari suatu sudut, secara positifnya, mungkin ia boleh dijadikan panduan untuk menilai sejauh mana kehebatan sesuatu universiti berbanding universiti lain dan menguji kecekalan warga universiti untuk memperbaiki kedudukan universiti.
.
Jika dilihat dari suatu perspektif berbeza, kita boleh mempertikaikan ranking yang dikeluarkan THE-QS itu. Bagi saya, selaku mahasiswa USM, ranking 314 tidak menjadi suatu masalah kerana kriteria yang dinilai untuk memberi penarafan kepada sesuatu universiti tidak sama dengan kriteria yang digunapakai oleh USM dalam menentukan pencapaian institusi. Begitu juga dengan universiti lain di dunia, mereka juga mempunyai misi dan sasaran dengan menetapkan kriteria yang berbeza. Jadi, walaupun kriteria yang ditetapkan oleh THE-QS dikatakan bersifat global, namun ia mungkin tidak menepati konsep pendidikan di negara kita.
.
Saya memberikan contoh mudah, USM sedang membina jenamanya sendiri dengan menekankan pembangunan lestari dengan slogan "Transforming Higher Education for a Sustainable Tomorrow". Pihak universiti sudah pasti telah menyediakan garis panduan untuk dipenuhi bagi mencapai misi utama sebagai sebuah universiti berkonsepkan kelestarian. Pelbagai iniasiatif diadakan seperti kempen, persidangan, forum dan sebagainya di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa. Kriteria pembangunan lestari merupakan keutamaan di USM.
.
Saya kira, MUNGKIN kriteria kelestarian dalam penarafan THE-QS menjadi kriteria yang ke 20. Jadi sudah tentulah penarafannya terhadap USM jatuh tergolek-golek hingga ke tangga 314. Saya hanya sekadar memberikan contoh satu kriteria sahaja. Itu belum lagi cerita berkisar lain-lain kriteria yang kita tida ketahui.
.
Sebenarnya ramai diantara cendekiawan dan ahli akademik sendiri tidak begitu ambil kisah dengan penarafan tersebut, malahan ada yang tidak tahu mengenainya. Naib Canselor kita sendiri, Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam artikelnya yang disiarkan Utusan Malaysia bercerita mengenai pengalamannya menghadiri Persidangan Persatuan Universiti-universiti Eropah (EUA) di Giessen, Jerman. Beliau mengandaikan persidangan tersebut akan hangat dengan perdebatan mengenai penarafan ranking universiti dunia oleh THE-QS. Tetapi andaian beliau ternyata tersasar kerana perkara itu langsung tidak dibincangkan, malahan mendapat reaksi dingin daripada perwakilan universiti dan para peserta sekiranya ia cuba dibangkitkan. Mengapa? Saya cadangkan anda supaya membaca artikel tersebut di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1013&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm&arc=hive. Anda akan dapat jawapan mengenainya dan mengapa ranking yang dikeluarkan THE-QS dipertikaikan. Anda juga boleh mendapatkan pandangan Naib Canselor UM, UPM dan UTM mengenai isu ini di http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Pendidikan/20091019074213/Article/
.
Jadi, kita tahu siapa diri kita. Kita tahu sejuh mana pencapaian USM. Jika Naib Canselor sendiri menyatakan "Ia bukannya seperti peraduan ratu cantik yang menaraf pemenangnya berpandukan formula utama 36-24-36 sebagai yang "ideal" dan semuanya dinilai mengikut sukatan ini; kemudian diberi penarafan 1, 2, 3 dan sebagainya. Wajarkah dua insan dibandingkan berdasarkan aspek luarannya sahaja dan bukan sifat keinsanannya?", itu sudah cukup untuk kita faham bahawa beliau memberikan analogi bahawa sesebuah universiti tidak harus dinilai secara luarannya sahaja tanpa mengetahui apakah yang ada di dalamnya. Maruah dan autonomi harus dipertahankan bukan digadaikan demi mengejar ranking dunia.
.
Apabila saya membaca artikel Naib Canselor kita, saya sendiri mula berfikir adakah ranking itu penting dalam menentukan siapa diri kita sebenarnya? Mungkin ya, mungkin tidak. Tiada apa yang memberikan keputusan yang tepat lagi mutlak di dunia ini.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

"Kau Duduk U Belajar ke Kerja??"

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan.

Agak lama saya menyepikan diri dek kerana sibuk dengan pelbagai program dan aktiviti di universiti hingga hilang mood untuk update blog sendiri. Jadi, saya nak bercerita sedikit mengenai kehidupan seorang pelajar universiti yang aktif dalam persatuan. Saya tujukan cerita ini kepada semua yang mungkin ada kaitan, atau mungkin situasi kehidupan mereka hampir sama dengan apa yang akan saya ceritakan nanti.

Hidup di universiti pada awalnya disangkakan hanyalah pergi kuliah, masuk kelas tutorial, belajar di bilik, makan di cafe dan lain-lain. Itu benar! Jika anda seorang pelajar yang tidak menyertai mana-mana persatuan. Tetapi realitinya ia sangat jauh berbeza apabila kita menyertai sesuatu persatuan dan bergiat aktif di dalamnya.

Kadang-kadang bila terlibat secara langsung dengan sesuatu program yang akan diadakan, melibatkan orang kenamaan, pegawai-pegawai universiti, kita akan kerja sungguh-sungguh untuk memastikan program tersebut berjalan lancar. Dalam kesibukan itulah kita mula lupa yang kita ni ialah seorang pelajar.

Berdasarkan pengalaman saya sebelum ini mengendalikan beberapa program termasuklah Sesi Dialog Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) USM dan UiTM Bersama Ketua Polis Pulau Pinang, saya akui terpaksa meninggalkan kuliah, tidak hadir kelas tutorial dan banyak berurusan dengan 'pihak atasan' yang sudah semestinya berhadapan dengan karenah birokrasi. Tetapi saya tidak mahu menyentuh isu karenah birokrasi. Itu cerita lain.

Tekanan mula dirasai apabila menerima arahan yang bertindih dan wujud masalah dalam menguruskan urusan-urusan rasmi. Tambahan pula program itu akan berlangsung dalam masa terdekat. Maka, apabila saya duduk makan bersama rakan-rakan saya, kami mula bercerita program yang akan diadakan itu. Macam-maca cerita kisah suka duka diluahkan dan terlintas di fikiran salah seorang rakan, "Kau duduk U belajar ke kerja??". Walaupun sekadar berjenaka tapi ia sebenarnya seakan-akan kenyataan. Mungkin ada diantara kita mengatakan "pandai-pandai la bahagikan masa untuk study dan persatuan". Masalahnya, apabila semakin dekat tarikh program kita kelihatan "sudah tiada masa"....segala kerja perlu dibereskan segara. Mood belajar pun hilang....terdetik di hati ini, "baik aku kerja je kat pejabat SUKSIS tu...".

Nak dijadikan cerita, satu hari mak saya menelefon saya. ketika asyik berbual-bual, mula la mak bertanya soalan wajib. "hari ni ada kelas?".....maka saya pun menjawab ringkas, "ada, tapi tak pergi".....dengan selamba mak saya menyambut, "tak pergi kelas? dah pandai sangat ke?"....saya hanya ketawa sahaja kerana faham sangat dengan perangai mak yang suka mengusik. Saya nyatakan sebab saya tak ke kelas kerana sibuk dengan urusan lain....terpaksa la skip kelas.

Saya yakin ada di antara kita yang pernah mengalami situasi sebegini. Seorang rakan saya yang juga merupakan Yang Di Pertua Kumpulan Anak-anak Kedah USM juga pernah mengeluh mengenai perkara yang sama. Malahan mungkin lebih teruk daripada saya sebab seringkali dia tidah hadir kuliah berbanding saya. Ramai lagi sebenarnya mereka yang bertaraf pemimpin bercerita mengenai isu ini.

Sekarang, timbul pula persoalan, adakah seorang pemimpin persatuan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar kerana lebih mengutamakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin persatuan sedangkan pembabitan dalam persatuan hanyalah sebagai aktiviti sampingan di universiti. Nampaknya kita kena fikir-fikirkan kembali perkara ini kerana ia melibatkan soal tanggungjawab.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

1Malaysia Gagasan Retorik??

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan.

Sengaja saya timbulkan persoalan ini sebagai tajuk artikel terbaru ini. Sebenarnya ungkapan “retorik” itu terkeluar dari mulut sahabat saya ketika berbincang mengenai iklan-iklan di televisyen ketika sedang menunggu order di sebuah restoran.

Syarikat-syarikat korporat dan industri hari ini lebih cenderung untuk menyiarkan iklan di televisyen dengan slogan dan logo 1Malaysia. Sememangnya itu yang dikehendaki kerajaan sebagai salah satu langkah untuk menyokong dan mendukung aspirasi kerajaan menjayakan gagasan tersebut yang diperkenalkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak. Antara iklan yang menyiarkan logo dan slogan 1Malaysia seperti Maybank, UMW Motors, Petronas, TM dan sebagainya termasuklah iklan cat Colourland. Kebanyakan syarikat tersebut merupakan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang semestinya sentiasa menyokong agenda dan dasar kerajaan. Institusi pendidikan juga tidak ketinggalan dalam mengaplikasikan gagasan 1Malaysia. Jika anda berada di IPT, kita sudah mula sinonim dengan slogan 1Siswa, 1Malaysia, 1Aspirasi. Semua ini merupakan langkah untuk mempopularkan dan menjayakan dasar baru YAB Perdana Menteri ke-6.


Nombor satu sangat popular ketika ini sehinggakan jika ada majlis keramaian anjuran pertubuhan atau organisasi atau pemimpin kerajaan, banner, papan tanda dan poster menyiarkan logo 1Malaysia. Jika ada sesi fotografi bersama pihak media, gaya dan situasi yang sering kita lihat ialah wajah-wajah masyarakat berbilang kaum tersenyum sambil bersorak dan menunjukkan isyarat jari telunjuk yang membawa maksud 1.


Berbalik kepada isu iklan, satu lagi iklan yang sering ditayangkan sekarang ialah iklan tiga sekawan yang berbilang kaum, Melayu, Cina dan India. Si ibu Melayu menyuruh anaknya memberikan kuih kepada rakan Cina dan India. Apabila si anak tiba di rumah rakan Cina, bapa rakan Cina itu menghulurkan seekor ayam hidup lalu menyuruh si anak Melayu itu memberikan ayam tersebut kepada bapanya untuk disembelih dan makan bersama. Kemudian si anak Melayu pergi pula ke rumah rakan India. Kemudian mereka melihat ayam tadi disembelih. Turut kelihatan si ibu Melayu dan si Ibu India masak bersama-sama dan ketiga-tiga keluarga tadi makan bersama. Hmmm...sungguh cantik iklan itu yang menggambarkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum. Banyak lagi iklan yang menerapkan unsur 1Malaysia. Cantik jalan ceritanya dan sejuk hati melihatnya.


Persoalannya sekarang ia hanya sekadar iklan. Realitinya?? Saya secara peribadi melihat konsep 1Malaysia ini belum menunjukkan hasil dan belum ‘meresap’ masuk dalam diri warganegara kita. Ketika saya makan di sebuah restoran, duduk satu kumpulan pelajar sedang menyambut hari lahir rakan mereka. Tetapi kumpulan tersebut kesemuanya pelajar Cina. Di sebuah meja lain, sekumpulan India sedang makan bersama dan seperti biasa Melayu makan dengan Melayu. Tidak ada pun satu kumpulan Cina, India dan Melayu makan bersama. Sukar sekali untuk melihat situasi yang ditayangkan seperti di dalam televisyen. Itu baru bercerita mengenai makan. Belum masuk lagi cerita yang lebih sensitif mengenai stereotaip, prejudis, dan perasaa benci antara kaum.


Saya sendiri menjadi sasaran sikap prejudis kaum lain terhadap kaum Melayu. Buktinya? Lihat, baca dan ‘hayati ayat-ayat indah’ komen daripada pengunjung blog saya yang menghentam habis-habisan, mencaci, menghina dan melakukan provokasi melampau terhadap bangsa Melayu. Saya dikatakan rasis kerana bercerita mengenai perpaduan Melayu, tetapi bagi mereka yang menghina Melayu, membanding-bandingkan ciri Melayu dengan Cina, dan pelbagai lagi kata-kata nista dilemparkan kepada Melayu, itu tidak rasis?


Sudah tentu la saya tidak duduk diam sekiranya saya dan bangsa saya dihina sedemikian rupa. Tetapi bak kata Tun Dr. Mahathir, jika beliau dan orang Melayu menyuarakan perasaan tidak puas hati atau membangkitkan isu Melayu, mereka dikatakan RASIS. Tetapi jika bangsa lain melontarkan suara mengenai kaun mereka, ia dilakukan atas dasar HAK! Ooh...begitu ya?


Gagasan ini baru sahaja dilaksanakan, jadi pelbagai program dijalankan dengan menerapkan unsur perpaduan, keharmonian dan mesra rakyat berdasarkan gagasan 1Malaysia. Seperti biasa, kita tidak layak untuk menentukan sejauh mana keberkesanan sesuatu dasar itu kerana ia baru sahaja diperkenalkan. Tunggulah sepuluh tahun? Dua puluh tahun? Lima puluh tahun? Mungkinkah keharmonian kaum yang ditayangkan dalam televisyen itu menjadi realiti?


Sebenarnya istilah “retorik” yang dilemparkan terhadap gagasan 1Malaysia tidak tepat. Pelaksanaannya masih berjalan dan kita sebagai rakyat patut menghayati apakah maksud tersirat di sebalik gagasan itu. Bukan memanipulasikan dan memutarbelit keadaan. Saya ada rakan Cina dan India, lelaki dan perempuan dan kami berkawan seperti biasa tanpa sebarang permusuhan atau sikap prejudis. Hanya segelintir extremis kaum yang melakukan perkara-perkara yang melampaui batas. Kita tidak mahu tragedi 13 Mei 1969 berulang lagi. Tolonglah faham sensitiviti, hak dan perbezaan antara kita. Kita sebagai masyarakat majmuk di Malaysia dikatakan masyarakat majmuk contoh, tetapi hakikat sebenarnya kita menunjukkan sikap sebaliknya. Itu harus kita elakkan.


Saya yakin ketika saya sedang meniupkan seruan keharmonian kaum, ia masih belum dapat diterima sepenuhnya. Kita masih lagi bersama kaum kita sahaja, iaitu kumpulan yang berkongsi nilai yang sama. Nilai apakah yang dimaksudkan? Nilai merujuk kepada unsur-unsur seperti adat, budaya, agama, warna kulit dan sebagainya. Sebenarnya ia berbalik kepada diri kita sendiri...terpulang bagaimana kita melihat menyahut seruan gagasan 1Malaysia.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Pemandu Berani Mati

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan

Hari raya telah masuk hari ke-8...ramai antara kita sudah pulang semula ke kota dan bandar-bandar utama. bagi pelajar-pelajar universiti, masing-masing sudah kembali ke kampus, cukuplah cuti selama seminggu berhari raya di kampung halaman. Alhamdulillah perjalanan kita semua selamat pergi dan balik tanpa berlaku sebarang perkara dan tragedi yang tidak diingini.

Tetapi bagaimana pula dengan nasib mereka yang terlibat dengan kemalangan jalan raya? Setiap hari pasti berlaku kemalagan jalan raya yang membabitkan pelbagai jenis kenderaan di lebuhraya dan jalanraya utama di Malaysia. Negara kita kecil sahaja dan rakyatnya tidaklah ramai sangat jika dibandingkan dengan negara-negara lain yang lebih besar. hakikatnya statistik dari PDRM menunjukkan kadar kemalangan jalan raya sangat tinggi setiap tahun. Lebih malang lagi ia akan terus meningkat menjelang hari perayaan. Apakah silapnya? walaupun Ops Sikap dijalankan dengan tujuan untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya dan jumlah kematian tetapi fenomena ini terus berlaku seolah-olah tidak dapat dibendung walaupun wujudnya penguatkuasaan.

Hari ini, satu artikel dalam akhbar Utusan Malaysia ada menyebut kita patut menggunakan cara yang lebih extreme untuk menangani sikap pemandu yang degil. tidak perlulah saya nyatakan apa yang pemandu kita suka lakukan apabila berada di atas jalan raya. kita tahu itu. Apa yang menarik penulis artikel itu turut menyelar sikap pemandu kita yang tidak memikirkan keselamatan pemandu lain. jalan raya dikongsi bersama, jadi semua pengguna jalan raya mempunyai risiko sepanjang memandu di jalan raya.




Apabila berlaku kemalangan dan meragut nyawa, sudah tentu berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri yang cuai ataupun sengaja menempah maut. memang menyusahkan orang lain, tak pasal-pasal orang lain terlibat sama. kematian berlaku mudah saja di mana-mana. petugas lebuhraya juga yang perlu membantu, polis, petugas kesihatan, bomba dan penyelamat, pertahanan awam dan sebagainya. ya benar itu memang tugas mereka. tapi bak kata penulis artikel tersebut apabila sikap kita yang membahayakan diri sendiri dan orang lain di jalanraya, beliau memberikan kenyataan "kecik-kecik tak nak mati, dah besar menyusahkan orang". kenyataan yang kelihatan humor tetapi bersifat sinikal.

Itu realiti di malaysia. kita memiliki satu 'keajaiban'...ramai pemandu kita yang tidak takut mati. banyak kempen dijalankan, banyak papan tanda amaran dan nasihat dipasang tetapi ia hanya barang hiasan di tepi jalanraya.

Buletin Utama semalam juga menyiarkan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang pelik dengan sikap pemandu kita. Ujar beliau, jika mereka dijatuhi hukuman mati sekalipun kerana kesalahan di jalan raya mereka tidak takut. sikap memandu secara berbahaya tetap melekat dalam diri mereka. Entahlah....satu fenomena yang sejak dari dulu telah wujud di Malaysia dan masih tiada jalan penyelesaian.

Satu sahaja keyword yang perlu kita ingat, SIKAP. kita kurang kesedaran sivik, tiada perasaan apabila berada di atas jalan raya. hanya mementingkan kepuasan sendiri tanpa menghiraukan orang lain termasuklah undang-undang.

Apa nak jadi dengan orang kita? ramai mati di atas jalan raya - lokasi popular saban tahun.

Jadi....kita muhasabah diri kta ye...adakah kita termasuk dalam golongan "pemandu berani mati"?
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

MIC dan Kalungan Selipar

Assalmualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan.

Ini satu lagi kisah sebahagian rakyat Malaysia yang menghina dan tidak pandai menghormati orang lain, malahan orang yang dihina itu merupakan seorang negarawan ulung.

Perwakilan MIC dalam satu persidangan di PWTC telah mengemukakan cadangan supaya kalungan selipar diletakkan pada gambar mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Perwakilan tersebut menyampaikan ucapannya dengan penuh emosi dan ia dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati terhadap sikap Tun yang dikatakan campur tangan dalam urusan MIC . Akhirnya terhamburlah satu idea bodoh yang boleh membangkitkan kemarahan orang ramai khususnya orang Melayu.

tidakkah ini menunjukkan bahawa masih wujud golongan yang tidak faham mengenai sensitiviti? bagaimana dia boleh mencadangkan untuk mengkalungkan selipar pada gambar mantan PM yang telah menyumbang jasa yang menggunung kepada negara?

dalam masa yang sama, Tun M merupakan seorang pemimpin Melayu berpengaruh dan idola kepada orang melayu. apabila beliau dihina sedemikian rupa maka ramailah yang bangkit menentang dan mengecam cadangan perwakilan MIC itu. ini bukan bermaksud orang Melayu mudah melatah, tetapi memperlihatkan sikap responsif dengan isu-isu berbangkit yang sensitif untuk diperkatakan.

mengapa sejak kebelakangan ini pelbagai isu-isu panas diketengahkan? isu yang melibatkan soal perkauman, keagamaan dan tradisi budaya sememangnya sensitif untuk dipersoalkan. tetapi hari ini kita dapat lihat mereka berani....sungguh berani tanpa berfikir panjang mengeluarkan ungkapan dan kenyataan berbaur hasutan dan sentimen yang berbahaya.

padahal mereka merupakan golongan terpelajar, yang dikatakan sangat memahami sejarah sehinggakan mereka percaya sejarah yang kita pelajari di sekolah ialah sejarah ciptaan kerajaan UMNO-BN. sejarah yang telah diubah fakta dan dimanipulasikan.

hairan....jika faham sejarah, mengapa masih mempersoalkan kontrak sosial? tidak mahu menerima hakikat bahawa negara ini perlu ada rasa saling menghormati dek kerana pelbagai perbezaan yang wujud dengan kehadiran rakyat pelbagai bangsa. masih tidak faham? atau memang buta?

penghinaan kepada tokoh kepimpinan negara adalah satu perbuatan melampau. tidak ada kesedarankah? atau mungkin dia merasakan dirinya lebih hebat daripada orang lain? atau lebih hebat daripada Tun M? cermin diri sendiri.....

dia tidak berfikir panjang, kalungan bunga merupakan satu tradisi yang diamalkan kaum India s ebagai tanda penghormatan atau penghargaan kepada tokoh, tetamu jemputan dan para pemimpin. sekiranya kalungan bunga itu ditukar kepada kalungan selipar, tidakkah itu mencemarkan tradisi budaya masyarakat India?

satu lagi persoaalan ialah, mengapa orang bukan melayu yang sering menimbulkan isu-isu sebagini?? fahamilah perbezaan tuan-tuan....
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Penghinaan Terhadap Melayu dan Islam


Assalamualaikum w.b.t, salam sejahtera dan salam perpaduan.

Baru-baru ini saya menerima e-mel daripada seorang rakan di Pulau Pinang. E-mel tersebut mendedahkan surat daripada sepasang suami isteri berketurunan India yang dipercayai tidak berpuas hati dengan layanan sebuah jabatan kerajaan di Selangor. Saya yakin e-mel tersebut telah tersebar dan mungkin ada diantara kita yang telah membacanya.



Persoalannya, mengapa rasa tidak puas hati itu disalurkan dalam bentuk penghinaan kepada bangsa Melayu? Mereka kemudiannya bermegah-megah dengan pencapaian perniagaan mereka dan merendah-rendahkan bangsa Melayu yang dikatakan sentiasa menerima ‘suapan’ daripada kerajaan.

Isu lain yang dibangkitkan ialah sembahyang umat Islam lima kali sehari. Mereka membandingkan solat orang Islam dengan solat orang Amerika (tidak dinyatakan pula agama apa, barangkali hentam semberono). Katanya, orang Amerika sembahyang seminggu sekali tetapi Amerika maju manakala di Malaysia orang Islam sembahyang lima kali sehari tetapi Malaysia masih mundur. Kesimpulan yang suami isteri ini berikan: sembahyang lima kali sehari hanya dilakukan oleh umat yang lemah dan walaupun sembahyang lima kali tetapi bersifat binatang, iaitu merogol anak. Bagi mereka, mereka tidak bersolat tetapi berjaya dalam kehidupan.


Adakah merogol anak hanya dilakukan oleh orang Islam? Adakah bangsanya sangat mulia? Saya tiada niat untuk menyalakan api perkauman, tetapi hari ini bangsa lain sudah berani secara terbuka menghina dan mempermainkan sentimen perkauman dan keagamaan. Jadi bagaimana tindakan kita untuk menjalankan ‘serangan balas’ kepada golongan ini?

Soal agama dan kaum sangat sensitif untuk disentuh di Malaysia. Tetapi mereka berani membangkitkan isu sensitif ini. Apakah niat sebenar mereka? Dengan menggunakan slogan hak kebebasan bersuara dan menuduh mereka didiskriminasi, adakah itu merupakan permit untuk mereka menghina bangsa dan agama orang lain sewenang-wenangnya?

Saya sendiri banyak menerima komen yang berbaur perkauman. Cukup dahsyat sehinggakan caci maki, penghinaan dan segala kejian dihambur dalam laman blog saya. Saya faham, mereka hanya menyalak memprovokasi dengan cara yang bacul. Saya tiada masa untuk melayan pengecut sebegitu yang berselindung di sebalik nama samaran dan kecanggihan teknologi.



Jadi, apakah lagi ikhtiar kita untuk memupuk perpaduan? 52 tahun kemerdekaan memperlihatkan sikap prejudis dan perkauman semakin menebal sebenarnya. Bandingkan ketika zaman pra-kemerdekaan dahulu, kaum-kaum di Tanah Melayu rapat ibarat satu keluarga. Tetapi situasi hari ini sudah jauh berbeza. Mengapa? Kerana zaman sudah berubah dan kita sudah hilang sifat ‘penerimaan’ terhadap kehadiran bangsa lain.

Malaysia oh Malaysia....sebahagian rakyatnya yang sudah hilang sifat menghormati orang lain.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Kisah Kubah Masjid Sujud ke Bumi...

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam perpaduan...

Ini kisah yang saya perolehi daripada seorang coursemate dari laman yahoogroup. Sama-sama kita hayati cerita ini...

"Lepas basuh pinggan, ikut Abah pergi masjid " kata Abah separuh memerintah.

Aku memandang kepada Emak. Emak angguk sahaja. Maksudnya emak mahu aku ikut Abah solat subuh ke masjid. Jangan melawan.Nampaknya, aku kena batalkan niat untuk sambung tarik gebar selepas kenyang bersahur.

Aku bonceng di belakang. Kami tidak pakai helmet. Kopiah sahaja.

Ganjil. Dalam cahaya suram menjelang subuh, aku lihat kubah masjid berada di tanah. Bukan di bumbung masjid. AJAIB!!...

Abah macam tidak nampak keganjilan itu. Aku cuit bahu dia dan tunjukkan ke arah kubah yang berada di tanah. Mungkin kubah itu tengah sujud fikir aku.

" Kenapa? " tanya Abah.

" Lailatuqadar!! " kata aku dengan jari masih menunjuk kepada kubah.

"Kepala otak engkau. Berapa lama engkau tak ke masjid? "

Tidak pasal-pasal aku kena marah. Rosak pengalaman suci aku ini.

" Diorang tengah renovate masjid la. Bumbung masjid bocor.. pasal tu kubah tu dorg angkat letak kat tanah..Bodoh, " sambung Abah memaki lagi...

heheheee...sekadar lawak jenaka di bulan puasa ni....
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Antara Yang Zahir dan Kepercayaan...

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam perpaduan...

Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak kepada pembaca sekalian. Alhamdulillah, sama-samalah kita bersyukur kerana berpeluang melalui Ramadhan sekali lagi., berpuasa dan menikmati ganjaran berkali ganda bagi setiap amalan yang kita lakukan di bulan mulia ini.

Sesekali elok kalau kita berkongsi cerita yang mengandungi unsur keagamaan...yelah selari dengan tuntutan supaya kita banyak menginsafi diri di bulan barakah ini.

One day a 6 year old girl was sitting in a classroom. The teacher was going to explain evolution to the children.

The teacher asked a little boy: Tommy do you see the tree outside?
TOMMY: Yes.
TEACHER: Tommy, do you see the grass outside?
TOMMY: Yes.
TEACHER: Go outside and look up and see if you can see the sky.
TOMMY: Okay. (He returned a few minutes later) Yes, I saw the sky.
TEACHER: Did you see God?
TOMMY: No.
TEACHER: That's my point. We can't see God because he isn't there. He doesn't exist.

A little girl spoke up and wanted to ask the boy some questions. The teacher agreed and the little girl asked the boy:

Tommy, do you see the tree outside?
TOMMY: Yes.
LITTLE GIRL: Tommy do you see the grass outside?
TOMMY: Yessssss (getting tired of the questions by this time).
LITTLE GIRL: Did you see the sky?
TOMMY: Yessssss
LITTLE GIRL: Tommy, do you see the teacher?
TOMMY: Yes
LITTLE GIRL: Do you see her brain?
TOMMY: No
LITTLE GIRL: Then according to what we were taught today in school, she must not have one!

"FOR WE WALK BY FAITH, NOT BY SIGHT"
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

“Polis Kejam, Polis Korup, Polis Tidak Berperikemanusiaan, Polis Zalim, Polis Diperkuda Kerajaan”...Segalanya negatif!! (Bahagian III)

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam perpaduan...

Perbincangan mengenai topik ini telah memasuki bahagian III dan saya kira ini bahagian terakhir. Saya menerima banyak respon...yang menyokong dan memperlekeh. Tidak mengapa, itu hak masing-masing untuk memberi ulasan.

Kali ini saya akan merujuk institusi PDRM sebagai sebahagian daripada pentadbiran awam di Malaysia. Apa itu pentadbiran awam? Secara ringkasnya pentadbiran awam merupakan tulang belakang kepada pentadbiran sesebuah negara. Segala pelaksanaan dasar dirangka dan digerakkan oleh pentadbiran awam, dan polis merupakan sebahagian daripadanya. Rasanya tidak perlu saya meleret panjang mengenai definisi pentadbiran awam kerana saya yakin para pembaca memahaminya.

Apabila polis dituduh pembangkang sebagai anjing kerajaan...polis diperkuda kerajaan, saya cuma tersenyum kerana ‘YA, MEMANG BENAR’ mereka merupakan ‘anjing dan kuda kerajaan’. Tuan-tuan dan puan-puan, polis ialah organisasi di bawah Kementerian Dalam Negeri. Mereka menjalankan tugas di bawah arahan kerajaan dan kepimpinan PDRM. Mereka menjunjung dasar dan perlembagaan negara. Hina sangatkah polis yang berkhidmat di bawah kerajaan untuk rakyat? Hanya semata-mata polis berkhidmat di bawah kerajaan UMNO-BN? Bagaimana pula sekiranya PAKATAN RAKYAT yang memerintah? Polis tetap akan berkhidmat di bawah kerajaan PR.

Mengapa? Kerana polis ialah golongan pentadbir awam. Mereka akan berkhidmat di bawah mana-mana kerajaan yang memerintah, bukan HANYA berkhidmat untuk kerajaan UMNO-BN. Baik, contoh mudah...di Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang...siapa yang mengiringi kereta-kereta mewah Menteri Besar, Ketua Menteri dan exco-exconya kalau bukan polis? Siapa yang mengawal keselamatan majlis-majlis rasmi yang melibatkan pemimpin-pemimpin kerajaan? Polis PR ke? Atau Polis BN? Tidak wujud polis yang memihak kepada mana-mana kerajaan. Walaupun empat kerajaan negeri ini merupakan kerajaan pembangkang tetapi adakah pihak polis bertindak mogok kerja dan tidak mahu berkhidmat dengan kerajaan pembangkang? Luaskan pemikiran anda tuan-tuan dan puan-puan.

Pentadbir awam termasuklah polis dalam konteks pentadbiran awam perlu bersifat neutral...maksudnya kalau kerajaan bertukar tangan mereka tetap akan berkhidmat dengan kerajaan mana yang memerintah.

Jadi...tidak timbul isu polis anjing dan diperkuda kerajaan UMNO-BN, jikalau PR yang memerintah, polis dapat gelaran baru.....ANJING DAN KUDA PAKATAN RAKYAT? Hmmm...

Satu lagi perkara, kita tidak sedarkah polis banyak menyumbang jasa dalam mengawal jenayah dan keselamatan negara? Jika rumah dipecah masuk...repot polis. Jika kereta kena curi...repot polis. Jika mak kena ragut...repot polis. Itu skop kecil...tapi kita dapat lihat siapa yang menjadi tempat mengadu? Pihak polis. Kalau ada yang menyangkal dakwaan ini dengan mengatakan “itu dah memang kerja polis”...jadi apa masalahnya? Anda memang memerlukan polis bukan?

Sekarang kita luaskan skop dengan isu-isu dan kes yang berprofil tinggi, kes penyeludupan, kes jenayah bersiri, kes aktiviti penggubahan wang haram, cetak rompak, pelacuran dan macam-macam lagi. Perlu dibiarkan atau dibanteras? Semua tugas polis? Hakikatnya polis...polis...polis...

Pasti ada yang mengecam polis dengan mengaitkan pihak polis dengan salah laku, penyelewengan, rasuah dan lain-lain ketika polis menjalankan tugas. Saya dah penat dengan isu ini. Saya cuma nak pesan, tiada yang yang sempurna di dunia yang fana ini. KERANA NILA SETITIK ROSAK SUSU SEBELANGA. Tidak kira siapa yang memegang kuasa, pasti ada kesilapan dan kealpaan. Kita bukan hidup di zaman Rasulullah dan para sahabat. Ada yang menjadikan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai idola pentadbirannya...tapi pentadbirannya juga tidak setelus pentadbiran Umar Abdul Aziz. TIADA YANG SEMPURNA.....

Tetapi, sekurang-kurangnya bersama-samalah kita MEMBAIKI mana yang silap dan menegur atau kritik kealpaan pihak lain dengan cara yang BERHEMAH. Bukan hanya pandai MENGHENTAM...

Wallahualam...




Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Polis Kejam, Polis Korup, Polis Tidak Berperikemanusiaan, Polis Zalim, Polis Diperkuda Kerajaan...Segalanya negatif!! (bahagian II)

Assalamualaikum wbt dan salam perpaduan...

Sebelum ini telah saya bincangkan mengenai isu rasuah dalam kalangan pasukan keselamatan khususnya pasukan PDRM. Saya nyatakan dalam bahagian pertama itu, bahawa saya inginkan masyarakat yang tidak tertumpu kepada satu-satu pihak sahaja dalam mengenalpasti dan melihat isu rasuah. Kita perlu melihat dan memantau secara holistik, melihat dan mengambil berat isu ini kepada semua jabatan tidak kira sektor kerajaan, swasta mahupun keselamatan. Hapuskan tanggapan dan persepsi negatif terhadap PDRM semata-mata. Buka mata dan pemikiran, sesungguhnya isu ini berlaku di mana-mana. Cuma kita sahaja yang masih berfikiran stereotaip apabila mengaitkan amalan rasuah dengan pihak polis. Saya mendapat respon daripada seorang pembaca, beliau menyatakan amalan rasuah dalam PDRM sangat berleluasa apabila kebanyakan anggota dan pegawai polis mampu memiliki rumah agam dan kenderaan mewah. Bilangan polis yang berkhidmat dengan jujur dan berdedikasi pula boleh dibilang dengan jari. Saya tidak nafikan perkara itu berlaku. Cuma saya sudah nyatakan JANGAN MENGHUKUM PIHAK POLIS SAHAJA DALAM ISU RASUAH. Fokus seharusnya diluaskan kepada semua pihak keselamatan dari pelabagai jabatan. Rasanya sudah cukup mengenai isu rasuah dan mohon semua memahami apa yang ingin saya sampaikan.

Dalam bahagian kedua ini, saya ingin mengulas mengenai tuduhan zalim, kejam, tidak berperikemanusiaan dan sebagainya kepada pihak polis. Kebiasaannya isu ini mula timbul apabila perarakan haram, demonstrasi dan perhimpunan diadakan dengan kehadiran polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk mengawal keadaan.

Berikut peralatan-peralatan pasukan keselamatan yang dikatakan menakut-nakutkan para demonstrator:

1) Shield (perisai pelindung diri)
2) Gas pemedih mata,
3) Water canon,
4) Bom asap,
5) Senjata api
6) Belantan
7) Trak-trak merah (trak FRU)...kononnya mencetuskan rasa panik.

Ada pula pihak yang menghantar memorandum kepada pihak polis bahawa kehadiran polis dengan pelbagai kelengkapan itu cuba menakut-nakutkan mereka. Hakikatnya, adakah mereka takut? Demonstrasi tetap berjalan malahan demonstrator lebih berani bersikap agresif melawan pihak berkuasa kerana mereka merasakan ramai dan cukup kuat.

Tujuan pihak polis dan FRU bersiap sedia dengan kelengkapan tersebut sebagai langkah pencegahan dan persiapan awal sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal. Ada pula yang mengatakan pihak polis memulakan provokasi dan bersikap kasar kepada demonstrator. Bagi saya mudah, SEMUA demonstrator dan SEGELINTIR daripada mereka MUNGKIN akan lalui perkara-perkara berikut:

1) Menjerit-jerit, melaung-laungkan HAK ANDA
2) Mengangkat sepanduk atau poster-poster
3) Berarak beramai-ramai dengan kata-kata SEMANGAT (mungkin kata-kata KESAT)
4) Memaki hamun orang lain (kerajaan kot termasuk polis)
5) Memprovokasi polis, mencabar polis menangkap anda?
6) Bersikap kasar
7) Tidak mahu mengikut arahan pihak polis (degil)
8) Melawan sekiranya dinasihati atau diberi amaran oleh polis
9) Tidak menghiraukan orang lain
10) Membaling objek-objek keras

Jadi, sekiranya anda sangat kemaruk nak jadi demonstrator sudah sememangnya perlu berhadapan dengan polis yang bertindak kasar kerana situasi sebegitu memerlukan mereka bertindak kasar kepada anda. Ada ke demonstrator lembut?” Nah, elok sangat la kalau demonstrator, polis dan FRU sama-sama sopan-santun, lembut-lembut belaka. Fikir logik la sikit. Kalau tak nak diperlakukan kasar, tak payah la sertai demonstrasi, duduk je rumah belai-belai isteri/suami.

Anda tidak akan diperlakukan kasar tanpa sebab. Sekiranya anda cuba lari daripada ditangkap polis, ia merupakan satu kesalahan yang berganda. Berpeganglah kepada ungkapan ini. Berani hadapi risiko, baharulah dinamakan pejuang dan penuntut hak yang sejati. Tidakkah begitu?

Bandingkan dengan polis di negara lain, mereka lebih ganas dan kasar daripada polis di negara kita. Seringkali media-media massa menyiarkan keganasan polis di negara luar menangani demonstrasi dan kesalahan-kesalahan lain. Jadi, polis kita ni agak lembut sedikit la berbanding polis negara lain. Betul tak? Bukankah itu yang kita mahukan?

Saya bukan pro-polis....saya rakyat Malaysia yang berfikiran rasional.

Bersambung...


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Perbarisan Pembukaan Latihan Ko-kurikulum

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera...

Sebanyak tujuh detachment menyertai perbarisan bersempena dengan pembukaan latihan ko-kurikulum pada 8 Ogos 2009 di dataran kawad USM.

Antara yang segak hadir pada pagi itu ialah PALAPES Darat, Laut, dan Udara, Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS), St. John Ambulance Malaysia (SJAM), Bulan Sabit Merah (BSMUSM) dan Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM).

Upacara yang sepatutnya berlangsung dalam tempoh yang lebih lama terpaksa dipendekkan kerana hujan turun mencurah-curah membasahi bumi USM ketika Naib Canselor, Kolonel Kehormat Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak sedang menyampaikan ucapan perasmian. Cuaca ketika itu cukup nyaman dan masing-masing dengan perasaan reda, basah disirami hujan termasuklah Naib Canselor sendiri.

Tahniah kepada semua yang menerima pangkat termasuklah En. Shahrul Hanafi dari SUKSIS selaku Skuad Leader skuad senior.

Sekalung peghargaan juga kepada PALAPES Laut kerana mereka masih teguh semangat saat mempersembahkan 'kawad senyap' bersama senjata M16 di hadapan para tetamu VIP walaupun ketika itu hujan lebat sedang turun. namun persembahan tetap diteruskan hingga ke akhirnya.



Sudah semestinya untuk Kontinjen KOR SUKSIS, sejuta penghargaan dan tahniah kerana berjaya memberi komitmen dan berjaya melakukan yang terbaik pada perbarisan ini. walaupun menerima kritikan daripada seorang jurulatih 'mereka' pada awalnya, namun ketika upacara yang sebenar kita telah buktikan pada 'mereka yang berbaju hijau' kitalah yang terbaik dalam perbarisan.


Majlis diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai bersama Naib Canselor...
terima kasih semua...


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

“Polis Kejam, Polis Korup, Polis Tidak Berperikemanusiaan, Polis Zalim, Polis Diperkuda Kerajaan”...Segalanya negatif!! (Bahagian 1)

Assalamualaikum wbt dan salam perpaduan...

Beberapa hari kebelakangan ini ramai yang bercerita mengenai ISA termasuklah perhimpunan memansuhkan ISA di Kuala Lumpur beberapa hari lalu. Saya juga sempat mengintai-intai beberapa blog yang menyokong dan membantah ISA. Masing-masing mengemukakan hujah dan pendapat yang berbeza-beza. Lantang, panas dan gempar. Ada satu isu yang menarik perhatian saya untuk dibincangkan di sini iaitu pihak polis dilemparkan dengan pelbagai kecaman, hinaan dan makian. Pasukan keselamatan ini dilabelkan sebagai pasukan yang kejam, zalim dan tidak berperikemanusiaan. Atas dasar apa? Kerana tindakan mereka menahan, menyiksa dan melakukan kekasaran terhadap tahanan ISA. selain itu, polis sering dikaitkan atau disinonimkan dengan rasuah. Ini merupakan stigma rakyat Malaysia sejak dahulu kala lagi yang seharusnya dikikis. Sejauh manakah kewajaran tuduhan ini? Mari kita selak satu per satu...

Saya mulakan dengan isu rasuah. Apabila menyebut perkataan “POLIS” ada di antara kita dengan pantas mengaitkannya dengan "RASUAH". Mengapa hanya polis yang dituduh dengan gejala tidak bermoral ini? Saya pernah bertanya satu soalan mengenai rasuah kepada seorang penceramah dalam Kursus Kenegaraan di Kem Bina Negara, Kaki Bukit, Perlis. Menurut penceramah tersebut, rasuah merupakan satu fenomena yang berlaku di seluruh dunia. Saya ulangi sekali lagi RASUAH MERUPAKAN SATU FENOMENA di seluruh dunia. Saya berasa hairan mengapa hanya polis yang dikaitkan dengan rasuah. Untuk makluman, jabatan-jabatan lain turut mengalami gejala ini tidak kiralah jabatan kerajaan mahupun swasta. Rasuah juga merupakan sebahagian kegiatan jenayah kolar putih yang harus dibanteras terutamanya dalam jabatan kerajaan. Apa yang membezakan ialah, frekuensi gejala ini berlaku lebih kerap dalam kalangan jabatan atau agensi keselamatan. BUKAN POLIS SAHAJA, tetapi imigresen, kastam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan agensi-agensi lain mengalami gejala ini. Saya bukan memihak kepada pihak polis, tetapi mengambil pendekatan dan bersikap neutral dan bukannya sesuka hati melempar tuduhan kepada mana-mana pihak. Bagi pihak yang hanya melihat dari satu sudut sahaja, maka mereka hanya akan melihat polis=rasuah.

Mengapa polis sering dicop meminta rasuah?

Hal ini berkaitan dengan stigma negatif masyarakat yang pernah menjadi mangsa kepada segelintir anggota polis yang tidak beretika ketika menjalankan tugas. Pepatah Melayu mengatakan “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”. Hanya kerana segelintir anggota yang mengamalkan rasuah, seluruh pasukan polis dilabel sebegitu hina. “Polis bergelumang dengan rasuah”. Dahulu, pihak polis mengenakan satu lencana di sebelah kanan pakaian seragam mereka yang tertulis “Saya Anti Rasuah”. Lencana itu merupakan satu langkah untuk memperingatkan para anggota polis supaya lebih berhemah, beretika dan berintegriti dalam menjalankan tugas dan kehidupan seharian. Malangnya ada pihak yang secara berseloroh atau dengan niat menghina mengatakan lencana tersebut tertulis “Saya Menanti Rasuah”. Alangkah rendahnya maruah pasukan keselamatan kita dituduh sebegitu rupa.

Apabila kita berada di jalan raya, jika kita melihat ada anggota trafik menahan pemandu kenderaan atau penunggang motosikal maka terlintas di fikiran kita, “cari duit kopi la tu”...atau “sekarang tengah gaji...dia buat kerja la...” Saya minta para pembaca sekalian, tolong berhenti daripada berfikiran sedemikian. Bayangkan perasaan mereka sekiranya anggota polis itu sedang manjalankan tugas dengan niat yang ikhlas tetapi disalaherti, disalahtafsir, salah sangka menyelubungi diri kita terhadap anggota tersebut. Saya akui dahulu saya pernah berfikiran begitu, tetapi tidak lagi pada hari ini. Dan saya juga pernah mendengar ungkapan-ungkapan yang tidak sedap didengar terpacul daripada mulut rakan-rakan saya apabila melihat polis menahan pemandu di jalan raya. Fikirlah secara rasional, seorang anggota polis sedang mencari rezeki dengan menjalankan kewajipannya tetapi kita disekeliling mereka mencebik dan membuat andaian dangkal sewenang-wenangnya.

Pihak polis mempunyai akses dan rangkaian yang sangat luas di sesebuah negara. Mereka bertugas di khalayak ramai, di kawasan tumpuan awam dan tempat-tempat yang berisiko. Maka, masyarakat nampak apa yang mereka lakukan, masyarakat melihat polis menjalankan tugas di depan mata mereka. Maka mereka membuat hipotesis mudah dengan mengatakan terdapat unsur-unsur rasuah ketika polis manjalankan tugas berbanding pekerja-pekerja yang bertugas di dalam pejabat dan dibelakang pemerhatian rakyat. Saya tekankan sekali lagi, bukan semua polis bersikap demikian. Ia merupakan satu tuduhan yang tidak adil kepada anggota polis yang bertugas dengan jujur. Kita perlukan satu pemikiran yang ke hadapan dan bukannya pemikiran mundur dan stereotaip terhadap pasukan keselamatan.

Saya bukan anak seorang anggota polis. Tetapi ya betul saya merupakan seorang pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) USM. Saya bukan bersikap bias atau memihak kepada polis. Ini adalah kesedaran yang timbul dalam diri saya sendiri. Kadangkala saya memikirkan perasaan anggota polis yang berkhidmat untuk rakyat dan kerana negara. Saya memikirkan isteri-isteri anggota polis dan anak-anak polis. Apakah perasaan kita sekiranya bapa kita dilempar dengan tuduhan yang bersifat hinaan??

Agenda Memecahbelahkan orang Melayu

Wahai bangsaku, anggota polis kita kebanyakannya terdiri daripada orang-orang Melayu. Apa yang berlaku hari ini, orang Melayu sendiri menghina bangsa kita yang bertugas dalam sektor keselamatan. Ada diantara kita sangat membenci polis. Menyampah, meluat!!. Kalau boleh nak pergi depan anggota polis dan maki, caci, hina puas-puas dan pukul dia. Sampai begitu sekali sentimen kebencian yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu. Apabila berlaku perhimpunan atau perarakan atau kempen pilihan raya, polislah yang akan bertugas mengawal keadaan, jika kita sedar anggota polis menerima pelbagai kata-kata kesat dan provokasi daripada individu-individu tertentu. Tetapi itu tidak melunturkan semangat mereka untuk bertugas. Siapa yang melemparkan kata-kata kesat? Orang melayu juga...

Siapakah disebalik orang Melayu yang celupar mulutnya itu? Tokoh-tokoh politik yang cuba bermain api dengan melaga-lagakan kita...orang-orang Melayu. Dan orang Melayu Cuma menurut bagai lembu dicucuk hidung, terlalu mudah terpengaruh dan termakan hasutan. Inilah bangsa kita. Rasa tidak puas hati yang meluap-luap disalurkan dengan cara dan tindakan yang keras dan tidak beradab. Hilang moral dan sopan santun kita....

Tidak termasuk dengan pelbagai kata nista yang dinukilkan dalam laman-laman web, laman blog atau media alternatif. (akan dibincangkan kemudian).

Sedarkah kita ada kelompok tertentu yang sengaja mahu memainkan sentimen kebencian dalam bangsa Melayu itu sendiri? Salah satu caranya ialah dengan menanam perasaan benci kepada pasukan keselamatan terutamanya polis kerana sebahagian besar anggota polis adalah orang Melayu. Tidak cukup dengan itu, pasukan keselamatan dilabelkan sebagai pengamal rasuah. Maka orang Melayu itu ialah pengamal rasuah? Bangsa yang rendah martabatnya dan tidak bertamadun? Inilah strategi yang dilakukan untuk memecahbelahkan orang Melayu. Malangnya tidak ramai yang menyedarinya. Cukup menyedihkan....
bersambung...
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Antara Perpaduan Melayu, Kerajaan Perpaduan dan 1Malaysia

Assalamualaikum dan salam perpaduan...

Sebelum saya mengarang dengan lebih panjang mengenai topik ini, saya tegaskan di sini penulisan ini bukanlah berunsurkan politik semata-mata. Apa yang saya ingin luahkan di sini ialah perpaduan bangsa Melayu yang semakin rapuh hanya kerana perbezaan fahaman politik dan hasutan daripada anasir luar yang tidak mahu melihat Melayu bersatu padu. Lebih malang lagi apabila ada diantara kita sendiri yang menjadi batu api dan penentang kepada usaha membawa perpaduan dalam masyarakat kita. Saya akui apabila berbicara mengenai perpaduan dan bangsa Melayu, kita tidak dapat lari daripada memperkatakan unsur politik. Dalam isu ini saya tidak hanya menyentuh mengenai perpaduan Melayu tetapi juga memberi penekanan terhadap perpaduan bangsa Malaysia. Tetapi kita perlu ingat, sebelum perpaduan bangsa Malaysia dapat dicapai perpaduan Melayu perlu digerakkan terlebih dahulu kerana bangsa Melayu merupakan tonggak kepada perpaduan masyarakat di negara ini. Tetapi banyak cabaran dan halangan yang perlu dihadapi untuk menjadikan slogan 1Malaysia menjadi realiti. Rasanya saya lebih selesa untuk membahasakan bangsa Melayu tu sebagai “kita”. Seterusnya kita perlu melihat krisis dalaman orang Melayu yang kini tidak mencapai perpaduan kerana politik kepartian yang memecahkan kita kepada empat kelompok.

Pertama, kelompok yang menyokong perjuangan UMNO. Kedua, kelompok penyokong Pas. Ketiga, penyokong PKR dan terakhir golongan yang tidak ambil peduli dan tidak memihak kepada mana-mana kelompok. Kita lupakan kelompok yang keempat itu kerana mereka tidak mempunyai kepentingan dalam perbincangan ini. Secara kasarnya jika kita melihat asas perjuangan ketiga-tiga parti yang disertai oleh orang-orang kita, mereka mengaku memperjuangkan bangsa Melayu. Saya ulangi...secara kasarnya. Namun begitu, kesemua kelompok ini mempunyai ideologi dan fahaman yang berbeza dari segi pelaksanaan dasar perjuangan mereka. Masing-masing mempunyai latar belakang yang berbeza tidak kiralah warna merah yang berunsurkan perjuangan Melayu, warna hijau yang memperjuangan Islam dan juga warna biru muda atau parti anomik, iaitu parti yang ditubuhkan secara tiba-tiba disebabkan tercetusnya isu tertentu (tidak perlu saya jelaskan lagi).

Muzakarah antara UMNO dan Pas pernah diadakan tetapi tidak menemui resolusi. Hal ini kerana ada pemimpin yang menyokong dan menentang usaha tersebut. Dalam parti yang didominasi oleh orang Melayu sendiri tidak ada perpaduan, bagaimana ingin mewujudkan perpaduan bersama parti lain? Jika kita luaskan skop, bagaimana ingin menyatupadukan pengikut sedangkan pemimpin Melayu bertelagah sesama sendiri? Masing-masing mementingkan kepentingan dan keutamaan parti berbanding perpaduan yang sepatutnya dicapai antara dua parti Melayu terbesar ini. Manakala sebuah lagi parti sememangnya jauh dari meja rundingan bersama UMNO dan Pas. Mungkin juga mereka tidak akan bekerjasama sampai bila-bila kerana parti tersebut tidak didominasi oleh satu kaum, sebaliknya ia mengutamakan ‘perpaduan nasional’ dengan membuka keahlian kepada semua bangsa. Maka, parti tersebut dilihat lebih liberal dan kurang memfokuskan kepada agenda menyatupadukan bangsa Melayu.

Cukup mengenai parti politik. Kita beralih kepada penyatuan bangsa. Bangsa Melayu. Bangsa kita tidak bersatu padu seperti bangsa Cina dan India. Telah saya katakan tadi, orang Melayu terpisah kepada empat kelompok. Begitu juga bangsa Cina, mereka juga terpisah kepada beberapa kelompok parti politik. Walaubagaimanapun, apabila bercakap mengenai soal perpaduan atau kepentingan bangsa mereka, ideologi politik dan semangat kepartian ditolak ketepi. Mengapa? Mereka lebih cenderung duduk bersama dalam persatuan-persatuan dan kedudukan kewangan mereka amat kukuh. Duduk berbincang menjadi amalan mereka di belakang pandangan kita. Adakah kita sedari? Situasi ini sangat berbeza dengan sikap orang-orang kita. Maka tidak hairanlah apabila ada yang mengatakan “Orang Melayu sangat bergantung kepada kerajaan. Ada masalah saja lari kepada kerajaan. Orang Cina tidak bergantung kepada kerajaan, mereka ada banyak persatuan yang boleh membela dan menjadi tempat mengadu”.

Itu merupakan satu kebenaran. Jangan kita nafikan fenomena ini. Ungkapan tersebut sudah cukup menggambarkan bagaimana bangsa lain mampu bersatu padu berbanding bangsa kita. Jadi, adakah bangsa kita mampu berdiri sendiri seperti mereka? Saya percaya bangsa kita sudah terlalu selesa dengan bantuan kerajaan yang sejak sekian lama diterajui oleh orang Melayu. Bagaimanakah keadaannya sekiranya negara ini ditadbir oleh orang bukan Melayu? Ianya tidak mustahil. Adakah bangsa kita masih akan bergantung kepada kerajaan? Dan adakah kerajaan ketika itu mahu membantu kita?

Mungkinkah apabila kita sudah terpinggir dan tidak mempunyai kuasa politik baharulah mahu bersatu?

Berkenaan dengan Kerajaan Perpaduan, isu ini pernah dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang ketika Muktamar Pas yang lalu, tetapi nampaknya telah berkubur. Saya pasti semua tahu mengapa idea itu tidak jadi dilaksanakan. Presiden memberikan buah fikiran untuk kepentingan dan kelangsungan hidup orang kita, tetapi ada pihak yang menentang dengan alasan masih mengimbau kenangan lampau, peristiwa hitam dan sejarah lapuk perjuangan parti. Pas pernah ‘ditikam dari belakang’ dan ‘ditendang keluar dari BN’. Maka ia menjadi asas penolakan idea Presiden mereka sendiri. Akhirnya Presiden hanya menurut sahaja. Inilah contoh konsep ‘ketaatan kepada ketua’. Hujah yang dikemukakan untuk menolak kerajaan perpaduan hanyalah kerana cerita lama yang masih tidak dapat diterima hingga sekarang. Antara perpaduan bangsa dan cerita lama politik, yang manakah lebih penting? Sudah tentulah politik. Kerana apa? Kerana masing-masing mahu parti mereka mendominasi dan tidak mahu diketepikan dan hilang pengaruh. Inilah situasi politik bangsa kita hari ini. Tidak ada persefahaman dan berkiblatkan kuasa politik semata-mata.

Tetapi ada juga kata-kata yang menyalahkan media kerana sengaja mensensasikan isu tersebut. Media menjalankan tugas. Mereka sememangnya melaporkan berita mengikut pandangan dan perspektif yang berbeza. Mengikut Teori Penetapan Agenda yang dikemukakan oleh Prof. McComb dan Prof. L. Shaw, kuasa media sangat hebat apabila melaporkan berita secara meluas dan memanipulasikannya untuk menarik perhatian pembaca dengan cara tertentu. Seterusnya masyarakat yang terdedah kepada laporan media akan mula dipengaruhi dengan pemikiran yang percaya bahawa isu tersebut sangat penting untuk diperkatakan dan dibincangkan. Akhirnya ia akan memberi kesedaran dan perhatian yang lebih mengenai isu tersebut. Inilah yang berlaku sebenarnya di sekeliling kita. Hasil daripada kuasa media telah memberi impak kepada masyarakat yang mahukan perpaduan bangsa. Media kerajaan, media pembangkang mahupun media alternatif, kesemuanya memainkan isu ini dan ia tidak akan mati begitu sahaja selagi ada ancaman dan pergolakan dalam sesuatu masyarakat majmuk seperti kita di Malaysia. Ia bukanlah satu permainan politik yang disengajakan, ini merupakan realiti dunia kehidupan kita.

1Malaysia? Saya tidak perlu mengulas panjang. Selagi apa yang telah diperkatakan di atas tidak tercapai, konsep yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak sukar untuk dilaksanakan. Apabila sukar dilaksanakan, keberkesanannya juga lambat untuk kita nikmati. Satu dasar yang mulia, yang bertujuan untuk memakmurkan rakyat seharusnya difahami dan dihargai. Bukannya dimanipulasi dan diputerbelit sehingga menimbulkan tanda tanya, persoalan dan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Sistem politik di Malaysia masih lagi mengamalkan toleransi dan demokrasi. Demokrasi yang dimaksudkan bukanlah demokrasi tulen atau demokrasi yang sebenar-benarnya. Tidak wujud demokrasi sebegitu. Ada demokrasi yang lebih cenderung kepada liberal dan ada demokrasi yang cenderung kepada autokrasi. Di Malaysia? Bandingkanlah demokrasi kita dengan demokrasi negara lain seperti Amerika Syarikat yang lebih liberal dan Singapura yang sedikit autokratik . Perpaduan sewajarnya dicapai melalui medium demokrasi sederhana yang kita amalkan. Kita lebih banyak berpolitik daripada memikirkan masa depan. Harus kita ingat, politik sememangnya MEMPENGARUHI masa depan tapi tidak MENJAMIN masa depan yang lebih sejahtera.

Mungkin saya kelihatan berpolitik di ruangan ini. Tetapi isu ini memerlukan perbincangan demi survival orang Melayu. Itu secara logiknya. Menurut Aristotle manusia semulajadinya ialah ‘haiwan’ politik. Kita tidak akan terlepas daripada memperkatakan politik dalam kehidupan. Maka, fikir, tafsir dan pandang dari sudut ilmiah.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lain-lain Cerita di OH BELOG!