Akhbar Tempatan

Madah Negarawan

Madah Negarawan

Popular Posts

2012: Suntikan Halus Propaganda Barat

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan...
Beberapa hari lalu saya dan beberapa teman baik menonton filem "2012". Sebuah filem yang mengisahkan bencana alam maha dahsyat yang membawa kepada tamatnya riwayat kehidupan manusia di muka bumi ini (tetapi yang menaiki bahtera ramai yang terselamat).


Penggambaran, imej, kesan khas, grafik komputer dan segala teknologi perfileman tidak dapat dinafikan kehebatannya. Sememangnya ia mengkagumkan sesiapa sahaja yang menontonnya. Berlainan pula dengan filem tempatan "Pisau Cukur" yang konon-kononnya menjalani penggambaran di atas kapal persiaran mewah, tetapi....bagi anda yang telah menontonnya, faham-faham sahajalah. Bukan niat mahu merendah-rendahkan kualiti filem tempatan, tetapi kita masih jauh ketinggalan dan tahap kita masih di tempat yang sama.


Rasanya saya hampir lari dari objektif asal tajuk entri ini. Apa yang ingin saya ceritakan ialah propaganda Barat yang sangat bijak memainkan sensitiviti masyarakat dunia hari ini tanpa kita sedari. Mungkin pengamatan saya masih kurang tajam, tetapi apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah pengamatan saya terhadap jalan cerita dan adegan yang nyata menunjukkan propaganda Barat dalam memberi interpretasi terhadap perkembangan semasa dunia global hari ini .


1) India - Mempunyai kepakaran yang hebat dalam bidang sains dan keupayannya itu dirahsiakan daripada pengetahuan awam. Filem ini menunjukkan pakar geologi, fizik dan astronomi India menjalankan kajian dan pemantauan 3300 meter di bawah permukaan muka bumi. Merekalah yang mula-mula mengesan letupan yang sangat kuat di permukaan matahari, iaitu 'neutrinos' sehingga menghasilkan 'physical reaction' terhadap Bumi. Berlakunya pergerakan plat tektonik dan pemanasan mendadak kerak bumi serta impak yang akan berlaku terhadap bumi mengikut jangkaan tempoh tertentu.


2) China - Juga diperlihatkan kehebatan mereka dalam bidang kejuruteraan dan teknologi perkomputeran apabila China mencipta, membina dan mengoperasikan 'bahtera' yang sangat besar dan canggih hanya dalam masa dua tahun (2010-2012) dengan bilangan pekerja mahir yang sangat ramai. Namun, watak seorang pekerja China, Tenzin, yang membawa ahli keluarganya dan keluarga Jackson dari Amerika Syarikat menyusup masuk ke dalam bahtera digambarkan sebagai 'perosak' dan penyebab masalah kepada operasi menyelamat umat manusia.


3) Amerika Syarikat - Sebuah negara kuasa besar yang mengetahui segala-galanya. Mereka sedaya upaya cuba menyelamatkan dunia dan manusia daripada kemusnahan tetapi gagal. Presidennya pula digambarkan sebagai seorang yang berjiwa rakyat dan tidak mahu menyelamatkan diri ke China bersama-sama para pegawainya untuk menaiki bahtera. Presiden Amerika mengambil keputusan untuk mengambil pendekatan keagamaan dan berserah kepada ketentuan takdir. Presiden Amerika turun padang berseorangan bersama-sama rakyatnya meghadapi saat-saat kematian menempuh runtuhan bangunan, debu-debu kotoran, dan akhirnya dilanggar ombak tsunami yang datang bersama kapal perang USS yang datang entah dari mana. Manakala kapten bahtera juga merupakan warga Amerika walaupun bahtera tersebut dibina oleh China. Ini menunjukkan mereka amat berkuasa.


4) Rusia - Yuri Karpov, watak bilionaire berbangsa Rusia digambarkan sebagai bangsa yang mementingkan diri dan tamak dalam adegan ketika mereka ditahan oleh penguasa China selepas pesawat mereka terhempas di pergunungan China. Dia juga mengeksploitasi Gordon yang pandai menerbangkan pesawat demi menyelamatkan diri bersama anak-anaknya. Tamara dan Shasha pula mempunyai hubungan sulit dan digambarkan sebagai tidak setia terhadap majikannya. Adegan perlawanan tinju antara petinju Rusia dan Amerika juga menggambarkan petinju Rusia itu mudah hilang fokus dan lemah semangat apabila melihat Curtis berjalan keluar dari tempat berlangsungnya perlawanan, lalu dia dikalahkan lawannya dari Amerika dengan mudah.


5) Arab Saudi - Kerajaan Saudi diangkat sebagai salah satu kerajaan yang menyumbang sejumlah wang untuk membina bahtera melalui watak 'Raja Fahd' yang agak keberatan untuk menyumbang 1 bilion dalam matawang EU, namun permintaan itu ditunaikan juga.


6) Negara kuasa besar dalam PBB - Watak-watak pemimpin negara Rusia, China, Jepun, Jerman, Perancis, Sepanyol, dan UK digambarkan sangat mulia hati dan mengambil berat nasib rakyat ketika dalam adegan pertengkaran antara Adrian dan Anheuser dalam bahtera sama ada mahu membuka pintu bahtera atau tidak kepada orang ramai. Akhirnya para pemimpin tersebut bersetuju membuka pintu bahtera supaya orang ramai boleh memasuki bahtera dan bukan hanya untuk golongan atasan.


Terakhir, fakta yang sudah tersasar jauh, jika filem ini berkisar mengenai "The end of the world" atau "The judgement day" ataupun bahasa mudahnya ialah hari kiamat, sudah tentu tidak ada manusia yang terselamat. Tetapi filem ini menunjukkan rancangan Amerika Syarikat dan usahasama China membangunkan terknologi pembinaan bahtera dapat menyelamatkan manusia daripada hari kiamat. Lebih kurang begitulah tafsiran saya...


Sudah tentu ia bercanggah dengan ajaran agama kita...


Banyak lagi mesej yang tersirat dalam filem ini, baik ada, buruk pun ada, bergantung kepada bagaimana kita menonton sambil menghayati dan berfikir apakah makna terselindung di sebalik adegan dan jalan cerita sesebuah filem Barat.


Wassalam...
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Seungkap kata...

Tamat peperiksaan, ramai yang telah melangkah keluar dari pintu pagar kampus untuk pulang ke kampung. Selamat bercuti kepada semua mahasiswa/i IPT khususnya mahasiswa/i USM tidak kiralah dari Kampus Induk Pulau Pinang, Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal mahupun Kampus Kesihatan Kubang Kerian dan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha.
Bersama kita menanti semester akan datang......
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Cantik Luaran Indah Dalaman

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan.
.
Suatu tengahari ketika berada di kafe Desasiswa Aman Damai, sahabat saya KS30069 kelihatan sedang berborak dengan seorang pelajar perempuan tahun pertama. (biasa la tu....dah memang fi'il dia). Saya juga kemudiannya mendekati mereka dan turut sama berkongsi cerita. Tapi apa yang saya nak cerita di sini bukanlah mengenai perbualan kami tu, tetapi mengenai soal penampilan dan keperibadian.
.
Pelajar tersebut bertudung labuh dan lengkap menutup keseluruhan auratnya. Kebiasaannya kita akan menilai wanita sebegini sebagai wanita yang konservatif dan sukar didekati. Berlainan pula dengan pelajar tersebut, walaupun penampilannya sebegitu tetapi dia mesra, bersahaja dan bijak menyesuaikan diri dengan individu yang berada di sekelilingnya. Sifatnya sederhana seperti pelajar-pelajar lain. Tutur kata dan bicaranya tidaklah seperti terlalu control terikut-ikut ala ustazah.
.
Apabila saya melihat gaya dan penampilannya, saya teringat peristiwa rapat umum seorang calon pro-mahasiswa pilihan raya kampus (PRK) yang lalu. Sekadar ingin berkongsi cerita...
.
Seorang calon wanita, bertudung labuh berdiri di atas pentas, dengan gaya dan penampilan yang Islamik, memulakan syarahannya dengan kalimah Allah, lantang kata-katanya untuk menaruh keyakinan para mahasiswa supaya mengundinya dalam PRK agar dia dapat berjuang dalam barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) demi membangunkan universiti selari dengan kehendak Islam.
.
Permulaan yang mengkagumkan dan saya terus memerhatikan dan mendengar syarahannya dengan teliti. Kira-kira ketika itu calon tersebut sudah ada dalam fikiran saya untuk dipangkah dalam kertas undian pada hari pengundian nanti. Sedang saya cuba menghayati syarahannya yang berapi-api itu sambil terganggu dengan gegak gempita provokasi daripada para penyokong ASPIRASI dan PRO MAHASISWA, hasrat saya itu terbatal apabila calon itu mengeluarkan statement yang tidak sepatutnya. Terdetik di hati saya, "Nak pilih pemimpin yang akan berkhidmat kepada kita, perjuangkan hak kita mestilah yang elok peribadi luaran dan dalaman, tapi dia ni menyongsang arus plak. Reject la dia ni"...
.
Tidak perlu saya nyatakan ayat-ayatnya itu di sini, tetapi kenyataannya itu memburuk-burukkan pemimpin pelajar ketika itu, menyalahkan barisan kepimpinan yang tidak mengikut tatacara ajaran Islam sebenar. Seolah-olah dirinya betul dan hebat dalam pengamalan ajaran Islam.
.
Persoalannya, dia lupa ke dia sedang berada di khalayak ramai dengan membawa nama Persatuan Mahasiswa Islam (PMI)?? Dia lupa ke dia memulakan syarahannya dengan kalimah Allah, selepas itu mengeluarkan kata-kata yang mencerca dan memburukkan orang lain? Dia lupa ke dia sedang memperagakan pakaian Muslimah sejati? Dia lupa ke dia kata mahu membangunkan universiti dengan berlandaskan Islam sebenar, tapi kata-katanya itu ternyata menafikan kembali 'hasrat murninya' itu tadi.
.
Kesimpulannya mudah, jika kita mempamerkan imej luaran yang baik, sifat dalaman juga haruslah baik. Jangan sekadar memperlihatkan kecantikan kosmetik dan jangan pula bersikap hipokrit kerana mengejar tujuan dan maksud tertentu. Apabila seseorang itu bertudung labuh secara automatik kelakuannya juga harus terbatas dan terpelihara. Itu hak mereka untuk memilih dan saya sentiasa menghormati.
Berbalik kepada pelajar wanita yang saya ceritakan di awal entri tadi, memang benar dia bertudung labuh tetapi tidaklah dia bersikap hipokrit dengan cuba berlagak seperti ustazah dan baik serba-serbi. Lebih baik bersifat neutral atau semula jadi. Jadi diri sendiri...
Tidak perlu cuba untuk terlalu menonjolkan diri kerana jika "Cantik Luaran Indah Dalaman" dengan sendirinya orang lain akan tahu perwatakan dan keperibadian kita.
Wassalam....
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Secebis Catatan Peribadi

Tarikh : 10 November 2009
Masa : 5.58 pagi
Lokasi : Atas bukit bersebelahan BHEPP

Selepas menelan sekeping roti sardin dan segelas milo panas di Restoran Khaleel, aku, ainfikri dan fauzan mendaki bukit HEP sambil menyaksikan pemandangan laut, jambatan Pulau Pinang, highway Jelutong dan binaan pencakar langit.

Tatkala hati terasa tenang menikmati kedinginan embun pagi dan ketenangan alam di suatu tempat yang menggamit panorama, kedengaran suara bilal mengalunkan azan subuh, sayup-sayup dari jauh berlagu-lagu lagi mendayu-dayu memecah kesunyian, menambahkan lagi keasyikan suasana subuh hari.

Pulang ke Desasiswa AMAN DAMAI, sempatku mengisi saf pertama surau desasiswa yang sentiasa ada jemaahnya walaupun tak ramai.

Satu permulaan yang baik apabila aku memulakan hari dengan mendengar dan menghayati laungan azan subuh di samping menikmati pemandangan indah beserta perasaan bersyukur berada di bumi Malaysia yang AMAN DAMAI.

Alhamdulillah....
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Kisah Senioriti Dalam KOR SUKSIS

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan.

Saya tergerak untuk menulis mengenai "senioriti" kerana saya rimas berhadapan dengan beberapa masalah kerana konsep ini. Ia tidak melibatkan saya, tetapi melibatkan orang di sekeliling saya yang mungkin tidak mengerti dengan mendalam keperluan konsep senioriti.

Senioriti telah lama wujud dan diamalkan di mana-mana dan dalam pelbagai organisasi terutamanya di institusi pendidikan dan badan beruniform. Saya yakin jika anda merupakan pelajar yang membesar dengan kehidupan berasrama, anda sudah faham dan lali dengan konsep senioriti.

Saya tidak mahu menyentuh mengenai senioriti di sekolah asrama kerana kita tahu ia sinonim dengan keburukan, ketidakadilan, buli, penderaan mental dan fizikal dan lain-lain. Apa yang hendak saya terangkan ialah konsep senioriti dalam unit beruniform seperti POLIS dan TENTERA. Namun, sebagai mahasiswa saya lebih mengkhususkan topik ini dalam konteks pasukan Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (KOR SUKSIS). Tujuan entri ini bagi memberi gambaran sebenar dan tujuan mengapa konsep ini wujud dan perlu dipatuhi khususnya kepada anggota KOR SUKSIS secara keseluruhan.
.
Senioriti merupakan satu konsep yang menjadi satu keperluan kerana ia berkaitan dengan soal DISIPLIN dan PENGHORMATAN kepada individu yang lebih lama berkhidmat dalam pasukan. Saya tegaskan di sini, setiap anggota yang menyertai pasukan ini harus menerima corak kehidupan dan penerapan disiplin yang telah termaktub dalam pasukan ini. Jika anda merupakan seorang junior yang baru menyertai pasukan beruniform seperti KOR SUKSIS, anda tiada hak untuk mempersoalkan mengapa wujudnya sistem senioriti. Kewajipan anda hanyalah satu, iaitu menurut dan mematuhi segala ketetapan yang ada.
.
Saya berhujah atas kapasiti sebagai seorang anggota KOR SUKSIS tahun dua. Tidak kiralah siapa kita, mempunyai pangkat atau tidak, setiap anggota tertakluk kepada disiplin dan kawalan etika. Semua anggota bermula dari bawah. Bermula sebagai junior dan akhirnya menjadi senior. Semua anggota menghadapi situasi yang sama. Setiap individu mempunyai hak untuk dihormati, tetapi penghormatan itu perlu diletakkan lebih tinggi terhadap senior dalam pasukan anda.
.
Sebagai anggota baru, anda dilatih untuk memahami konsep hormat kepada pegawai atasan dan anggota yang lebih lama berkhidmat. Tidak timbul soal BERLAGAK atau TINGGI DIRI. Pegawai dan anggota PDRM sendiri menggunapakai konsep senioriti dan mengapa kita sebagai anggota KOR SUKSIS mempersoalkannya? Perlukah kita mempertikaikan konsep ini? Siapa kita? Kita hanya PELATIH tetapi sudah PANDAI menunjuk PANDAI.
.
Saya dan rakan-rakan lain tidak menghadapi sebarang masalah untuk menerima konsep senioriti sewaktu kami mula-mula menyertai KOR SUKSIS. Tidak pula wujud penderaan atau unsur-unsur kekerasan selama kami berada dalam KOR SUKSIS. Kerana kami sedar kami hanyalah anggota baru, masih lagi dalam proses pembelajaran, hidup dalam persekitaran baru iaitu dalam pembudayaan disiplin dan ketegasan. Ini menuntut kami untuk berusaha menyesuaikan diri dengan persekitaran sebegini. Apa yang paling penting, kami menyertai KOR SUKSIS atas dasar sukarela bukan kerana terpaksa.
.
Walaubagaimanapun, konsep senioriti dalam KOR SUKSIS hari ini tidaklah berlebih-lebihan. Apa yang saya maksudkan dengan berlebih-lebihan ialah anggota senior tidaklah terlalu mengangkat diri mereka sebagai senior yang hebat dan MESTI DIHORMATI. Apa yang tersemai dalam diri kami ialah anggota senior PATUT DIHORMATI. Kami masih lagi berpegang bahawa kita masih lagi menuntut sebagai pelajar universiti dan nilai-nilai yang diterapkan dalam KOR SUKSIS hanyalah di peringkat ASAS. Untuk mencapai amalan dan tataetika secara keseluruhan dalam PDRM, masih banyak lagi yang perlu kita pelajari.
.
Setiap anggota KOR SUKSIS masih boleh bercampur gaul sesama sendiri, makan bersama, berborak dan bergelak ketawa sesama sendiri tidak kira antara junior mahupun senior. Perkara ini wujud dan perlu diteruskan. Tetapi bergantung kepada diri masing-masing bagaimana untuk menyesuaikan diri anda dengan anggota yang lebih senior, mengawal tingkah laku, serta sifat hormat perlu sentiasa ada dalam pergaulan tersebut. Harus diingatkan, setiap tingkah laku dan tindak tanduk anda harus ada batasannya. Saya tidak akan mengunakan perkataan JANGAN kerana perkataan itu berbentuk larangan. Kebiasaannya larangan itulah yang akan diingkari. Mengambil pendekatan yang berbeza, saya memandang dari sudut psikologi rangsangan iaitu dengan menggunakan istilah ELAKKAN. Elakkan daripada mencari permusuhan sesama sendiri kerana faktor itulah yang menjadikan sesuatu pasukan itu menjadi lemah.
.
Saya tidak hairan jika anda tidak mengenali senior kursus pengajian anda. Saya tidak hairan jika anda menganggap senior di blok asrama anda seperti kawan-kawan biasa. Konsep senioriti di luar unit beruniform berbeza dengan senioriti yang dipraktikkan dalam pasukan beruniform. Tanggungjawab terhadap senior perlu dilaksanakan. HORMAT. Itu sahaja. Sekali anda mempamerkan sikap buruk terhadap orang lain, nama anda juga akan buruk dalam kalangan anggota lain. Saya memberi kanyataan berdasarkan pengalaman.
.
Peringatan sudah diberikan, kini tiba tanggungjawab untuk dilunaskan.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Negara Islam Atau Sekular?

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan.

Minggu ini jadual saya agak senggang tanpa sebarang peperiksaan. Jadi beberapa hari lalu saya memaksa diri untuk mengulangkaji kursus killer SPW206-Falsafah Politik. Sedang saya membelek-belek beberapa nota yang saya perolehi dari internet, saya terpandang frasa "Negara Islam". Jadi, timbul minat saya untuk membacanya. Nota itu turut dilengkapi dengan hujah-hujah daripada tokoh pemikir politik Islam, Prof. Dr. Yusuf Qardhawi dalam kitabnya Fiqh Kenegaraan dan Al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam As-Sultaniyah mengenai kriteria, ciri-ciri dan tanggungjawab negara Islam.
.
Menarik, dan menimbulkan pertikaian dalam pemikiran saya yang mulai berserabut dan seakan-akan diracuni apabila terselit satu isu dalam nota tersebut yang mempersoalkan Adakah Malaysia Sebuah Negara Islam? Selama ini saya telah menerima dan yakin bahawa Malaysia sebuah negara Islam. Tetapi sekarang, ia telah membuatkan saya berfikir kembali setelah meneliti beberapa fakta sejarah yang dikemukakan dan penghujahan daripada tokoh-tokoh tersebut dan beberapa tokoh tempatan.
.
Namun begitu, bukan mudah bagi saya menerima bulat-bulat maklumat tersebut. Saya mengambil inisiatif untuk mencari maklumat rasmi lain yang counter pendapat tersebut bagi mendapatkan informasi yang mengukuhkan penghujahan bahawa Malaysia adalah negara Islam.
.
Jadi, saya ingin menimbulkan keraguan di ruangan ini. Anda sebagai pembaca mempunyai hak untuk menilai. Saya juga mempunyai nilai pandangan saya sendiri. Tidak perlu wujudnya pertikaian yang cenderung ke arah fahaman politik. Saya tegaskan lagi, saya TIDAK MEMERLUKAN penghujahan yang bersandarkan fahaman politik. Yakin dan percaya dengan pandangan diri sendiri dan sulaminya dengan fakta yang bersifat ilmiah.
.
Nota yang berbentuk slide show itu boleh anda lihat di link berikut: http://www.scribd.com/doc/7456298/06-Negara-Islam
.
Nota tersebut mengandungi fakta-fakta sejarah dan pandangan tokoh-tokoh tempatan yang menunjukkan Persekutuan bukanlah sebuah negara Islam, tetapi merupakan sebuah negara sekular. Selain itu, turut dimuatkan kriteria negara Islam yang telah digariskan oleh Yusuf Qardhawi, tanggungjawab negara Islam oleh Al-Mawardi dan pendefinisian negara Islam oleh beberapa tokoh Islam terkemuka.
.
Hasil bacaan anda akan membuatkan anda berfikir seketika.
.
Jika anda percaya bahawa perlembagan kita menyimpang daripada perundangan Islam, untuk mendapatkan maklumat lanjut, saya sertakan juga fakta dan penghujahan yang menyokong dan menegakkan bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam di link berikut:
.
Ironinya, penghujahan ini menepati tanggungjawab negara Islam yang dikemukakan oleh Al-Mawardi dan membidas kembali fakta yang mengatakan Malaysia sebuah negara sekular.
.
Sama-sama kita membuka fikiran dan meluaskan pembacaan. Jika kita mempunyai ideologi sendiri, pemahaman sendiri dan pendirian sendiri jangan biarkan diri kita menjadi seorang yang taksub dan fanatik kepada sesuatu perkara. Belajar untuk menerima kenyataan dan hakikat sebenar, fakta dan penghuraian yang logik dan bertepatan dengan konsep amalan berakademik.
.
Sekadar ingin berkongsi maklumat...
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Ketandusan Pemimpin, Kualiti Kepimpinan - Mengundang Kritikan dan Kejatuhan

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan.

Isu kali ini berkisar mengenai satu perkataan dasar PIMPIN. Pemimpin, kepimpinan, terpimpin, memimpin dan pimpinan. Rasanya soal kepimpinan ini sangat penting dan banyak diulas di mana-mana medium maklumat tak kiralah blog atau akhbar atau majalah di kedai gunting rambut atau apa-apa artikel yang kita temui di internet.

Bukan mudah untuk menjadi seorang pemimpin. Banyak kriteria atau ciri-ciri yang perlu ada dalam diri setiap individu yang ingin atau yang sedang bergelar pemimpin. Jika kita lihat ketokohan pemimpin hebat sepanjang zaman seperti Iskandar Zulkarnain, Napoleon, Adolf Hitler, Genghis Khan dan yang sudah pasti Rasul junjungan kita, Muhammad SAW. Kesemuanya memiliki cara kepimpinan yang tersendiri sehingga mampu menakluk kawasan yang luas dan mentadbir dengan baik. Tidak kiralah ideologi apa pun yang mereka bawa. Masing-masing mempunyai kehebatan tersendiri.

Malangnya setiap keagungan, kehebatan dan kekuasaan seorang pemimpin dan sesebuah kerajaan itu tidak pernah kekal untuk selamanya kerana wujud masalah dalaman termasuklah ketandusan pemimpin sehingga menjejaskan kehebatan dan kekuasaan yang mereka miliki. Akhirnya ia membawa kepada keruntuhan empayar yang terbina sejak sekian lama dalam sekelip mata seperti Kerajaan Turki Uthmaniah, Kerajaan Melayu Melaka dan Soviet Union.

Demikian sedikit fakta sejarah sebagai mukadimah...sengaja saya kenang kembali sejarah kerana sejarah boleh berulang jika kita tidak mengambil iktibar daripadanya.

Saya sendiri mengakui saya sebenarnya belum layak untuk menjadi pemimpin yang hebat. Karisma, ketokohan, profesionalisme, dinamika dan keunggulan sebagai seorang pemimpin boleh kita lihat daripada tingkah laku dan gaya luaran seseorang itu. Ada insan yang dilahirkan sebagai pemimpin dan ada insan yang dibentuk untuk dijadikan pemimpin.

Saya ambil contoh kepimpinan Singapura, Perdana Menterinya yang pertama, Lee Kuan Yew dikatakan seorang tokoh yang mempunyai pemikiran yang brilliant sehingga mampu membawa Singapura yang 'kosong' hinggalah menjadi sebuah negara yang maju di rantau Asia Tenggara. Beliau dilahirkan sebagai pemimpin. Anaknya pula, Lee Hsien Loong yang merupakan Perdana Menteri sekarang merupakan tokoh politik yang telah dibentuk bapanya sejak kecil lagi sebagai persediaan untuk menjadi seorang pemimpin yang akan menyambung legasi 'Lee' pada abad ke 21 di Singapura.

Saya kagum dengan bagaimana cara Singapura diperintah. Bagaimana pelaksanaan dasar kerajaannya, bagaimana penguatkuasaan undang-undangnya dan banyak lagi aspek yang tidak kita lakukan di Malaysia.

Berbalik kepada isu kepimpinan dalam konteks mahasiswa di universiti. Saya tidak berminat untuk menyentuh kepimpinan di USM sahaja. Isu ini isu am dan ia sepatutnya disentuh secara umum dan menyeluruh. Apabila pilihan raya kampus (PRK) hampir menjelma bermulalah pelbagai gerakan di sana sini untuk menggerakkan jentera masing-masing. Seperti biasa, wujud gerakan untuk mengenalpasti calon-calon PRK yang sudah pasti memerlukan keterampilan dan kewibawaan sebelum disahkan namanya dalam borang pencalonan sebagai calon yang bertanding dalam PRK. Terdapat beberapa buah universiti yang telah selesai mengadakan PRK dan terdapat juga universiti yang masih mencongak-congak tarikh PRK yang bakal diadakan nanti.

Namun saya yakin kebelakangan ini di beberapa buah universiti termasuk USM sendiri menghadapi cabaran dan kesukaran untuk mendapatkan calon yang benar-benar memenuhi kriteria untuk diangkat sebagai seorang anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Seperti yang saya katakan, bukan semua orang memiliki perwatakan dan kriteria sebagai seorang pemimpin. Jikalau ada pun, orang yang dimaksudkan itu mungkin sudah mempunyai tanggungjawab dan komitmen lain dalam persatuannya. Mana mungkin tugas MPP dan pesatuan dicampur adukkan. Adalah berat untuk menguruskan kedua-duanya secara serentak kerana ia akan memakan diri dan boleh 'mengorbankan' akademik pelajar itu sendri.

Lebih malang, sekiranya calon PRK itu dipilih secara tangkap muat atau dipujuk untuk bertanding disebabkan faktor kekurangan calon yang berwibawa. Ini merupakan satu perkara yang wajar diberi perhatian serius. Sebagai mahasiswa, kita mahukan satu saf kepimpinan yang betul-betul berkhidmat untuk kebaikan bersama atas dasar sukarela dan tanggungjawab. Apabila proses pemilihan dilakukan secara sesuka hati, calon yang menang dalam PRK dikhuatiri tidak mempamerkan prestasi yang diinginkan kerana kurangnya minat dan rasa prihatin apabila memegang amanah. Kekuatan dan pengaruh kepimpinan itu juga akan layu dan mudah menjadi sasaran kritikan. Kita tidak mahu perkara itu terjadi. Itu tidak termasuk perbezaan pendapat dan perselisihan yang mungkin wujud dalam sesuatu kepimpinan. Bertambah-tambahlah kecelaruan dan kelemahan yang wujud dan tidak mustahil ia akan terbongkar bila-bila masa.

Satu lagi perkara di luar konteks PRK, wujudnya konspirasi yang mengatur kedudukan seseorang individu dalam organisasi tertentu. Saya tidak bermaksud untuk merujuk konspirasi ini kepada mana-mana pihak, tetapi sekiranya ia benar-benar wujud ia dilihat seolah-olah mempergunakan dan mempermainkan keupayaan dan kewibawaan seseorang itu hanya kerana dia mampu memimpin dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang diinginkan. Mungkin dari sudut lain, kita boleh mengatakan ia merupakan kepercayaan yang diberikan kepada individu terbabit. Tetapi keputusan itu harus dipersetujui individu tersebut dan dia juga mempunyai hak untuk menolak. Tidak sepatutnya berlaku paksaan kerana ia akan membawa masalah kepada organisasi itu sendiri. Di kemudian hari individu itu pula menerima kecaman kerana tidak memberi komitmen penuh terhadap tugasnya. Siapa yang bersalah? Siapa yang memaksa?.

Jadi, di manakah letaknya harga diri seseorang jika dia dijadikan 'buah catur' dalam permainan 'politik' pihak tertentu? Adalah lebih relevan jika ada konsep sukarela dalam diri para pelajar untuk memimpin sekiranya dia benar-benar berkeyakinan dan tahu sejauh mana kemampuannya untuk memimpin. Masalahnya, kita memang kekurangan orang yang boleh memimpin. "Ketandusan pemimpin"....itu yang lebih tepat untuk diungkapkan. Sebab itulah berlakunya pujuk-memujuk, paksaan, konspirasi, tangkap muat dan lain-lain lagi dalam memilih pemimpin.

Secara keseluruhan, apa yang saya katakan di awal artikel ini, ketandusan pemimpin menjadi satu penyebab keruntuhan sesuatu empayar. Dalam konteks mahasiswa universiti, ketandusan pemimpin menyebabkan sesebuah institusi atau organisasi itu menjadi lembab, malap, tenggelam, lesu dan menjadi sasaran kritikan, tidak kiralah pesatuan apapun. Akhirnya muncul pihak-pihak yang membuat spekulasi, teguran, ancaman dan kritikan terbuka terhadap kepimpinan yang diselimuti masalah dan kontroversi. Kadang-kadang membantu untuk penambahbaikan, kadang-kadang menimbulkan 'argumen' dan mungkin menjahanamkan. Inilah yang boleh dianggap sebagai 'kejatuhan'.

Bagi saya, mudah untuk menjadi seorang pengkritik, tetapi payah untuk menjadi seorang yang realistik. Sama-sama kita menunggu seseorang yang mampu memimpin ke arah perubahan....

Salam Aspirasi Untuk Mahasiswa Bersatu.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Adakah Kita Memahami Erti Kelestarian?

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan.

Kelestarian? Apa tu?

Universiti Sains Malaysia (USM) mula memperkenalkan konsep kelestarian dan ia mula disebarluaskan ketika saya menjadi penuntut tahun pertama di sini. Pada mulanya saya sendiri tidak memahami apa erti kelestarian, jauh lagi untuk memahami konsep yang terkandung di dalamnya.
.
Saya teringat suatu ketika dahulu RTM pernah menyiarkan rancangan Generasi X (sekarang dah ditukar nama jadi Generasi Y, apa beza X dengan Y pun saya tak tau) secara langsung dari Dewan Budaya USM yang dihoskan oleh pelakon Awal Ashaari. Topik rancangan itu membincangkan erti kelestarian dan proses mempraktikkannya di USM. Dalam rancangan itu diselitkan temubual responden dalam kalangan orang awam dan pelajar USM sendiri. Saya pada ketika itu hanya menonton televisyen di Desasiswa Aman Damai bersama rakan-rakan lain..
.
Sedang saya menonton, ada satu perkara yang membuatkan saya berasa malu sendiri apabila seorang pelajar perempuan yang juga merupakan kenalan saya (ketika itu tahun pertama) menawarkan diri untuk ditemuramah. Mungkin kerana teruja dengan kehadiran Awal Ashaari yang bertindak selaku hos pada hari itu. Soalan yang diajukan Awal lebih kurang berbunyi begini "Boleh adik terangkan apa sebenarnya yang berlaku di Dewan Budaya Hari ini?". Dalam jawapan yang diberikan pelajar tersebut ada menyebut frasa "lebih-lebih lagi sekarang ni USM sedang mempromosikan konsep kelestarian"....
.
Selepas itu Awal bertanya lagi...."kalau boleh kita sama-sama berkongsi dengan penonton di rumah, boleh adik jelaskan sedikit apa tu kelestarian?"...
.
Secara spontan, ketika rancangan sedang bersiaran secara langsung dan disiarkan di seluruh Malaysia, pelajar itu membeliakkan matanya dan memandang rakan-rakannya di tepi sambil ketawa....kelihatan dia terkedu dan tidak tahu bagaimana hendak menjelaskannya....dia cuba menerangkan mengenai pemeliharaan alam sekitar tetapi dia kelihatan tidak yakin dan tidak pasti dengan jawapannya, lantas ketawa malu. Maka, Awal pun cuba 'cover line' dengan mengatakan " oo...dengan melakukan aktiviti seperti kitar semula?" Pelajar itu mengiyakan sahaja sambil mengangguk dan ketawa.
.
Saya tak dapat bayangkan apa perasaan saya sekiranya saya ditemuramah secara langsung di kaca televisyen tidak dapat menjawab persoalan yang diajukan hos rancangan. Sedangkan soalan itu mengenai idea dan konsep kelestarian. Konsep yang diuar-uarkan di USM, tetapi saya selaku mahasiswa USM tidak dapat menjelaskannya, mestilah berasa sangat bengang dan malu.
.
Mungkin kerana pelajar itu masih dalam tahun pertama, jadi masih belum menguasai sepenuhnya mengenai konsep kelestarian. Tidak mengapalah. Sejak daripada itu, saya cuba memahami apa erti sebenar KELESTARIAN sedikit demi sedikit. Hari ini saya masih lagi belajar dan cuba mengaplikasikan konsep kelestarian yang diterapkan.
.
KELESTARIAN bukan sekadar menyentuh isu alam sekitar, tetapi banyak lagi aspek yang perlu dilestarikan. Ia bermaksud pemeliharaan berterusan atau mengekalkan sifat baik yang ada pada hari ini supaya terus kekal pada masa akan datang. Dari sudut apa? Alam sekitar, kewangan, akhlak, sosio-budaya, kemanusiaan dan pelbagai lagi. Bukan saya yang kata, tetapi berdasarkan apa yang saya dengar sendiri ketika menghadiri rakaman rancangan Forum Perdana Ehwal Islam di Dewan Tuanku Syed Putra yang diadakan ketika Program Siswa Lestari (Minggu Orientasi) pelajar-pelajar baru kemasukan 2009/2010 yang lalu.
.
Jadi, mari kita bertanya kepada diri sendiri selaku mahasiswa khususnya mahasiswa USM, adakah kita memahami erti kelestarian?
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lain-lain Cerita di OH BELOG!