Akhbar Tempatan

Madah Negarawan

Madah Negarawan

Popular Posts

Antara Perpaduan Melayu, Kerajaan Perpaduan dan 1Malaysia

Assalamualaikum dan salam perpaduan...

Sebelum saya mengarang dengan lebih panjang mengenai topik ini, saya tegaskan di sini penulisan ini bukanlah berunsurkan politik semata-mata. Apa yang saya ingin luahkan di sini ialah perpaduan bangsa Melayu yang semakin rapuh hanya kerana perbezaan fahaman politik dan hasutan daripada anasir luar yang tidak mahu melihat Melayu bersatu padu. Lebih malang lagi apabila ada diantara kita sendiri yang menjadi batu api dan penentang kepada usaha membawa perpaduan dalam masyarakat kita. Saya akui apabila berbicara mengenai perpaduan dan bangsa Melayu, kita tidak dapat lari daripada memperkatakan unsur politik. Dalam isu ini saya tidak hanya menyentuh mengenai perpaduan Melayu tetapi juga memberi penekanan terhadap perpaduan bangsa Malaysia. Tetapi kita perlu ingat, sebelum perpaduan bangsa Malaysia dapat dicapai perpaduan Melayu perlu digerakkan terlebih dahulu kerana bangsa Melayu merupakan tonggak kepada perpaduan masyarakat di negara ini. Tetapi banyak cabaran dan halangan yang perlu dihadapi untuk menjadikan slogan 1Malaysia menjadi realiti. Rasanya saya lebih selesa untuk membahasakan bangsa Melayu tu sebagai “kita”. Seterusnya kita perlu melihat krisis dalaman orang Melayu yang kini tidak mencapai perpaduan kerana politik kepartian yang memecahkan kita kepada empat kelompok.

Pertama, kelompok yang menyokong perjuangan UMNO. Kedua, kelompok penyokong Pas. Ketiga, penyokong PKR dan terakhir golongan yang tidak ambil peduli dan tidak memihak kepada mana-mana kelompok. Kita lupakan kelompok yang keempat itu kerana mereka tidak mempunyai kepentingan dalam perbincangan ini. Secara kasarnya jika kita melihat asas perjuangan ketiga-tiga parti yang disertai oleh orang-orang kita, mereka mengaku memperjuangkan bangsa Melayu. Saya ulangi...secara kasarnya. Namun begitu, kesemua kelompok ini mempunyai ideologi dan fahaman yang berbeza dari segi pelaksanaan dasar perjuangan mereka. Masing-masing mempunyai latar belakang yang berbeza tidak kiralah warna merah yang berunsurkan perjuangan Melayu, warna hijau yang memperjuangan Islam dan juga warna biru muda atau parti anomik, iaitu parti yang ditubuhkan secara tiba-tiba disebabkan tercetusnya isu tertentu (tidak perlu saya jelaskan lagi).

Muzakarah antara UMNO dan Pas pernah diadakan tetapi tidak menemui resolusi. Hal ini kerana ada pemimpin yang menyokong dan menentang usaha tersebut. Dalam parti yang didominasi oleh orang Melayu sendiri tidak ada perpaduan, bagaimana ingin mewujudkan perpaduan bersama parti lain? Jika kita luaskan skop, bagaimana ingin menyatupadukan pengikut sedangkan pemimpin Melayu bertelagah sesama sendiri? Masing-masing mementingkan kepentingan dan keutamaan parti berbanding perpaduan yang sepatutnya dicapai antara dua parti Melayu terbesar ini. Manakala sebuah lagi parti sememangnya jauh dari meja rundingan bersama UMNO dan Pas. Mungkin juga mereka tidak akan bekerjasama sampai bila-bila kerana parti tersebut tidak didominasi oleh satu kaum, sebaliknya ia mengutamakan ‘perpaduan nasional’ dengan membuka keahlian kepada semua bangsa. Maka, parti tersebut dilihat lebih liberal dan kurang memfokuskan kepada agenda menyatupadukan bangsa Melayu.

Cukup mengenai parti politik. Kita beralih kepada penyatuan bangsa. Bangsa Melayu. Bangsa kita tidak bersatu padu seperti bangsa Cina dan India. Telah saya katakan tadi, orang Melayu terpisah kepada empat kelompok. Begitu juga bangsa Cina, mereka juga terpisah kepada beberapa kelompok parti politik. Walaubagaimanapun, apabila bercakap mengenai soal perpaduan atau kepentingan bangsa mereka, ideologi politik dan semangat kepartian ditolak ketepi. Mengapa? Mereka lebih cenderung duduk bersama dalam persatuan-persatuan dan kedudukan kewangan mereka amat kukuh. Duduk berbincang menjadi amalan mereka di belakang pandangan kita. Adakah kita sedari? Situasi ini sangat berbeza dengan sikap orang-orang kita. Maka tidak hairanlah apabila ada yang mengatakan “Orang Melayu sangat bergantung kepada kerajaan. Ada masalah saja lari kepada kerajaan. Orang Cina tidak bergantung kepada kerajaan, mereka ada banyak persatuan yang boleh membela dan menjadi tempat mengadu”.

Itu merupakan satu kebenaran. Jangan kita nafikan fenomena ini. Ungkapan tersebut sudah cukup menggambarkan bagaimana bangsa lain mampu bersatu padu berbanding bangsa kita. Jadi, adakah bangsa kita mampu berdiri sendiri seperti mereka? Saya percaya bangsa kita sudah terlalu selesa dengan bantuan kerajaan yang sejak sekian lama diterajui oleh orang Melayu. Bagaimanakah keadaannya sekiranya negara ini ditadbir oleh orang bukan Melayu? Ianya tidak mustahil. Adakah bangsa kita masih akan bergantung kepada kerajaan? Dan adakah kerajaan ketika itu mahu membantu kita?

Mungkinkah apabila kita sudah terpinggir dan tidak mempunyai kuasa politik baharulah mahu bersatu?

Berkenaan dengan Kerajaan Perpaduan, isu ini pernah dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang ketika Muktamar Pas yang lalu, tetapi nampaknya telah berkubur. Saya pasti semua tahu mengapa idea itu tidak jadi dilaksanakan. Presiden memberikan buah fikiran untuk kepentingan dan kelangsungan hidup orang kita, tetapi ada pihak yang menentang dengan alasan masih mengimbau kenangan lampau, peristiwa hitam dan sejarah lapuk perjuangan parti. Pas pernah ‘ditikam dari belakang’ dan ‘ditendang keluar dari BN’. Maka ia menjadi asas penolakan idea Presiden mereka sendiri. Akhirnya Presiden hanya menurut sahaja. Inilah contoh konsep ‘ketaatan kepada ketua’. Hujah yang dikemukakan untuk menolak kerajaan perpaduan hanyalah kerana cerita lama yang masih tidak dapat diterima hingga sekarang. Antara perpaduan bangsa dan cerita lama politik, yang manakah lebih penting? Sudah tentulah politik. Kerana apa? Kerana masing-masing mahu parti mereka mendominasi dan tidak mahu diketepikan dan hilang pengaruh. Inilah situasi politik bangsa kita hari ini. Tidak ada persefahaman dan berkiblatkan kuasa politik semata-mata.

Tetapi ada juga kata-kata yang menyalahkan media kerana sengaja mensensasikan isu tersebut. Media menjalankan tugas. Mereka sememangnya melaporkan berita mengikut pandangan dan perspektif yang berbeza. Mengikut Teori Penetapan Agenda yang dikemukakan oleh Prof. McComb dan Prof. L. Shaw, kuasa media sangat hebat apabila melaporkan berita secara meluas dan memanipulasikannya untuk menarik perhatian pembaca dengan cara tertentu. Seterusnya masyarakat yang terdedah kepada laporan media akan mula dipengaruhi dengan pemikiran yang percaya bahawa isu tersebut sangat penting untuk diperkatakan dan dibincangkan. Akhirnya ia akan memberi kesedaran dan perhatian yang lebih mengenai isu tersebut. Inilah yang berlaku sebenarnya di sekeliling kita. Hasil daripada kuasa media telah memberi impak kepada masyarakat yang mahukan perpaduan bangsa. Media kerajaan, media pembangkang mahupun media alternatif, kesemuanya memainkan isu ini dan ia tidak akan mati begitu sahaja selagi ada ancaman dan pergolakan dalam sesuatu masyarakat majmuk seperti kita di Malaysia. Ia bukanlah satu permainan politik yang disengajakan, ini merupakan realiti dunia kehidupan kita.

1Malaysia? Saya tidak perlu mengulas panjang. Selagi apa yang telah diperkatakan di atas tidak tercapai, konsep yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak sukar untuk dilaksanakan. Apabila sukar dilaksanakan, keberkesanannya juga lambat untuk kita nikmati. Satu dasar yang mulia, yang bertujuan untuk memakmurkan rakyat seharusnya difahami dan dihargai. Bukannya dimanipulasi dan diputerbelit sehingga menimbulkan tanda tanya, persoalan dan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Sistem politik di Malaysia masih lagi mengamalkan toleransi dan demokrasi. Demokrasi yang dimaksudkan bukanlah demokrasi tulen atau demokrasi yang sebenar-benarnya. Tidak wujud demokrasi sebegitu. Ada demokrasi yang lebih cenderung kepada liberal dan ada demokrasi yang cenderung kepada autokrasi. Di Malaysia? Bandingkanlah demokrasi kita dengan demokrasi negara lain seperti Amerika Syarikat yang lebih liberal dan Singapura yang sedikit autokratik . Perpaduan sewajarnya dicapai melalui medium demokrasi sederhana yang kita amalkan. Kita lebih banyak berpolitik daripada memikirkan masa depan. Harus kita ingat, politik sememangnya MEMPENGARUHI masa depan tapi tidak MENJAMIN masa depan yang lebih sejahtera.

Mungkin saya kelihatan berpolitik di ruangan ini. Tetapi isu ini memerlukan perbincangan demi survival orang Melayu. Itu secara logiknya. Menurut Aristotle manusia semulajadinya ialah ‘haiwan’ politik. Kita tidak akan terlepas daripada memperkatakan politik dalam kehidupan. Maka, fikir, tafsir dan pandang dari sudut ilmiah.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Kebebasan Bersuara Pensyarah...Adakah Wajar?

Bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Tidak kira dalam aspek apa sekalipun. Kebiasaannya manusia bersifat skeptikal terhadap sesuatu keputusan yang tidak memihak kepada mereka. Kadangkala sifat itu mampu mengundang padah jika luahan rasa disalurkan dengan cara yang tidak betul atau tidak kena pada tempatnya. Sememangnya semua manusia mempunyai hak untuk bersuara. Ya, kita berhak bersuara sebagai satu cara untuk menegur dan memperbaiki keadaan. Akan tetapi kesan daripada ‘lontaran suara’ itu juga seharusnya diperhalusi dan dijangka kerana kebebasan yang kita ada, hak bersuara yang kita miliki bukanlah kebebasan mutlak. Tiada kebebasan secara total, tiada kebebasan sebebas-bebasnya kerana kebebasan mutlak yang kita inginkan itu mungkin mencabul kebebasan atau hak manusia lain. Jadi adakah relevan perjuangan menuntut kebebasan mutlak dan hak asasi manusia yang total?

Sebagai seorang pelajar kita sudah dilatih dan diasuh sejak kecil supaya menghormati guru-guru. Di peringkat universiti, sentimen itu masih diamalkan tetapi tidaklah sebaik di sekolah dahulu kala. Seorang pensyarah yang bekerja di bawah lambang sebuah universiti seharusnya beliau mendukung dasar dan aspirasi universiti. Malangnya terdapat isu yang dimainkan media menjadi topik bualan dan luahan rasa tidak puas hati pensyarah ini. Disebabkan status sebagai pelajar, maka kecenderungan untuk melawan seorang guru itu hampir tidak ada di dalam diri ini. Kesudahannya saya terus mendengar sambil memikirkan apakah rasional beliau berbuat demikian?

Sebagai seorang mahasiswa yang sayangkan universiti, kita pasti terasa hati dan berasa tidak senang apabila orang lain merendah-rendahkan dan mengutuk universiti kita. Saya sebagai mahasiswa USM sendiri akan membela USM sekiranya orang lain berbuat demikian. Tetapi bagaimana pula jika orang yang merendah-rendahkan dan mengkritik universiti itu ialah pensyarah kita sendiri? memang benar apa yang diperkatakan oleh pensyarah saya itu, isunya mengenai kesilapan teknikal yang dialami USM ketika mengeluarkan senarai nama pelajar yang berjaya ke USM. Walaubagaimanapun beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kata-kata sinis yang mungkin bersifat menghina seperti “VC masa tu tengah ponteng”. Atau kata-kata ini, “orang-orang pejabat semua tidur, makan gaji buta!!” dan beberapa lagi ayat-ayat yang tidak sedap didengar. Tidak perlulah saya nyatakan di sini...

Sebagai pelajar, saya tersentak dengan kritikan lantangnya itu terhadap pentadbiran universiti. Ya...isu yang dibangkitkan itu ada kaitan dengan kursus yang diajarnya tetapi lama-kelamaan isu itu meleret jauh dan menyimpang dari objektif asal kuliah. Maka dewan kuliah serta bilik tutorial menjadi medan kritikan seorang pensyarah daripada pekerja bawahan hinggalah kepada Naib Canselor. Tidak seorang pun yang terlepas. Apapun, saya berfikiran positif apabila berhadapan dengan situasi sebegini. Peluang ini saya gunakan untuk memahami ideologi beliau di samping menganalisis hujah-hujah yang dinyatakan kerana ada diantaranya memang logik diterima akal dan relevan.

Dari sudut pandangan lain, timbul persoalan di benak fikiran saya, adakah tindakan pensyarah ini wajar dari sudut etika kerja sebagai pensyarah universiti? Atau mungkinkah niat sebenarnya adalah untuk memberi pemahaman yang lebih jelas dalam sesi kuliahnya? Tetapi perlukah universiti kita menjadi sasaran kritikan? Mengapa beliau tidak mengambil pendirian mempertahankan kesilapan itu dengan hujah-hujah yang meyakinkan para pelajar? Jikalau niatnya baik tidak mungkin dia mempersoalkan tugas-tugas dan mengkritik pentadbiran universiti.
Mungkin ada diantara pembaca blog ini akan mengatkaan tindakannya itu wajar sebagai pengimbang atau dalam istilah yang popular, check and balance. Persoalannya sampai bila mahu check and balance tanpa sebarang usaha untuk menggerakkan kerja ke arah yang lebih sempurna seperti yang diinginkannya itu? Jangan hanya pandai bermain kata-kata...lakukan, laksanakan dan buktikan.

Itu tidak termasuk dengan sentimen perkauman yang beliau mainkan di dalam kelas tutorialnya. Bagaimana boleh seorang pensyarah mempertikaikan status ‘kemelayuan’ Tunku Abdul Rahman? Mengenai hak dan kuasa pentadbiran orang Melayu, kemasukan ke universti berdasarkan meritokrasi juga tidak dipersetujuinya. Beliau berpendapat kerajaan lebih mengutamakan bangsa Melayu walaupun pencapaian akademik mereka tidak melayakkan mereka untuk berada di universiti berbanding pencapaian pelajar-pelajar bangsa lain. Kembali kepada isu kesilapan teknikal USM. Beliau menyatakan 100 % senarai nama pelajar yang tersilap disenaraikan itu merupakan bangsa bukan Melayu dan kebanyakannya ialah pelajar Cina. Adakah beliau cuba mempolitikkan isu ini dengan membangkitkan sentimen perkauman? Wallahualam...Di sini saya dapat memikirkan rasionalnya dan saya sangat memerlukan jawapan yang dapat mengukuhkan tanggapan positif saya terhadap kerajaan.

Saya berasa tidak senang menghadiri kuliahnya kerana beliau sering mempersoalkan tindakan dan dasar kerajaan. Persoalannya saya merasakan beliau bersikap racist kerana sering merendah-rendahkan bangsa Melayu dan mengangkat martabat bangsa Cina. Tetapi saya bertanya kembali kepada diri saya, adakah dia racist atau saya sebenarnya yang bersikap racist?? Seperti yang saya katakan di permulaan artikel ini, kita tidak berhak menyekat kebebasan bersuara orang lain. Akan tetapi kebebasan itu mempunyai batasannya dan bukan kebebasasn mutlak. Dalam kes ini, pensyarah saya memberi pendapatnya yang tersendiri dan saya juga mempunyai pendapat yang berbeza. Terpulang bagaimana input itu diproses dan ditafsir oleh pemikiran kita, maka output yang terhasil juga akan berbeza-beza.

Pandai-pandai la fikir-fikirkan...
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Cubaan Menghasut Mahasiswa Menyertai Perhimpunan Mansuhkan ISA

Assalamualaikum dan salam inspirasi...

Semalam saya menghadiri perjumpaan dan taklimat Program Pimpin Siswa USM di Dewan Kuliah A. Tiba-tiba saya terpandang sehelai kertas yang isi kandungannya menarik perhatian saya seperti di bawah...sama dan serupa cuma bezanya kertas itu cetakan hitam putih tanpa warna.



Membara hati saya apabila mendapati risalah-risalah dan iklan itu menyeru orang ramai supaya bersama-sama menyertai perhimpunan mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1 Ogos 2009 di Kuala Lumpur. Apabila ‘sampah’ ini disebarkan di dalam kampus tidakkah ia bermaksud ada golongan mahasiswa yang terlibat dengan gerakan luar yang mempunyai kaitan dengan pembangkang?? Jawapannya sudah tentu!

Saya tidak kisah sekiranya risalah tersebut diedarkan di luar kampus, tetapi apa yang membuatkan saya geram apabila melihat ‘sampah-sampah’ tersebut berada di dalam dewan kuliah A. Sahabat saya Haja Mydin yang juga merupakan anggota MPP turut memberitahu bahawa risalah-risalah tersebut bersepah-sepah di dalam bilik tutorial. Saya turut berkongsi rasa tidak puas hati dengan sahabat saya dari Kampus Kejuruteraan yang turut sama hadir pada malam itu, Sdr. Safwan Hamzah.

Bagaimana ‘sampah’ ini boleh terlepas masuk ke dalam kampus?? Sudah tentu ada dalang yang menjalankan kegiatan underground menyebarkan iklan dan risalah tersebut untuk menghasut mahasiswa supaya bersama-sama menyertai perjuangan mereka memansuhkan ISA. Saya tidak bersetuju sama sekali anasir ini dibawa masuk ke dalam kampus. Mahasiswa masih tertakluk dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Walaupun AUKU telah dipinda tetapi masih ada syarat-syarat tertentu yang melarang pelajar menyertai gerakan politik di luar sewenang-wenangnya.

Antara lain, kandungan iklan tersebut menyeru orang ramai memakai pakaian dan badge yang tertera perkataan ‘Mansuhkan ISA’. Selain itu terdapat juga risalah yang menceritakan keburukan dan segala macam perkara negatif berkenaan ISA. Malangnya risalah tersebut tidak selari dengan perkembangan semasa kerana terdapat beberapa maklumat lapuk seperti:

“Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga merupakan Perdana Menteri akan menandatangani persetujuan untuk membolehkan tahanan ISA terus ditahan di Kem Kamunting selama dua tahun berulang-ulang kali tanpa batasan”.

Alahai, kalau nak menghasut sekalipun pastikanlah update dahulu risalah tuu...kami ni bukan buta...

Terdapat juga maklumat di bawah risalah tersebut yang membolehkan orang ramai berhubung dengan badan ini. Sekiranya benar, risalah ini diterbitkan oleh SUARAM dan mereka beroperasi di University Height, Sg. Dua. Bayangkan mereka berada di sekitar kita menyebarkan dakyah dan perjuangan karut mereka di samping menarik perhatian mahasiswa USM untuk menyertai mereka. Mereka juga mengalu-alukan orang ramai supaya melawati blog mereka suarampg.blogspot.com.

Secara jujur saya meluat melihat risalah ini berada di dalam kampus USM. Saya harapkan para mahasiswa kita tidak ‘menari mengikut paluan gendang’ pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Mudah-mudahan tidak ada juga yang menjadi sebahagian daripada ‘kambing hitam’ di dalam kampus ini. Mohon Majlis Perwakilan Pelajar memantau perkara ini agar ianya tidak berleluasa di hari kemudian. Jika ada MPP yang melihat risalah tersebut agaknya apa komen mereka??

“Bersama Menjunjung Aspirasi Universiti”
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

100 hari Najib bersama rakyat...

Assalamualaikum dan salam inspirasi...

11 Julai 2009 memasuki hari ke 100 beliau mentadbir Malaysia. Tepat jam 11:11 pagi, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak memulakan ucapannya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan dihadiri ribuan rakyat yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah, mahasiswa universiti, NGO, penjawat awam dan golongan rakyat yang bekerja sendri.

Saya tidak mahu mengulas panjang tetapi ingin berkongsi 11 perkara yang berlaku di KLCC pada hari tersebut yang tidak disiarkan media...

1) Konsep majlis pada hari tersebut ialah “free seating”. Sesiapa sahaja boleh duduk di mana-mana termasuklah menteri-menteri kabinet.

2) Beberapa menteri kabinet dan bekas menteri kabinet turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Seri Jamaluddin Jarjis yang duduk bersebelahan mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMap).

3) Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Dator Seri Shahrizat Jalil duduk bersimpuh di lantai dewan bersama pelajar-pelajar sekolah rendah.

4) Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Pelancongan, Dato’ Dr. Ng Yen Yen dan Menteri Luar, Dato’ Anifah Aman duduk berhampiran bersama-sama pelajar-pelajar sekolah menengah.

5) Mahasiswa universiti dikatakan paling galak mengambil gambar sepanjang berada di KLCC. Tak tau la universiti mana.....

6) Majlis dihoskan oleh selebriti TV3, Ally Iskandar dan pembaca berita TV3, Pang Chinn Fei.

7) Ketika Dato’ Seri Najib naik ke pentas untuk menyampaikan ucapan, teks ucapan beliau telah ‘dicuri’ oleh sekumpulan kanak-kanak. Gimik je....

8) Majlis tersebut menjadi medan ‘jejak kasih’ para mahasiswa universiti dengan kenalan-kenalannya dari universiti lain.

9) Ketika Dato’ Seri Najib mengumumkan bahawa kos (caj) memngambil lesen motor diturunkan daripada RM 500-700 kepada RM 211, beberapa mahasiswa berdiri sambil bertepuk tangan kegembiraan. Maksudnya? Mereka ni takde lesen motor lagi laa...

10) Seorang mahasiswa universiti bersalaman dengan Dato’ Seri Najib dan cuba memperkenalkan dirinya, tetapi pantas tangannya itu ditepis oleh body guard PM. (mana boleh salam lama-lama)...

11) Kanak-kanak yang memakai pakaian tradisional sabah dengan hiasan di kepala mengakui hiasan tersebut membuatkan kepalanya berasa berat ketika ditegur oleh seorang mahasiswa.

Saya juga mahu berkongsi 11 berita gembira yang diumumkan PM sempena 100 hari beliau mentadbir negara:

1. Pengguna kad prabayar, Smart Tag dan Touch n Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, mereka layak menerima diskaun 20 peratus.

2. Kerajaan akan tawarkan 44,000 unit perumahan rakyat untuk dijual kepada penyewa di Wilayah Persekutuan.

3. Penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan akan menikmati potongan sebanyak
50 peratus bagi pembaharuan lesen baru mereka berkuat kuasa serta-merta.

4. Kerajaan menambah 3,000 lagi permit teksi yang permohonannya diluluskan dalam
masa tiga bulan akan datang.

5. Langkah-langkah drastik bagi mengurangkan jenayah dan memerangi rasuah. 6. Permohonan pendaftaran kelahiran dipermudahkan di Sabah dan Sarawak.

7. Pembinaan jalan ditambah di Sabah dan Sarawak.

8. Bekalan air dan elektrik ditingkatkan di Sabah dan Sarawak.

9. Kadar bayaran latihan menunggang motosikal bagi kelas B2 iaitu 250cc ke bawah dikurangkan kepada RM211 mulai 1 September.

10. Peruntukan untuk Tekun ditambah RM150 juta dan RM15 juta disediakan untuk usahawan muda kaum India

11. Tabung unit amanah baru dinamakan Amanah Saham 1Malaysia dengan saiz 10 bilion unit akan diperkenalkan. - Bernama

1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

PPSMI: Berakhir satu pertikaian...



Assalamualaikum dan salam inspirasi...

Apakah perasaan anda apabila dasar kontroversi PPSMI diumumkan akan dimansuhkan menjelang 2012?

1) ada kelompok yang bergembira kerana perjuangan mereka mendesak PPSMI dimansuhkan telah membuahkan hasil...

2) ada pihak yang mempunyai sisi pemikiran yang bertahap maju ke hadapan merasa kecewa...

3) ada yang tidak ambil peduli, " tak kisah la mana-mana pun, takde kena mengena dengan aku"....(golongan ini tidak sepatutnya wujud!!)

Akhirnya...setelah enam tahun dasar PPSMI dilaksanakan, ia didapati memberikan impak negatif terhadap para pelajar. Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan dalam sidang media di kementeriannya di Putrajaya. Walaubagaimanapun, dasar ini bukanlah dimansuhkan serta merta. Penggunaan bahasa Melayu akan digunakan sepenuhnya pada 2012.

Alasan kerajaan mengenai pemansuhan PPSMI ialah kerana mahu memartabatkan bahasa Melayu dan dalam masa yang sama penguasaan bahasa Inggeris akan dipertingkatkan juga.

Persoalannya adakah pemansuhan dasar ini disebabkan tekanan yang berterusan daripada kumpulan-kumpulan pendesak dan berkepentingan? atau keputusan kerajaan sendiri yang melihat sekiranya dasar ini dimansuhkan, ia mampu mengembalikan sokongan rakyat kepada kerajaan hari ini?

Secara peribadi, saya melihat kerajaan akhirnya tunduk kepada desakan daripada penentang-penentang dasar ini kerana ada di antara mereka merupakan tokoh-tokoh akademik yang berpengaruh, sasterawan dan budayawan, tidak ketinggalan tokoh-tokoh politik haprak yang menangguk di air keruh demi survival politik mereka. Sebahagian mereka merupakan pejuang bahasa Melayu dan sebahagiannya lagi mempergunakan isu ini untuk meraih perhatian masyarakat hanya kerana ingin menjatuhkan musuh politik mereka.

Hakikatnya, bahasa Melayu tidak akan pupus...Perkara 152 tidak akan dikerandakan dek kerana pengamalan dasar PPSMI. Selagi kita bertutur seharian menggunakan bahasa Melayu, selagi itulah bahasa ini akan terus wujud. Bahasa Inggeris hanya digunakan ketika sesi pembelajaran dan pengajaran (P&P) di sekolah dalam subjek matematik dan sains.

Secara logiknya, jikalau bahasa Melayu itu hendak dimartabatkan mengapa bahasa Melayu tidak digunakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)? kedua-dua jenis sekolah ini akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Sudah semestinya usaha memartabatkan bahasa Melayu itu tidak diimplementasikan secara holistik kerana hanya sekolah kebangsaan sahaja yang akan menggunakan kembali bahasa Melayu dalam subjek matematik dan Sains.

Persoalan seterusnya berkenaan dengan situasi politik yang tidak menentu di negara ini. Apabila dasar ini dimansuhkan maka bertepuk tanganlah mereka yang mati-matian menentangnya. Mungkin kerajaan mengambil pendekatan untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat. tetapi adakah keputusan pemansuhan ini akan menjamin sokongan rakyat akan kembali kepada kerajaan? Apa yang pasti musuh politik sememangnya tidak akan berpuas hati dengan apa yang telah dicapai. Selepas ini apa pula yang mereka hendak mansuhkan?

Banyak pro dan kontra berkenaan isu ini. Ada kebaikan dan ada keburukannya terhadap kelompok tertentu di kawasan tertentu. Apapun, satu kemelut telah berakhir dengan kegagalan yang diakui sendiri oleh kerajaan. Kemerosotan pencapaian pelajar-pelajar berlaku sepanjang dasar ini dilaksanakan. Hal ini kerana dasar ini dilaksanakan secara tergesa-gesa dan secara tiba-tiba. Ada pelbagai idea seperti mahu bahasa Melayu digunakan di sekolah rendah dan di sekolah menengah baharulah bahasa Inggeris digunapakai. Cantik cadangan itu kerana ia dilihat sebagai satu alternatif untuk menutup kesilapan dasar PPSMI tetapi cadangan tersebut diketepikan.

Sebagai seorang rakyat, saya merasakan dasar ini cukup baik tetapi pelaksanaannya hanya "hangat-hangat tahi ayam " dengan objektif yang cukup gah. Tetapi apabila terdapat sedikit kesulitan dan tentangan, maka berlakulah keputusan flip-flop yang akan membuatkan rakyat berasa jemu dan menyampah. Mula-mula tukar...selepas itu ditukar semula...selepas itu ditukar lagi keputusan tertentu itu.

Yang pasti pertikaian dasar ini sudah berakhir.......tiadalah lagi demonstrasi yang menjelikkan, tiada lagi "keranda 152" diusung selepas solat Jumaat, tiada lagi rakyat ditembak bom asap dan sebagainya. Pendemonstrasi tidak dialu-alukan di negara ini. Itu bukan budaya kita.....

Tunggu dan lihat apa yang berlaku seterusnya.......



Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Pelajar Apex: Keintelektualan vs Sahsiah


Assalamualaikum dan salam inspirasi...

Satu Malaya tahu bahawa Universiti Sains Malaysia (USM) telah mendapat pengiktirafan sebagai Universiti Apex sekali gus menewaskan tiga universiti lain iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang turut mengidam-idamkan pengiktirafan itu. Maka USM mempunyai kuasa autonomi tersendiri untuk memilih pelajar-pelajar baru sidang akademik 2009/2010 yang semestinya mempunyai tahap keintelektualan yang tinggi dan golongan cerdik pandai. Kelompok pelajar ini kita gelarkan sebagai "Pelajar Apex".

Untuk rekod, pertama kalinya pihak universiti telah merombak minggu orientasi secara drastik apabila nama Minggu Suaikenal yang digunakan sebelum ini ditukar kepada Program Siswa Lestari. Gara-gara pelajar Apex...

Bukan sekadar penjenamaan semula, malahan pengisian dan gaya pelaksanaan Program Siswa Lestari amat berbeza berbanding Minggu Suaikenal yang dijalankan sebelum ini. Daripada menggunakan sistem paksaan bertukar kepada cara berlembut dan berhemah. Gara-gara pelajar Apex...

Sebelum pelajar Apex mendaftar dan menjalani orientasi di USM, sukarelawan Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) sudah terlebih dahulu "diorientasikan" oleh pihak universiti. Mereka dihantar berkursus di sana sini dan perlu menghadiri taklimat berhari-hari sebagai persiapan menghadapai pelajar Apex. Juga gara-gara pelajar Apex...

Apa yang pasti para PPSL juga sering dimomok-momokkan mengenai tahap keintelektualan pelajar Apex yang hebat itu.

Antara cakap-cakap yang sering kita dengar:

1) "Diorang dapat pointer 3.50 ke atas, kebanyakannya 4.00..."
2) "Pemikiran diorang matang dan jauh ke hadapan..."
3) "Diorang dari sekolah elit..."
4) "Budak-budak Apex mesti la pandai berdikari..."

Apabila Program Siswa Lestari berlangsung...

Antara cakap-cakap yang tak mahu kita dengar:

1) "ada budak baru kantoi dengan Jabatan Keselamatan sebab panjat pagar nak g khaleel"
2) "sorang budak junior kita sakit perut, malam tadi dia curi-curi keluar makan kat Bali-Bali"
3) "apsal tadi aku nampak ramai budak junior berkeliaran kat Sg. Dua?"
4) "lima orang tak datang DTSP untuk raptai sambutan siswa..."
5) "semalam ada budak call aku, menangis-nangis nak balik rumah, homesick. Ingatkan
rumah dia jauh sangat....kat Seberang Prai je..."
6) "malam-malam buta ada budak junior call aku...nak berkenalan...tapi tak bagitau siapa
nama dia....agak ngeri laa..."

Hakikatnya ini semua berlaku (sekadar menyebut beberapa kes) walaupun PPSL telah memberitahu bahawa sepanjang Program Siswa Lestari, para pelajar Apex ini diharamkan keluar dari kampus. Arahan tidak dipedulikan...tidak mengapa, yang lepas biarkan lepas. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga...Layakkah segelintir daripada mereka ini membawa gelaran pelajar Apex? Sekadar cemerlang dalam akademik tetapi kecundang dalam sahsiah dan kelakuan tidak membawa sebarang erti buat kita.

Walaubagaimanapun, saya berbangga dan kagum kerana sememangnya kebanyakan pelajar baru ini dilihat proaktif dan mempunyai pengetahuan yang luas. Teruskan usaha dan menggalas cabaran memajukan universiti dengan pencapaian yang hebat dalam pelbagai bidang.

"Bersama Kita Menjunjung Aspirasi Universiti"
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Tiada lagi beg plastik di Tesco Sg. Dua


Assalamualaikum dan salam ukhwah...

Kita sudah sedia maklum bahawa Universiti Sains Malaysia (USM) telah melancarkan kempen kelestarian alam sekitar, salah satu slogan yang sering dilaung-laungkan ialah "say no to plastic bag". Poster-poster tersebut boleh dilihat di sekitar kampus terutamanya di setiap kafeteria di USM.

Kempen ini sangat wajar dikembangkan pengaruhnya ke luar kampus. Apa yang menarik perhatian, suka saya untuk memaklumkan bahawa Pasaraya Tesco Sg. Dua sudah melaksanakan kempen tanpa plastik di pasaraya tersebut setiap Isnin mulai hari ini. Sungguh mengagumkan kerana kempen yang dilancarkan USM sudah dapat dilihat pelaksanaannya di luar kampus. Walaupun kempen tersebut hanya diadakan pada hari Isnin setiap minggu, sekurang-kurangnya pihak mereka mempunyai inisiatif untuk menjayakan kempen ini perlahan-lahan.



Saya diberitahu oleh seorang rakan bahawa barang-barang yang dibeli di Tesco tidak lagi diisi di dalam beg plastik. Sebaliknya, para pelanggan harus membawa beg sendiri ataupun perlu membeli "beg mesra alam" yang seakan-akan kain guni untuk membawa barang-barang yang dibeli. Seperti biasa, terdapat rungutan daripada orang kita kerana kesukaran untuk membawa barang-barang. Walaubagaimanapun, pelaksanaan kempen ini oleh Pasaraya Tesco harus dipuji kerana mereka mempunyai kesedaran terhadap kesejahteraan alam sekitar di samping menjalankan tanggungjawab sosial sebagai sebuah organisasi yang berpengaruh.

Tidakkah ini menjadi satu pemangkin atau booster kepada pihak universiti khususnya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk menerus dan menggiatkan lagi kempen ini secara agresif agar perubahan ini dapat diterima umum sebaiknya satu hari nanti.

Teruskan membawa perubahan dan alternatif terbaik sejajar dengan motto universiti "Kami Memimpin".


"Bersama Kita Mendukung Aspirasi Universiti"
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lain-lain Cerita di OH BELOG!