Akhbar Tempatan

Madah Negarawan

Madah Negarawan

Popular Posts

Ketandusan Pemimpin, Kualiti Kepimpinan - Mengundang Kritikan dan Kejatuhan

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan.

Isu kali ini berkisar mengenai satu perkataan dasar PIMPIN. Pemimpin, kepimpinan, terpimpin, memimpin dan pimpinan. Rasanya soal kepimpinan ini sangat penting dan banyak diulas di mana-mana medium maklumat tak kiralah blog atau akhbar atau majalah di kedai gunting rambut atau apa-apa artikel yang kita temui di internet.

Bukan mudah untuk menjadi seorang pemimpin. Banyak kriteria atau ciri-ciri yang perlu ada dalam diri setiap individu yang ingin atau yang sedang bergelar pemimpin. Jika kita lihat ketokohan pemimpin hebat sepanjang zaman seperti Iskandar Zulkarnain, Napoleon, Adolf Hitler, Genghis Khan dan yang sudah pasti Rasul junjungan kita, Muhammad SAW. Kesemuanya memiliki cara kepimpinan yang tersendiri sehingga mampu menakluk kawasan yang luas dan mentadbir dengan baik. Tidak kiralah ideologi apa pun yang mereka bawa. Masing-masing mempunyai kehebatan tersendiri.

Malangnya setiap keagungan, kehebatan dan kekuasaan seorang pemimpin dan sesebuah kerajaan itu tidak pernah kekal untuk selamanya kerana wujud masalah dalaman termasuklah ketandusan pemimpin sehingga menjejaskan kehebatan dan kekuasaan yang mereka miliki. Akhirnya ia membawa kepada keruntuhan empayar yang terbina sejak sekian lama dalam sekelip mata seperti Kerajaan Turki Uthmaniah, Kerajaan Melayu Melaka dan Soviet Union.

Demikian sedikit fakta sejarah sebagai mukadimah...sengaja saya kenang kembali sejarah kerana sejarah boleh berulang jika kita tidak mengambil iktibar daripadanya.

Saya sendiri mengakui saya sebenarnya belum layak untuk menjadi pemimpin yang hebat. Karisma, ketokohan, profesionalisme, dinamika dan keunggulan sebagai seorang pemimpin boleh kita lihat daripada tingkah laku dan gaya luaran seseorang itu. Ada insan yang dilahirkan sebagai pemimpin dan ada insan yang dibentuk untuk dijadikan pemimpin.

Saya ambil contoh kepimpinan Singapura, Perdana Menterinya yang pertama, Lee Kuan Yew dikatakan seorang tokoh yang mempunyai pemikiran yang brilliant sehingga mampu membawa Singapura yang 'kosong' hinggalah menjadi sebuah negara yang maju di rantau Asia Tenggara. Beliau dilahirkan sebagai pemimpin. Anaknya pula, Lee Hsien Loong yang merupakan Perdana Menteri sekarang merupakan tokoh politik yang telah dibentuk bapanya sejak kecil lagi sebagai persediaan untuk menjadi seorang pemimpin yang akan menyambung legasi 'Lee' pada abad ke 21 di Singapura.

Saya kagum dengan bagaimana cara Singapura diperintah. Bagaimana pelaksanaan dasar kerajaannya, bagaimana penguatkuasaan undang-undangnya dan banyak lagi aspek yang tidak kita lakukan di Malaysia.

Berbalik kepada isu kepimpinan dalam konteks mahasiswa di universiti. Saya tidak berminat untuk menyentuh kepimpinan di USM sahaja. Isu ini isu am dan ia sepatutnya disentuh secara umum dan menyeluruh. Apabila pilihan raya kampus (PRK) hampir menjelma bermulalah pelbagai gerakan di sana sini untuk menggerakkan jentera masing-masing. Seperti biasa, wujud gerakan untuk mengenalpasti calon-calon PRK yang sudah pasti memerlukan keterampilan dan kewibawaan sebelum disahkan namanya dalam borang pencalonan sebagai calon yang bertanding dalam PRK. Terdapat beberapa buah universiti yang telah selesai mengadakan PRK dan terdapat juga universiti yang masih mencongak-congak tarikh PRK yang bakal diadakan nanti.

Namun saya yakin kebelakangan ini di beberapa buah universiti termasuk USM sendiri menghadapi cabaran dan kesukaran untuk mendapatkan calon yang benar-benar memenuhi kriteria untuk diangkat sebagai seorang anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Seperti yang saya katakan, bukan semua orang memiliki perwatakan dan kriteria sebagai seorang pemimpin. Jikalau ada pun, orang yang dimaksudkan itu mungkin sudah mempunyai tanggungjawab dan komitmen lain dalam persatuannya. Mana mungkin tugas MPP dan pesatuan dicampur adukkan. Adalah berat untuk menguruskan kedua-duanya secara serentak kerana ia akan memakan diri dan boleh 'mengorbankan' akademik pelajar itu sendri.

Lebih malang, sekiranya calon PRK itu dipilih secara tangkap muat atau dipujuk untuk bertanding disebabkan faktor kekurangan calon yang berwibawa. Ini merupakan satu perkara yang wajar diberi perhatian serius. Sebagai mahasiswa, kita mahukan satu saf kepimpinan yang betul-betul berkhidmat untuk kebaikan bersama atas dasar sukarela dan tanggungjawab. Apabila proses pemilihan dilakukan secara sesuka hati, calon yang menang dalam PRK dikhuatiri tidak mempamerkan prestasi yang diinginkan kerana kurangnya minat dan rasa prihatin apabila memegang amanah. Kekuatan dan pengaruh kepimpinan itu juga akan layu dan mudah menjadi sasaran kritikan. Kita tidak mahu perkara itu terjadi. Itu tidak termasuk perbezaan pendapat dan perselisihan yang mungkin wujud dalam sesuatu kepimpinan. Bertambah-tambahlah kecelaruan dan kelemahan yang wujud dan tidak mustahil ia akan terbongkar bila-bila masa.

Satu lagi perkara di luar konteks PRK, wujudnya konspirasi yang mengatur kedudukan seseorang individu dalam organisasi tertentu. Saya tidak bermaksud untuk merujuk konspirasi ini kepada mana-mana pihak, tetapi sekiranya ia benar-benar wujud ia dilihat seolah-olah mempergunakan dan mempermainkan keupayaan dan kewibawaan seseorang itu hanya kerana dia mampu memimpin dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang diinginkan. Mungkin dari sudut lain, kita boleh mengatakan ia merupakan kepercayaan yang diberikan kepada individu terbabit. Tetapi keputusan itu harus dipersetujui individu tersebut dan dia juga mempunyai hak untuk menolak. Tidak sepatutnya berlaku paksaan kerana ia akan membawa masalah kepada organisasi itu sendiri. Di kemudian hari individu itu pula menerima kecaman kerana tidak memberi komitmen penuh terhadap tugasnya. Siapa yang bersalah? Siapa yang memaksa?.

Jadi, di manakah letaknya harga diri seseorang jika dia dijadikan 'buah catur' dalam permainan 'politik' pihak tertentu? Adalah lebih relevan jika ada konsep sukarela dalam diri para pelajar untuk memimpin sekiranya dia benar-benar berkeyakinan dan tahu sejauh mana kemampuannya untuk memimpin. Masalahnya, kita memang kekurangan orang yang boleh memimpin. "Ketandusan pemimpin"....itu yang lebih tepat untuk diungkapkan. Sebab itulah berlakunya pujuk-memujuk, paksaan, konspirasi, tangkap muat dan lain-lain lagi dalam memilih pemimpin.

Secara keseluruhan, apa yang saya katakan di awal artikel ini, ketandusan pemimpin menjadi satu penyebab keruntuhan sesuatu empayar. Dalam konteks mahasiswa universiti, ketandusan pemimpin menyebabkan sesebuah institusi atau organisasi itu menjadi lembab, malap, tenggelam, lesu dan menjadi sasaran kritikan, tidak kiralah pesatuan apapun. Akhirnya muncul pihak-pihak yang membuat spekulasi, teguran, ancaman dan kritikan terbuka terhadap kepimpinan yang diselimuti masalah dan kontroversi. Kadang-kadang membantu untuk penambahbaikan, kadang-kadang menimbulkan 'argumen' dan mungkin menjahanamkan. Inilah yang boleh dianggap sebagai 'kejatuhan'.

Bagi saya, mudah untuk menjadi seorang pengkritik, tetapi payah untuk menjadi seorang yang realistik. Sama-sama kita menunggu seseorang yang mampu memimpin ke arah perubahan....

Salam Aspirasi Untuk Mahasiswa Bersatu.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

3 comments:

Muhammad Syukri Sa'adon said...

Salam..

Singapura memang hebat..selepas keluar drpd malaysia LKW menjalinkan hubungan dgn Israel dan ini dikatakan sebagai salah satu sebab singapura mencapai kemajuan yg luar biasa (drpd negara kelas 3 kpd kelas 1).

secara realitinya 'pemain catur' memang mengetahui yg mana satu perlu digerakkan bg mencapai matlamat..

istilah ketandusan pemimpin wujud kerana lazimnya bakal2 pemimpin ini lebih gemar tidak menunjukkan bakat kerana terlalu merendah diri..

kesilapan mengasah bakat & mendidik bakal penyambung perjuangan merupakan penyebab utama kejatuhan sesuatu empayar..

ks30069 said...

Salam untuk seluruh mahasiswa...

Benar dan saya 100% bersetuju dengan perincian dalam entry kali ini...

Kadang-kala percaturan org atasan dalam 'politik' ini memang menyusahkan sahaja...

Jika sudah sampai tahap memaksa dan memujuk rayu untuk individu menerima jawatan sebagaimana dakwaan saudara YDP Suksis,sudah pasti yg dipaksa akan menerima kesan...

Biarlah yang benar2 'KEMARUK' nk kuasa terus ambil jawatan tu...Mungkin itu yg terbaik....

wassalam....

Anonymous said...

skemanyer blog ni.sngguh mbsankn

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lain-lain Cerita di OH BELOG!