Akhbar Tempatan

Madah Negarawan

Madah Negarawan

Popular Posts

Kemasukan IPTA 2010/2011 : Mana pelajar lelaki?

Daripada berita yang diterima semalam ( 28 Jun 2010) mengenai kemasukan pelajar baru ke USM sidang akademik 2010/2011, saya tertarik untuk mencatatkan sesuatu di sini mengenai nisbah pelajar lelaki dan perempuan yang bakal mendaftar pada 3 Julai 2010 nanti. Menurut sumber daripada seorang kenalan, 2000 pelajar baru bakal mendaftar. 1,500 daripadanya ialah perempuan dan bakinya iaitu 500 ialah pelajar lelaki. Bermakna nisbah pelajar antara lelaki dan perempuan ialah 1:3

USM seperti yang sedia kita maklum saban tahun semakin mengurangkan pengambilan pelajar ijazah pertama kerana mahu memberikan tumpuan kepada program-program bertaraf pasca siswazah seiring dengan halatuju dan matlamatnya sebagai universiti bertaraf APEX.

Persoalannya, mengapa bilangan pelajar lelaki terlalu sedikit? Perkara ini bukan berlaku di USM sahaja dan ini bukanlah suatu perkara yang baru . Sudah lama kaum hawa mendominasi jumlah pelajar di institusi pengajian tinggi termasuklah di kolej matrikulasi. Adakah kerana kuota kemasukan? atau syarat kelayakan yang gagal dipenuhi pelajar lelaki? atau memang lelaki tidak layak untuk ke universiti? Banyak faktor yang kita dapat fikirkan berdasarkan keadaan sosiologi pelajar-pelajar masa kini yang banyak terlibat dengan gejala sosial terutamanya lelaki.

Alahai, sebagai seorang bekas pembimbing minggu suai kenal, berdasarkan pengalaman, tersentuh hati melihat kaum lelaki hanya 'seciput' je apabila berkumpul di Dewan Tuanku Syed Putra berbanding kaum perempuan yang melaut di dalam dewan tersebut. Secara sinis, semasa hari pendaftaran dapatlah kita melihat seorang dua pelajar lelaki dalam kelompok besar pelajar perempuan yang datang mendaftar pada hari berkenaan. Tidak pasti pula sama ada saya malu kerana bilangan pelajar lelaki baru jauh lebih sedikt ataupun malu apabila terpaksa berhadapan dengan bilangan pelajar perempuan baru yang besar jumlahnya.

Namun, saya berharap (nak sedapkan hati) agar frasa kualiti lebih baik berbanding kuantiti benar-benar menampakkan maksudnya yang sebenar. Jumlah pelajar lelaki ke universiti makin kelamaan semakin kecil tetapi diharapkan jumlah kecil inilah yang benar-benar berkualiti untuk mewarisi budaya ilmu dan kecemerlangan. Dalam masa yang sama mereka perlu bersaing dengan pelajar perempuan yang jauh lebih ramai dan juga mempunyai kelayakan dan keupayaan yang sama dengan pelajar lelaki.

Apapun selamat bertugas kepada semua Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) USM.


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Ubah format dan konsep UPSR, mansuhkan PMR

Belakangan ini banyak perubahan atau pindaan yang ingin dilaksanakan kerajaan. Salah satunya termasuklah desas-desus untuk memansuhkan UPSR dan PMR. Seperti biasa ramai yang mengusulkan pandangan sama ada menyokong atau menentang termasuklah yang memandang sinis terhadap niat tersebut dengan melemparkan bermacam-macam kata-kata sindiran atas faktor fahaman politik.

Agak merimaskan sebenarnya apabila polemik pemansuhan peperiksaan tersebut dibiarkan berlarutan kerana banyak pihak tertunggu-tunggu apakah keputusan sebenar kerajaan. Malang apabila isu ini disensasikan dan dipolitikkan pihak tertentu kerana memakan masa yang lama untuk dimuktamadkan. Dalam masa yang sama bagi mereka yang celik, sesuatu keputusan untuk rakyat yang menentukan halatuju dan kesejahteraan bersama yang hendak dibuat memerlukan kajian mendalam dan mengambil kira pandangan semua pihak termasuklah pakar, bukannya hentam semberono dan terburu-buru.

Seharusnya pindaan, rombakan atau penstrukturan semula tidak harus dilakukan secara kerap kerana ia akan mengundang tanggapan negatif masyarakat dan inilah yang menyebabkan kerajaan dituduh flip-flop dalam melaksanakan sesuatu keputusan.

Berkenaan dengan peperiksaan UPSR dan PMR, secara peribadi, PMR memang wajar dimansuhkan tetapi tidak bagi UPSR berdasarkan justifikasi berikut. UPSR perlu dikekalkan atas dasar ia menjadi penunjuk aras pencapaian dan keupayaan pelajar sekolah rendah dalam menerima pendidikan formal selama enam tahun seterusnya dapat menilai keberkesanan pelajaran dan pembelajaran di sekolah. Pencapaian pelajar-pelajar dalam UPSR selama ini dikatakan meningkat dan peratusan semua lulus dan 100% A juga dikatakan bertambah. Jadi mengapa ia perlu dimansuhkan?

Kejayaan tersebut belum memadai kerana masih banyak sekolah luar bandar menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan. Tahap pencapaian pelajar-pelajar juga bergantung kepada kaedah pengajaran dan cara pemahaman yang cuba disampaikan oleh para guru. Sekolah-sekolah juga sentiasa cuba meletakkan sasaran untuk menjadi lebih baik dengan mengadakan program-program kecemerlangan, kursus, kelas tambahan dan sebagainya untuk para pelajar. Ini menunjukkan usaha yang dipamerkan setiap warga pendidik amat baik kerana adanya UPSR yang secara tidak langsung memperlihatkan usaha guru dan pihak sekolah dalam memberikan sesuatu yang terbaik kepada pelajarnya untuk mnghadapi UPSR.

Tambahan pula dewasa ini kerajaan telah menetapkan bahawa dalam tempoh tertentu pada masa akan datang, setiap bakal guru yang akan mengajar di sekolah rendah perlu memiliki kelayakan ijazah bagi memikul tugas tersebut berbanding kelayakan yang lebih rendah sebelum ini. Ini menunjukkan warga pendidik yang diamanahkan untuk memberikan pendidikan sekolah rendah kepada anak-anak telah dinaiktaraf kelayakannya.

Sudah tentu kesemua mereka ini diberikan kepercayaan untuk mengajar dengan sebaiknya para pelajar selama mereka berada di peringkat sekolah rendah. Kemuncaknya, UPSR menjadi penentu kepada sejauh manakah kelayakan tinggi yang dimiliki para guru mampu menyediakan pelajar yang cemerlang dalam UPSR sekaligus peperiksaan tersebut menjadi cabaran kepada para guru dan pelajar untuk menempuhinya. Jadi adakah wajar UPSR dimansuhkan setelah langkah penyediaan guru yang lebih berkualiti diambil?

Soal sistem pembelajaran sekarang berorientasikan peperiksaan sepatutnya tidak timbul kerana peperiksaan itu perlu dan keputusan untuk memansuhkannya dirasakan tidak tepat kerana kita mungkin mempunyai alternatif lain.

Apa gunanya jika UPSR dimansuhkan tetapi diganti dengan peperiksaan lain? Ianya sama sahaja dan kita janganlah menjadikan perkara ini sebagai jenaka dengan memansuhkan UPSR tetapi selepas itu diwujudkan pula peperiksaan lain. Ianya tetap peperiksaan. Alternatif yang mungkin boleh dilaksanakan ialah mengekalkan UPSR tetapi konsep atau format peperiksaan tersebut perlu diubah, tidak hanya berteraskan peperiksaan bertulis sahaja tetapi mungkin boleh ditokok tambah dengan elemen lain dengan turut menyertakan sekali pemarkahan dalam pencapaian luar kelas, keterampilan, mock interview atau kerja kursus mengikut tahap kesesuaian peringkat umur pelajar supaya lebih dinamik dan mengikut spesifikasi yang diinginkan dalam melahirkan pelajar yang lebih berkualiti dan tidak terlalu bergantung dengan keputusan peperiksaan bertulis semata-mata.

Maka dengan itu para pelajar juga tidaklah terlalu memfokuskan kepada pelajaran akademik sahaja tetapi mereka juga perlu mengambil bahagian dan menonjolkan kemampuan dalam setiap elemen yang akan ditetapkan dalam 'peperiksaan baru' tersebut sepanjang tempoh persekolahan mereka selama enam tahun dan bukannya hanya bersedia pada saat-saat akhir peperiksaan sepertimana yang sering kita dengar dari mulut para pelajar sebagai last minute study.

Atau, mungkin sudah tiba masanya sekolah-sekolah sama ada sekolah rendah mahupun menengah memulakan sistem pointer iaitu dengan mengumpul purata nilaian gred (PNG) dan purata nilaian gred keseluruhan (PNGK) seperti yang telah diamalkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan di peringkat universiti. Walaubagaimanapun, sistem ini agak rumit jika hendak dilaksanakan di sekolah rendah. Justeru, satu mekanisme baru perlu diwujudkan dengan menggunapakai atau mengaplikasikan sistem ini tetapi disuaipadankan dengan tahap sekolah rendah agar ia lebih relevan.

Melalui sistem ini pemarkahan pelajar ditentukan berdasarkan peratusan tertentu yang telah ditetapkan untuk beberapa elemen setiap semester sepanjang tempoh persekolahan. Sebagai contoh, 40% daripada markah peperiksaan bertulis UPSR akan ditambah dengan kerja kursus (10%), kehadiran (10%), partisipasi dalam kelas, (10%) , dan ko-kurikulum (30%) setiap semester. Kesemua markah tersebut akan dikumpulkan dan dikira sebagai purata lalu diterjemahkan sebagai keputusan keseluruhan UPSR serta diberikan gred bagi setiap matapelajaran. Ini bermakna purata markah yang telah dikumpulkan sejak darjah 1 hingga 6 akan menunjukkan keupayaan dan nilai sebenar seseorang pelajar itu.

PMR pula dilihat lebih wajar untuk dimansuhkan kerana ia sekadar satu platform untuk menempatkan pelajar ke sekolah tertentu dan aliran tertentu apabila mereka menginjak di tingkatan empat dan lima (menengah atas). Mungkin ada yang menyatakan PMR boleh dijadikan sebagai medan untuk menebus kesilapan dan kegagalan UPSR agar pelajar tertentu boleh berhijrah dari sekolah menengah harian biasa ke sekolah berasrama penuh (SBP) atau ke MRSM atau mana-mana sekolah elit setelah mereka memperoleh keputusan yang cemerlang dalam PMR. Ya, mungkin alasan tersebut boleh dijadikan sandaran tetapi adakah menempatkan diri di sekolah pilihan menjadi keutamaan berbanding keputusan cemerlang yang perlu diperoleh?

Di sinilah kita dapat lihat mengapa perlunya UPSR dikekal dan diperkasakan supaya para pelajar mempunyai kesedaran dari awal lagi untuk berusaha dan meningkatkan kemahiran insaniah agar dapat menempatkan diri di sekolah elit dengan pencapaian membanggakan apabila mereka berada di peringkat sekolah menengah. Kita tidak mahu PMR sekadar dijadikan alat untuk menebus kembali kegagalan UPSR seolah-olah peperiksaan tersebut merupakan talian hayat bagi mereka yang lambat menerima kesedaran. Kita tidak mahu apabila calon UPSR mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan, mereka akan menaruh harapan pula kepada PMR dengan kata-kata ini, "tak apa, PMR nanti aku nak berusaha lebih baik". Ia menggambarkan para pelajar gemar bertangguh dan terlalu mengharap kepada peluang kedua untuk mencapai kejayaan. Tanggapan ini perlu diubah kerana peluang yang ada harus kita rebut dan dimanfaatkan sepenuhnya serta mengelakkan diri daripada terlalu bergantung kepada peluang kedua yang mungkin memakan diri sendiri jika disia-siakan. Mengapa tidak? Amat malang jika seorang pelajar menjadikan PMR sebagai sandaran untuk menebus kegagalan lalu dalam UPSR turut menerima kegagalan yang sama.

Selain itu dengan kewujudan PMR telah memberi tekanan kepada para pelajar khususnya apabila mereka berada di tingkatan tiga. Jika sekolah rendah hanya mempunyai satu peperiksaan iaitu UPSR sepanjang enam tahun persekolahan, mengapa di peringkat sekolah menengah para pelajar perlu menghadapi dua peperiksaan iaitu PMR dan SPM dalam tempoh lima tahun persekolahan? Ketepikan soal peringkat umur, tetapi fokuskan kepada faktor masa. Tempoh masa lima tahun persekolahan tetapi perlu menghadapi dua peperiksaan besar dilihat membebankan pelajar. Adalah lebih baik jika 'halangan' yang perlu dilalui pelajar tingkatan tiga dihapuskan kerana ia akan menawarkan satu nilai masa dan ruang yang selesa bagi pelajar meneruskan pelajaran dan kegiatan luar kelas tanpa dikenakan sekatan dan tekanan peperiksaan.

Perlu diketahui bahawa terdapat sekolah yang menghadkan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum apabila mereka berada di tingkatan tiga dengan sebab mereka harus menumpukan kepada soal akademik dan banyak program ilmiah telah dirangka pihak sekolah sebagai persediaan untuk menghadapi PMR. Ini merupakan satu bentuk tekanan kepada para pelajar kerana keinginan mereka untuk bergiat aktif dalam aktiviti luar kelas telah dinafikan atas faktor bimbang tumpuan dan keputusan peperiksaan yang bakal dihadapi akan terjejas.

Maka kewajaran untuk memansuhkan PMR dilihat lebih relevan dan kerajaan perlu melihat pendidikan sekolah rendah sebagai prioriti dalam usaha membentuk generasi berilmu dan berkemahiran dalam pelbagai bidang kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Buli - budaya sekolah berasrama


Buli atau ragging merupakan budaya biasa di sekolah-sekolah berasrama. Tanyalah sesiapa saja yang pernah melalui alam sekolah berasrama tidak kiralah sekolah sains, sekolah agama termasuklah yang bertaraf maktab - ragging sudah menjadi kebiasaan. Walaupun ada cubaan untuk menghalang dan mencegah perkara ini daripada berlaku namun bukan mudah untuk mengubah budaya yang telah lama wujud.

Daripada apa yang kita fahami budaya ialah perkara yang sering dilakukan atau diamalkan sejak sekian lama, maka ia dipanggil budaya. Ragging telah lama wujud dan bagi pelajar sekolah berasrama termasuklah guru-guru ia merupakan suatu perkara yang biasa. Selagi wujudnya senioriti di asrama selagi itulah ia terus diamalkan.

Di asrama pelajar senior mengawal pelajar junior dan sering memberi arahan untuk melakukan sesuatu termasuklah membasuh baju, seterika baju, membelikan makanan dan sebagainya. Kebiasaannya arahan tersebut dipatuhi memandangkan senior sememangnya berkuasa di asrama. Umpama siapa besar dialah hebat.

Konsep senioriti telah menyebabkan berlakunya kegiatan buli. Tiada siapa boleh menafikan perkara ini kerana banyak kes seperti ini berlaku dan menjadi sebahagian daripada pengalaman hidup pelajar asrama. Cuma kadangkala apabila berlakunya kematian baharulah mendapat perhatian media dan ketika itulah perkara ini diperbesarkan.

Berdasarkan pengalaman 5 tahun di asrama, seseorang pelajar tidak akan dipukul atau didenda pelajar senior tanpa sebab. Mungkin berlaku sedikit perselisihan, melanggar peraturan, atau kes-kes dalaman asrama yang mencetuskan perasaan tidak puas hati dan yang pasti keegoan senior akan tercabar sekiranya mereka tidak dihormati apatah lagi di MTD yang mengamalkan cara hidup dan protokol ketenteraan yang sememangnya tebal dengan nilai-nilai senioriti dan kepatuhan kepada senior.

Bukanlah catatan ini bermaksud membela senior dan menggalakkan mereka mengambil tindakan sendiri tetapi apa yang dikesalkan ialah apabila tindakan mereka mungkin terlalu keras sehingga membawa maut. Siapa sangka pukulan atau tendangan yang dihayun rupa-rupanya membawa ajal kepada pelajar junior terbabit sedangkan perbuatan tersebut pernah dilakukan terhadap pelajar lain tidak mengakibatkan kesan sedemikian rupa.

Perkara sudahpun berlaku takkan boleh diundur lagi.

Sudah ketentuan Ilahi mangsa maut di MTD dengan sebab tertentu sepertimana yang telah tercatat. Kalaupun ada yang mempersoalkan tragedi itu boleh dielak sekiranya buli tidak berlaku, siapa yang perlu disalahkan? Pihak sekolah/maktab tidak mungkin mampu mengawal dan mengawasi setiap pergerakan pelajarnya apatah lagi selama 24 jam.

Ini budaya sekolah berasrama.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Sentimental Penjara Pudu dan arus pembangunan

Lebih 100 tahun binaan ini telah wujud sejak zaman penjajahan lagi, sekarang sebahagian daripadanya sudah dirobohkan. Keputusan kerajaan untuk merobohkan penjara ini untuk memberi laluan kepada arus pembangunan jalan mengundang pelbagai tanggapan. Ada pihak yang sokong dan ada juga yang menentang.

Pelbagai alasan pro dan kon mengenai isu penjara ini dan rasanya kita sudah tahu justifikasi pelbagai pihak yang mempertahankan pendirian masing-masing.

Faktor pelancongan, nilai sejarah dan sentimental menjadi sebab mengapa ramai yang menentang ia dirobohkan. Tetapi bagi yang bersikap terbuka, langkah kerajaan itu disokong bagi membolehkan KL terus dimajukan seiring dengan peredaran masa.

Apapun kerja-kerja merobohkan penjara ini sudahpun berjalan. Jika kita nak bandingkan dengan negara lain yang dikatakan lebih menghargai dan memelihara binaan yang telah lama wujud mungkin situasinya berlainan dengan negara kita. Faktor geografi mungkin menjadi penyebab mengapa bangunan tertentu dikekalkan dan dirobohkan. Penjara Pudu yang lokasinya di tengah-tengah kepesatan pembangunan KL sudah tidak sesuai lagi untuk dibiarkan terus berdiri di situ.

Adalah lebih baik untuk bersikap realistik daripada terus dibuai keasyikan nilai sentimental terhadap bangunan tersebut. Ia hanyalah sebuah penjara yang pernah menempatkan ramai pesalah sejak ratusan tahun dahulu dan dipenuhi dengan pelbagai sejarah hitam. Walaupun kehadirannya sejak sekian lama sudah sebati dalam kehidupan warga kota namun ia tidak terus berkekal lama kerana peredaran zaman dan keperluan semasa warga kota lebih diutamakan. Ledakan arus pembangunan tidak boleh dinafikan kerana ia merupakan satu fenomena dan sentiasa berkembang seiring dengan keperluan dan kemajuan yang dicapai sesebuah ketamadunan manusia.

Namun ia bukan bermakna kita melupakan nilai sejarah dan menghumban bangunan yang dianggap nostalgia. Banyak perkara perlu dipertimbangkan dan pilihan yang terhad, maka kita perlu memilih perkara yang lebih penting dan lebih diutamakan untuk kepentingan bersama.

Mungkin kita terlalu sayangkan usianya berbanding fungsi dan peranan sebenar penjara ini.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Anak kucing pun jadi isu?

Seperti biasa tabiat harian menyelak akhbar dan terpampang gambar DS Najib memegang seekor anak kucing parsi yang dibelinya dalam suatu expo pameran.

Beliau mengajak orang ramai memberikan cadangan dalam laman blognya untuk menamakan anak kucing berkenaan.

Rasanya kisah PM membeli seekor anak kucing dan ingin menamakannya bukanlah suatu hal besar. Tapi tak sangka pula ada juga makhluk yang nak jadikan perkara ini sebagai modal politik. Memang dasar gila politik sungguh....

Beli anak kucing pun kena kritik, kena hentam.

Ada yang bagi cadangan 'kelakar' supaya anak kucing tu diberikan nama PKFZ, F5E, Altantuya, atau Scorpene...hahahaaa...

Ada juga yang kelihatan tak puas hati...tapi tak pasti la pula makhluk tersebut tak puas hati dengan PM ataupun terhadap anak kucing tu. Katanya PM sibuk minta pandangan rakyat minta anak kucingnya diberi nama sedangkan rakyat kini bergelut dengan masalah makanan, mencari perlindungan yang selesa dan bla bla bla....siap minta Allah beri petunjuk kepada PM lagi....

Hurm...kenyataan tu nampak macam Malaysia tengah dilanda krisis kebuluran, kemiskinan, peperangan, penyakit dan segalanya yang buruk belaka. Beri nama pada anak kucing pun jadi masalah ke?

Ada juga yang memberi tafsiran sendiri terhadap gambar tersebut. Katanya anak kucing itu ketakutan kerana dipegang oleh tangan yang jahat, kononnya dapat mentafsir wajah anak kucing, kakinya yang bersedia untuk mencakar...dan sebagainya. Bak kata dia 'ilmu mentafsir gambar'.....keh keh keh...

Sengaja je kaitkan isu kecil tu dengan isu-isu negara.....

Apa kaitannya?

Jangan risau la...anak kucing tu tak menjejaskan keadaan ekonomi negara...

Beri nama pada anak kucing menggunakan wang rakyat berbilion-bilion ke...?

Beri nama pada anak kucing takkan menjejaskan pembangunan Malaysia...

Beri nama pada anak kucing tak menyebabkan rakyat Malaysia kebuluran...

Jangan pandang semuanya negatif....yang positif tak dipandang pula

PM beli anak kucing pun nk sensasikan jadi cerita politik...apa cerita?

Bising sana komplen sini macam PM tak buat kerja plak...

Janganlah kita cari isu remeh-temeh untuk diperbesar-besarkan...macam dah kering idea, otak pun kecut lagi sempit.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Menilai Tahap Keintelektualan Mahasiswa


Sesi kemasukan mahasiswa baru bagi sidang akademik 2010/2011 semakin hampir dan pastinya hanya mereka yang mempunyai kelayakan akademik seperti yang ditetapkan oleh pihak universiti layak mendapat tempat yang terhad di IPTA seluruh negara.
.
Persoalan yang sering ditimbulkan ialah adakah calon-calon yang bakal bergelar mahasiswa ini benar-benar mempunyai keintelektualan yang sepatutnya untuk menggalas tanggungjawab sebagai mahasiswa? Keintelektualan yang bagaimana? Jika keintelektualan itu ditafsirkan dari sudut pencapaian akademik semata-mata, sudah pasti ia belum mencukupi dan tidak menunjukkan tahap intelek yang sebenar. Oleh sebab itu syarat kemasukan universiti pada masa kini diperketat dengan lebih mengutamakan pelajar-pelajar yang bergiat aktif dalam aktiviti luar kelas di samping menitikberatkan pencapaian akademik.
.
Namun, apabila telah menjejakkan kaki ke menara gading, sebahagian daripada mahasiswa yang dikatakan pelajar aktif di sekolah didapati kurang melibatkan diri dalam program dan aktiviti di universiti. Malah ada juga segelintir mahasiswa langsung tidak bergiat aktif dalam sebarang acara. Lebih malang lagi masih ada golongan mahasiswa yang lemah pengetahuan amnya dan tidak mengambil pusing mengenai isu-isu semasa dalam dan luar negara. Hasilnya, mereka gagal menyampaikan pendapat dengan baik apabila diajukan pertanyaan, apatah lagi jika diajak berdebat yang memerlukan pengetahuan am yang luas dan kebijaksanaan berbicara. Bayangkan masih ada yang bertanyakan mengenai tragedi 13 Mei 1969, malah ada mahasiswa tidak mengenali menteri kabinet yang memegang portfolio utama. Perkara sebegini wujud dan saya lihat sendiri sepanjang berada di kampus.
.
Baru-baru ini seorang rakan saya mengeluh setelah menonton rancangan Bicara Siswa TV1. Beliau mempersoalkan mengapa panelis rancangan tersebut yang juga merupakan pemimpin mahasiswa universiti tidak dapat menjawab soalan berkenaan isu-isu siswa dan kampus yang dikaitkan dengan situasi semasa negara dengan baik. Mereka seolah-olah menjawab soalan secara ‘schematic’ atau menggunakan ayat buku, bermakna apa yang mereka lontarkan umpama skrip. Kegagalan menyampaikan pendapat daripada pemikiran dan ideologi sendiri adalah satu perkara yang dianggapnya sebagai minda yang tidak berkembang dan tahap keintelektualan berada pada tahap yang rendah.
.
Jadi, kita dapat ihat bagaimana para pemimpin pelajar tidak memberi respon yang diharapkan. Dengan kata lain mereka gagal memberikan impak yang berkesan serta kurang memberi input kepada para penonton yang juga merupakan para mahasiswa yang mahukan satu jawapan konkrit dan rasional. Ini merupakan kelemahan yang perlu diatasi segera. Isu yang sering dimainkan di kampus-kampus pada masa kini ialah mengenai mahasiswa itu sendiri yang dikatakan semakin lesu. Ya, memang benar. Memang itu yang terjadi pada hari ini apabila kita melihat daripada keterampilan, gaya percakapan, idea yang dilontarkan dan pemikiran mahasiswa yang masih berada dalam ruang lingkup yang terhad. Mungkin juga berpunca daripada kurangnya pengalaman dan penglibatan dalam aktiviti kesukarelaan, tabiat membaca yang terbatas dan kurang mengambil tahu isu-isu semasa. Inilah perkara yang menjadi penghalang kepada mereka untuk berinteraksi, berkomunikasi dan memberi pandangan dengan huraian menarik, matang dan berkredibiliti.
.
Sebenarnya, keintelektualan boleh dibina dan dijana dengan sikap mahasiswa itu sendiri. Nyata apabila mahasiswa tidak mengambil peduli mengenai apa yang berlaku di dalam negara seperti peralihan kepimpinan negara, rombakan kabinet, pindaan akta, situasi politik semasa, persidangan parlimen dan sebagainya ia merupakan kelemahan yang harus ditangani segera.
.
Pihak universiti diyakini banyak menganjurkan program-program bertaraf kebangsaan dan ini merupakan ruang dan peluang yang harus diisi oleh mahasiswa untuk bergiat aktif sama ada sebagai sukarelawan, urusetia mahupun peserta. Di Universiti Sains Malaysia sendiri banyak menganjurkan seminar dan program-program di luar kuliah setiap tahun seperti National Innovation and Research Competition (NIRC), Kursus kejurulatihan Pimpin Siswa, Ekspo Konvokesyen (ConvEx), Kursus Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) dan banyak lagi program berbentuk seminar, persidangan, forum termasuklah yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan persatuan-persatuan pelajar. Secara tidak langsung pengalaman tersebut membolehkan mereka mendalami dan memahami apakah input yang diperoleh hasil daripada penganjuran program berkenaan.
.
Keterlibatan mahasiswa dalam merancang, merangka dan menggerakkan program-program di universiti juga mampu mengembangkan bakat dan pengetahuan dalam prosedur menjalankan program, pengurusan majlis, protokol, interaksi dan menilai keberkesanan program. Penglibatan sekadar sebagai peserta masih belum mencukupi. Ini juga merupakan salah satu perkara yang seharusnya membantu mahasiswa meningkatkan keintelektualan dan imej sebagai mahasiswa yang berwawasan. Tahap keintelektualan juga kedangkala diukur berdasarkan kemampuan berpidato, berhujah, berlakon dan pelbagai lagi kemahiran insaniah yang mungkin tidak dimiliki oleh setiap orang. Namun, ia boleh diasah sekurang-kurangnya dengan meningkatkan daya pemikiran dan pengetahuan am melalui bahan-bahan bacaan ataupun dengan cara mengikuti rancangan berbentuk forum atau bual bicara seperti Hujah TV9, Soal Jawab TV3 dan rancangan lain yang berinformasi. Hakikatnya banyak cara yang boleh kita lakukan selain daripada apa yang dinyatakan di atas bagi meningkatkan keintelektualan mahasiswa.
.
Jangan kita lupa, Sudut Pidato yang diwujudkan semula di IPTA baru-baru ini dikatakan tidak mendapat sambutan. Mengapa? Salah satu faktor yang dinyatakan adalah kerana kurangnya sikap berhujah dalam kalangan mahasiswa. Jika suatu ketika dahulu mahasiswa lantang bersuara dan sibuk berpidato memperjuangkan isu-isu kebajikan mahasiswa, namun bahang suasana itu tidak lagi bertapak di IPTA hari ini. Selepas ini akan tertubuh pula Parlimen Mahasiwa di USM yang diharapkan akan menampilkan wajah-wajah wakil mahasiswa yang akan berhujah sepertimana yang berlaku di Dewan Rakyat. Medium dan platform sudah tersedia. Namun adakah mahasiswa bersedia untuk menyahut cabaran ini? Sekarang, marilah sama-sama kita menilai di manakah sebenarnya tahap keintelektualan mahasiswa hari ini dalam memastikan keintelektualan merupakan kesinambungan daripada budaya kecemerlangan yang diamalkan universiti tempatan.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Siapa Helen Thomas, Haneen Zoubi ?

Ada perkara yang menarik perhatian saya untuk mengetahui siapakah Helen Thomas selepas Buletin Utama TV3 menyiarkan mengenainya semalam. Selepas itu saya teringat pula kisah kekecohan yang berlaku di Knesset Israel (Parlimen Israel) apabila seorang ahli parlimennya, Haneen Zoubi mempertikaikan dan mengutuk apa yang telah dilakukan Komando Israel terhadap kapal Mavi Marmara.
.
Kedua-duanya merupakan wanita dan mempunyai pendirian yang sama terhadap isu kekejaman Israel. Mengapa saya menamakan dua wanita ini di sini? Rasanya kita perlu tahu bahawa masih ada saki baki golongan anti-Zionis yang berani bersuara menentang Israel. Namun, mereka hanyalah insan kerdil dan hak untuk bersuara menyatakan kebenaran telah disekat.

Helen Thomas merupakan seorang wartawan yang berumur 89 tahun, berketurunan Lebanon dan telah bertugas sebagai wartawan politik di White House sejak zaman John F. Kennedy hinggalah zaman Barack Obama. Cukup lama beliau bertugas sebagai wartawan. Beliau juga cukup dikenali kerana sering mengajukan soalan-soalan tajam kepada Presiden dalam sidang media di White House. Tetapi baru-baru ini beliau dikatakan telah meletakkan jawatan kerana mengeluarkan kenyataan yang pedas terhadap Israel yang berbunyi "Israel patut berambus dari Palestin".
.
Tak pasti pula sama ada adakah benar beliau meletakkan jawatan, atau mungkin dicadangkan meletakkan jawatan, atau dipecat?? Hanya kerana statement tersebut....
.
Haneen Zoubi pula ialah Ahli Parlimen Israel berketurunan Arab. Dalam sidang Parlimen Israel yang lalu beliau telah tampil ke hadapan dan mengecam tindakan ganas Israel terhadap sukarelawan Mavi Marmara. Lalu tindakannya itu dibantah oleh ahli-ahli parlimen yang lain yang pastinya berketurunan Yahudi dan menyokong dasar keganasan kerajaan Israel. Pertikaman lidah, cercaan dan segala kata-kata kesat dilemparkan kepada Haneen Zoubi di dalam Parlimen. Yang melucukan tak pasal-pasal beliau dilabel sebagai "pengganas" kerana menentang tindak-tanduk Israel terhadap sukarelawan tersebut. Tak masuk akal....
.
Tidak cukup dengan itu, satu petisyen telah diwujudkan dan usaha mengumpul tandatangan telah dijalankan bagi menyingkirkan beliau dari Parlimen Israel. Mengapa? Kerana Yahudi tidak mahu ada manusia yang membongkar dan menentang apa yang mereka lakukan lebih-lebih lagi apa yang telah dipersetujui di Parlimen.
.
Mereka hanyalah sebahagian daripada golongan yang berani bersuara menentang Israel dan lebih istimewa, mereka bertugas di tempat yang penting iaitu White House dan Parlimen Israel. Malangnya, kebenaran yang disuarakan ditutup oleh keegoan pihak yang lebih berkuasa. Mereka didiskriminasi dan disingkirkan.
.
Seperti yang saya katakan di permulaan tadi, masih ada golongan kecil yang anti-Zionis memperjuangkan hak Palestin di sana dan mereka lebih berisiko tinggi untuk dipinggirkan kerana hidup dalam persekitaran masyarakat yang menyokong Israel dan Amerika Syarikat.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Antara Hero Gaza dan Hero Nak Ke Gaza

Akhir-akhir ini media memberi fokus kepada isu rampasan dan serangan Israel ke atas kapal-kapal bantuan aktivis pro-Palestin ke Gaza. Dari akhbar-akhbar hinggalah media baru blog dan portal berita kesemuanya memberikan respon dan ulasan terhadap isu berkenaan.
.
Baru-baru ini saya terlihat satu tajuk di sebuah blog yang berbunyi "Ramai yang nak jadi hero Gaza sekarang ni kan?"...namun saya tiada kesempatan untuk membaca isinya. Baru-baru ini juga ketika menonton Buletin Utama TV3, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengumumkan beliau bersedia untuk menyertai dan menggerakkan misi bantuan ke Gaza sekiranya terdapat peruntukan dan sokongan ramai. Mungkin tajuk blog dan apa yang saya tonton di berita tersebut ada kaitannya. Paham-paham la sendiri...
.
Persoalan mengenai siapa hero ini kadang-kadang lucu bila difikirkan kerana sesetengah pihak kelihatan kurang senang dengan tindakan pihak lain yang tampil ke hadapan untuk mengutuk, menganjurkan protes, demonstrasi, bantahan dan sebagainya termasuklah yang mahu mengheret Israel ke Mahkamah Antarangsa. Mungkin itulah yang dirujuk sebagai hero.
.
Ketika media sedang sibuk memberi liputan meluas tentang kekejaman Israel, sudah pasti ianya menyentuh sensitiviti masyarakat Islam dan juga masyarakat dunia yang cintakan keamanan. Mungkin disebabkan suasana hangat yang dicetuskan oleh media menyebabkan banyak pihak tampil mengeluarkan kenyataan berbaur kritikan dan kebencian terhadap Israel. Manakala di pihak lain ada juga yang menawarkan diri untuk menyertai atau menggerakkan misi bantuan ke Gaza.
.
Berita terbaru terdapat usaha dari Free Gaza Ireland yang mahu menghantar tiga buah kapal bantuan ke Gaza dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Walaupun mereka bukan beragama Islam tetapi usaha yang hendak digerakkan itu adalah usaha yang murni bagi membantu rakyat Palestin yang tertindas.
.

Para sukarelawan Kapal Mavi Marmara pula masing-masing telah selamat tiba di negara masing-masing, kebanyakannya dari Turki termasuklah 12 orang dari Malaysia. Kepulangan mereka yang terselamat ini disambut dengan penuh kegembiraan, kesyukuran, doa dan kemeriahan. Malahan pengalaman ngeri mereka turut dikongsi bersama dengan semua pihak. Maka mereka dianggap Hero Gaza kerana misi mereka telah berjaya membuka mata dunia tentang kekejaman Zionis. Saya tidak menafikan atau memperlekehkan 'title' Hero Gaza terhadap mereka kerana mereka merupakan kumpulan pertama yang sanggup berlayar ke Gaza untuk membantu rakyat di sana. 'Title' Hero Gaza bukanlah gelaran yang mereka kejarkan jauh sekali terlintas di fikiran mereka untuk digelar sedemikian.
.
Itu kisah Hero Gaza....bagaimana pula Hero Nak ke Gaza?
.
Saya menimbulkan persoalan adakah bantuan-bantuan yang hendak disalurkan ke Gaza benar-benar sampai ke tangan rakyatnya? Jawapannya tidak! Kita tahu konvoi Mavi Marmara telah ditawan dan dibawa ke Pelabuhan Ashdod, Israel, begitu juga Rachel Corrie turut mengalami nasib yang sama. Ke manakah perginya segala barangan tersebut? Saya pun tidak tahu mengenainya.



Persoalan kedua pula, adakah berbaloi barang-barang yang dihantar ke sana dengan tujuan untuk meringankan beban rakyat Gaza tetapi akhirnya tiba di Israel? Bertan-tan bahan dan barang disumbangkan dan melibatkan nilai wang jutaan ringgit hendak disumbangkan kepada Gaza tetapi ia tersekat dan tak tahu ke mana destinasi akhirnya apabila kesemua kapal itu ditawan dan dibawa ke Israel. Dengan kata lain objektif sebenar misi tersebut adalah gagal.
.
Pihak yang berhajat untuk menggerakkan misi bantuan ke Gaza selepas ini mungkin dikatakan sebagai "Hero Nak Ke Gaza". Mereka juga mempunyai misi dan tujuan yang sama dengan misi-misi bantuan sebelum ini. Cuma kita tahu setiap kapal yang menuju ke Gaza akan dipintas dan ditawan Israel. Jadi perlukah misi seperti ini diteruskan?
.
Sebenarnya ini semua hanyalah persoalan-persoalan yang bermain di fikiran saya...bukanlah bermakna saya mencemuh usaha tersebut sebagai membazir atau membuang masa atau mengorbankan nyawa free atau sebagainya. Tidak sama sekali. Hakikatnya saya memandang misi bantuan seperti ini bergantung kepada niat dari hati yang ikhlas untuk membantu saudara Islam di sana. Tidak kiralah siapapun yang menggerakkannya, pihak mana sekalipun yang mahu memberikan bantuan amat dialu-alukan. Tidak kiralah dari NGO, parti politik atau institusi pendidikan dan sebagainya, niat yang betul amat penting bagi menggalas misi sebesar ini.
.
Persoalan Hero tidak penting dan ia sepatutnya tidak ditimbulkan kerana semua pihak berpeluang dan mampu untuk tampil ke hadapan menyatakan rasa marah, benci, mengkritik, mencemuh, mengutuk dengan cara apa sekalipun dengan segala tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan Israel. Tindakan tersebut adalah wajar dan berasas. Tidak perlulah kita melabel "dia pun nak jadi Hero" kerana saya percaya usaha sebegini dijalankan atas dasar kemanusiaan dan niat murni untuk membantu rakyat Palestin.
.
Andaikata ada niat lain, tujuan dan matlamat terselindung di sebalik misi bantuan ke Gaza selepas ini, kita tidak layak menilainya dan ia di luar pengetahuan kita melainkan Allah s.w.t.
.
Berkenaan dengan gagal mencapai objektif sebenar misi tersebut, saya setuju ia tidak mencapai objektif yang diharapkan tetapi kita perlu sedar bahawa secara tidak langsung tragedi Mavi Marmara telah memperlihatkan suara masyarakat di seluruh pelosok dunia bergema melaungkan slogan anti-Israel dan kesedaran terhadap kekejaman Israel semakin meluas.
.
Jadi, walaupun bahan bantuan tidak sampai kepada mereka yang berhak, namun ia tidak menjadi masalah kerana sekurang-kurangnya kemenangan moral telah dicapai dan misi tersebut telah membuktikan bahawa Israel telah melakukan pelbagai salah laku dan tidak mematuhi peraturan antarangsa di samping tekanan terhadapnya semakin memuncak daripada masyarakat antarabangsa.
.
Teruskan usaha untuk membongkar lebih banyak lagi kelakuan sundal Israel dan menyerlahkan lagi kerakusan mereka mengingkari perundangan antarabangsa. Mereka yang terkorban kerana mengikuti misi ini bukanlah mati sia-sia tetapi mereka gugur syahid kerana mahu membantu saudara Islam yang tertindas....yang terselamat saya yakin mereka akan semakin berkobar-kobar untuk meneruskan pelbagai lagi rancangan membantu rakyat Gaza pada masa depan...
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Pengganas Hipokrit

Sejak peristiwa serangan ke atas bangunan World Trade Center (WTC) perkataan terrorist/terrorism atau pengganas sangat popular dan sudah menjadi sebahagian daripada isu global yang harus ditangani khususnya oleh kuasa besar dunia.
.
Malangnya keganasan dan pengganas telah disinonimkan dengan umat Islam sehingga wujudnya satu lagi fobia dalam kalangan manusia iaitu Islamophobia. Sememangnya agenda dan perencanaan kaum Yahudi sangat licik dan tersusun dalam usaha menjatuhkan umat Islam dan meneruskan lagi survival mereka dengan sokongan padu Amerika Syarikat.
.

Mereka telah berjaya melabelkan umat Islam sebagai pengganas, mereka telah berjaya meruntuhkan beberapa kerajaan Islam, mereka telah berjaya mengaut hasil kekayaan negara-negara Islam, mereka telah berjaya memperkayakan diri mereka dengan pelbagai senjata berbahaya, mereka sudah lama menguasai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), mereka sudah lama memiliki pengaruh dan kuasa yang hebat dan mereka juga telah membuatkan semua pihak mengikut telunjuk mereka. Itu yang mereka mahukan sebenarnya hasil daripada permainan politik dan helah terancang sejak sekian lama.
.
Tetapi kita harus sedar bahawa perkembangan yang terjadi dalam dunia global hari ini merupakan antara perancangan golongan tersebut. Islam hanya dijadikan mangsa dan umatnya pula teraniaya hingga hari ini.
.
Kita selalu dengar ungkapan "orang gila tak mengaku dirinya gila"....begitu juga "pengganas tidak mengaku dirinya pengganas". Tetapi pengganas sebenar telah menghalakan label tersebut kepada umat Islam. Pada sudut pandang kita sebagai umat Islam, kita menafikan tuduhan tersebut.
.
Mengapa begitu sukar untuk masyarakat dunia sedar siapakah pengganas yang sebenar? Hakikatnya kita tahu US dan Israel merupakan kuasa yang memonopoli rancangan keganasan sebenar. Daripada peristiwa WTC, serangan ke atas Afghanistan, peperangan Iraq, ancaman terhadap Iran, hinggalah kepada diskriminasi terhadap penduduk Palestin. Siapa punya angkara?
.
Mereka menghalalkan keganasan, penindasan, peperangan dan segala perbuatan mereka dengan berselindung di sebalik kempen menghapuskan keganasan, senjata pemusnah di samping menggunakan kuasa veto dalam PBB untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang antarabangsa. Malahan propaganda mereka berjaya meraih sokongan masyarakat dunia dan para sekutu bagi meneruskan agenda mereka.
.
Taktik yang sangat berkesan bukan? Inilah yang dikatakan KUASA.
.
Kita tahu menilai siapakah sebenarnya pengganas. Peristiwa serangan Komando Israel ke atas kapal Mavi Marmara yang membawa pelbagai bahan bantuan kepada penduduk Palestin ada hikmahnya. Dunia perlu sedar siapakah pengganas yang sebenar. Sudah lama mereka berkecimpung dalam dunia keganasan tetapi tidak pula dikecam kerana melakukan keganasan. Malahan mereka menuduh kepada umat Islam pula.
.
Pengganas hipokrit takkan berhenti daripada cuba menakluk dunia dengan cara yang halus. Mereka lakukan apa sahaja tanpa dikenakan sekatan mahupun tindakan. Sekurang-kurangnya misi bantuan ke Gaza tempoh hari walaupun tidak mencapai objektif sebenar, namun mereka berjaya mencapai objektif lain yang dilihat menggugat kekebalan Israel sebagai Pengganas Hipokrit Dunia.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Rachel Corrie ditawan Israel

Kisah kapal bantuan Mavi Marmara yang digempur Komando Israel sudah diketahui seluruh dunia. Tidak perlu diulas panjang di sini. Pelbagai laporan dan berita telah disiarkan dan kita pastinya berasa lebih benci kepada bangsa laknat tersebut.
.
Terbaru, kapal bantuan Rachel Corrie yang dalam perjalanan ke Gaza turut telah ditawan ketika post ini sedang disiapkan. Namun tidak diketahui apakah situasi sebenar yang berlaku di atas kapal tersebut dan bagaimana keadaan para sukarelawan di sana.
.
Pastinya kita mengharapkan tiada perkara buruk berlaku dan tragedi yang berlaku kepada para sukarelawan kapal Mavi Marmara tidak berulang.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lain-lain Cerita di OH BELOG!