.
Pagi tadi aku membaca akhbar pro kerajaan dan pejuang bangsa Melayu - Mingguan Malaysia, sehelai demi sehelai aku selak sarat dengan isu penggunaan kalimah Allah oleh agama Kristian. yang pasti isu ini takkan selesai selagi kerajaan tidak membawa perkara ini ke Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi tempoh hari.
.Kecoh satu Malaysia, bantahan demi bantahan dilakukan oleh masyarakat beragama Islam. Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir juga melahirkan kebimbangan sekiranya bantahan dan kemarahan umat Islam berterusan, ia boleh membawa kepada krisis keagamaan.
.
Pada pendapat aku, ada pihak memang sengaja mahu mencetuskan ketegangan dengan cara menimbulkan kemarahan umat Islam. Tapi siapa dalangnya?? Di pihak Islam masih bergasak dengan bantahan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi KL, tapi di pihak Kristian tiada langsung sebarang reaksi mempertahankan agenda mereka.
.
Mengapa media tidak mendapatkan maklumat, respon, komen daripada pemimpin-pemimpin gereja Katolik?? Masyarakat mahukan satu laporan dan perkembangan semasa yang bukan daripada sebelah pihak.
.
Benar, sebagai umat Islam kita sangat tidak bersetuju dengan apa yang telah berlaku. Mengadakan demonstrasi dan bantahan merupakan salah satu cara kita menzahirkan pendirian dan penentangan secara tegas. Namun apabila kekecohan tercetus, bimbang lama-kelamaan ia melarat sehingga menggugat kestabilan negara. Mungkinkah krisis keagamaan akan tercetus?
.Masalah yang timbul sekarang, isu agama ini dah bercampur aduk dengan masalah politik. Dalam kes ini, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad nampaknya menjadi punca pertelingkahan. Dialah yang menyebabkan isu agama ini berhubungkait dengan politik. Manakan tidak, dia seorang ahli parlimen dari PAS, tetapi menongkah arus dasar dan perjuangan PAS yang mahu menegakkan Islam dengan bertindak menyokong penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.
.
Tidak hairanlah Ahli Parlimen PKR Kulim/Bandar Baharu, Zulkifli Nordin mahu supaya Khalid segera keluar dari PAS bagi mengelakkan perpecahan dan tanggapan negatif kepada parti tersebut. Kali ini aku bersetuju dengan Zulkifli, dia memang seorang yang berani dan benar-benar memperjuangkan agama dan bangsa.
.
Bila wujud masalah sebegini, krisis dalaman PAS menjadi semakin parah. Isu panas yang melibatkan kerajaan dan beberapa pemimpin PAS sebelum ini tidak surut lagi, kini muncul pula Khalid mencipta satu lagi masalah.
.
Tetapi, satu pujian buat Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang nampaknya komited mahu isu ini ditangani bersama melalui perpaduan umat Islam. Beliau mahu politik diketepikan, politik bukan lagi keutamaan. Itu yang sebaiknya. Beliau cukup rasional dan bukannya membabi buta mengikut naluri dan kepentingan sendiri.
.
Aku berpendirian bahawa kerajaan mampu mengawal situasi dan keamanan dalam negara, krisis keagamaan pula tidak sepatutnya berlaku sekiranya langkah mengatasi diambil dari awal. Tetapi krisis PAS aku tidak pasti...biarlah mereka sendiri yang menyelesaikan dan membersihkan kembali imej mereka sebersih warna putih pada 'bulan mengambang'.
.
Yang baik kita sokong, terima dan hargai.
0 comments:
Post a Comment