Klik artikel untuk besarkan saiz
Assalamualaikum dan salam perpaduan...
.
Universiti Sains Malaysia (USM) akan menjadi universiti perintis di Malaysia yang julung kalinya akan menubuhkan Parlimen Pelajar tidak lama lagi. Idea ini sangat menarik untuk kita kongsikan bersama kerana banyak manfaat yang boleh kita perolehi hasil daripada lontaran suara mahasiswa memberi pendapat, cadangan, kritikan dan apa-apa perkara yang wajar disuarakan di dalam Parlimen Pelajar.
.
Namun idea yang mula tercetus pada 2004 oleh Naib Canselor Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ini masih dalam peringkat awal dan pelaksanaannya masih dinanti-nantikan.
.
Sebagai seorang pelajar di universiti ini, saya mencadangkan supaya pihak universiti memberi gambaran sebenar, penjelasan yang tepat dan publisiti meluas mengenai Parlimen Pelajar yang hendak diwujudkan ini. Hal ini amat penting untuk dihebahkan dari awal supaya para pelajar dapat memahami fungsi dan peranan serta memanfaatkan penubuhannya.
.
Persoalan lain yang berlegar-legar di fikiran, komposisi perwakilan pelajar yang akan ditempatkan di dalam Parlimen Pelajar itu sendiri. Siapakah mereka? Yang pasti 'ahli parlimen' terdiri daripada anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Penghuni Desasiswa (MPD), dan perwakilan dari pesatuan-pesatuan pelajar. Tetapi saya berpendapat, sewajarnya pihak universiti menetapkan satu mekanisme pengambilan atau kriteria-kriteria tertentu bagi menempatkan perwakilan yang benar-benar layak dan faham fungsi Parlimen Pelajar.
.
Satu perkara penting yang perlu diambil kira, perjalanan persidangan parlimen seharusnya dikendalikan 100 peratus oleh para pelajar sendiri. Mana-mana pihak boleh membuat andaian dan tuduhan melulu dengan mempersoalkan "adakah Parlimen Pelajar dikawal oleh Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP)?"
.
Suara pelajar amat penting kerana merekalah yang sedang mengalami kehidupan kampus dan mendepani sistem pendidikan tinggi yang semakin mencabar. Tambahan pula peredaran zaman berlalu seiring dengan perkembangan isu-isu semasa yang mampu mempengaruhi ideologi dan idealisme seseorang yang semakin matang dalam menentukan hala tuju dan matlamat hidup. Suara generasi inilah yang kita mahukan apabila mereka mula melontarkan suara dalam Parlimen Pelajar nanti. Kita sentiasa mengharapkan yang positif.
.
Maka oleh sebab itulah apabila idea ini benar-benar ingin dilaksanakan di kampus ini, sistem penyampaian maklumat dari segi pengenalan sistem ini dan hasil persidangan parlimen, perlu disampaikan kepada warga kampus dengan tepat dan konprehensif agar tidak disalahtafsir atau dimanipulasikan kelak.
.
Saya yakin pihak universiti tahu apa yang selayaknya dilakukan sebelum Parlimen Pelajar benar-benar dilaksanakan nanti. Semoga hasrat ini menjadi kenyataan. Sering kita mendengar para pelajar turut mahukan demokrasi di peringkat kampus diimplementasikan dengan telus. Inilah masa dan platform yang diperlukan. Apa yang lebih penting, kesediaan para pelajar untuk menjunjung demokrasi dan politik kampus secara berhemah dan matang.
0 comments:
Post a Comment