Meluap-luap rasanya bila menonton Buletin Utama yang menyiarkan tiga buah gereja dibakar dan dilontar dengan 'molotov cocktail' hari ini. Apa ni?
.
Bakar gereja bukan satu jalan penyelesaian. Ada rupanya segelintir daripada kita yang berangan menjadi hero...konon-kononnya memperjuangkan kesucian Islam hingga sanggup merosakkan rumah ibadat agama lain. Walaupun gereja tersebut mengalami kerosakan kecil dan tidak menyebabkan kemusnahan teruk, ia tetap satu cubaan 'bermain api'. Ini perbuatan orang yang pendek akal.
.
Tindakan ini bersifat extreme dan sungguh melampau. Saya secara peribadi sangat tidak bersetuju dengan tindakan bodoh golongan extremist ini. Sudahlah Islam dilabelkan sebagai pengganas dan extremisme, kini mereka melakukan tindakan yang membuktikan bahawa persepsi masyarakat dunia itu adalah benar dan kini ia terjadi di Malaysia. Apa yang mereka lakukan menunjukkan seolah-olah umat Islam di Malaysia tidak menghormati agama lain.
.
Islam sebuah agama yang menekankan kedamaian dan persaudaraan. Islam tidak mengajar umatnya melakukan kekerasan dan penganiayaan terhadap orang lain walaupun mereka bukan dari golongan Islam. Saya bukanlah hebat berbicara mengenai agama tetapi pengetahuan asas mengenai Islam sudah tersemat di dalam hati.
.
Dalam peperangan juga Islam menggariskan beberapa perkara yang tidak harus dilakukan oleh tentera Islam seperti membunuh kaum wanita, kanak-kanak dan orang tua. Tidak boleh membunuh mereka yang berlindung di rumah ibadat dan tidak boleh merosakkan sebarang rumah ibadat yang ada.
.
Hari ini ada umat Islam yang merosakkan rumah ibadat agama lain dan kita bukanlah dalam suasanana peperangan. Ini jelas menunjukkan mereka tidak memahami apa yang dituntut dalam Islam. Walaupun umat Islam hari ini masih dalam keadaan tertekan dan marah dengan isu kalimah Allah tetapi itu bukanlah alasan untuk kita melakukan penganiayaan dan melakukan kerosakan terhadap rumah ibadat agama lain. Itu sudah dikira menghina agama lain.
.
Perbuatan membakar gereja katolik boleh mendatangkan ancaman balas daripada penganutnya yang juga mungkin merupakan extremist kerana mereka mengganggap ini merupakan satu cabaran kepada mereka. Apa nak jadi negara kita? Perbalahan agama? Mula-mula bakar gereja, selepas itu masjid pula dibakar? Akhirnya saling berbunuhan antara penganut Islam dan Kristian?? Minta Allah jauhkan perkara itu daripada berlaku di bumi Malaysia.
.
Kita tidak mahu berlaku kejadian sepertimana krisis agama yang berlaku di Ambon, Indonesia suatu ketika dahulu. Tragedi yang sangat mengerikan dan menyayat hati apabila umat Islam dihalau, dikejar, disembelih dan dibunuh dengan pedang, sabit dan parang dengan cara yang sangat kejam.
.
Berfikiran waras, rasional dan positif sebelum bertindak. Jangan cemarkan maruah dan imej Islam. ISA tidak mengenal siapa. Walaupun suspek berbangsa Melayu dan beragama Islam, mereka tetap penjenayah berbahaya dan tiada kompromi dalam soal keselamatan negara. ISAkan mereka!
1 comments:
Mengenakan ISA kepada golongan ini bukanlah penyelesaikan. Lain luka, lain pula yang dibebat. ISA itu satu perkara lain pula. Jangan pula mencampurkan hal ISA dengan isu agama ini. Isu yang lain sama sekali. Apa yang kita lihat tidak semestinya benar, tambahan pula kalau yang memaparkan berita tersebut datangnya daripada puak kerajaan. Maaf, saya bukan anti-kerajaan namun siapa tahu ada "tangan-tangan asing" yang membakar gereja tersebut dan menuduh orang Islam melakukannya. Tidak mustahil bukan ada pihak yang mengambil kesempatan menambah luka yang sedia ada.
Apa yang kita perlu dan mesti lakukan adalah mengadakan forum atau perbincangan. Tapi masalahnya di Malaysia ini banyak perkara yang dilabelkan sensitif hinggakan langsung tiada medium untuk kita berbincang hal ini dengan tenang. Masing-masing melihat isu ini untuk kepentingan agama masing-masing. Sampai bila kita mahu terus takut dengan isu -isu "sensitif " ini? Berbincang menerusi forum formal merupakan wadah terbaik namun seringkali di halang oleh kerajaan kerana takut berlakunya rusuhan agama/kaum.
Memasukkan golongan ini ke ISA hanya penyelesaian sementara dan bukan selama-lamanya. Kita masukkan mereka ke ISA, esok lusa datang pula golongan lain yang mengikut jejak langkah mereka, dan pusingan ini akan berterusan. Sampai bila isu ini akan habis? atau ada pihak berkepentingan tidak mahu isu ini selesai kerana mereka mungkin akan mendapat laba daripada apa yang berlaku.
Kita wajar berjaga-jaga dengan "tangan-tangan asing" ini.
Post a Comment