Akhbar Tempatan

Madah Negarawan

Madah Negarawan

Popular Posts

Erti duit raya

Ini kisah duit raya, suatu catatan ringan untuk peringatan dan kebaikan kita.

Memberi duit raya sudah menjadi satu tradisi yang telah lama wujud dan terus diamalkan hingga ke hari ini. Jika dahulu nilai duit raya kecil, mungkin 20 sen, 50 sen atau RM1 dan terhad hanya untuk kanak-kanak. Namun hari ini nilai duit raya yang diberi semakin meningkat RM2, RM3, RM 5 dan ada juga RM10 bergantung kepada kemampuan seseorang.

Ini menunjukkan graf kemampuan untuk memberi duit raya semakin meningkat. Duit raya tidak lagi untuk kanak-kanak sahaja, remaja dan golongan dewasa juga kadangkala turut menerima duit raya pemberian ahli keluarga yang
mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

Ada yang berpendapat semakin meningkat umur, semakin berkurang jumlah kutipan duit raya. Ada juga yang mengatakan bahawa semakin meningkat dewasa, nilai duit raya yang diterima semakin besar contohnya sanak saudara terdekat memberi aku duit raya bernilai RM5 atau RM10 berbanding RM1 ketika aku kanak-kanak.

Hakikatnya kita tidak akan menerima duit raya sampai bila-bila kerana apabila tiba masanya nanti, kita pula yang akan memberi kepada orang lain. Realiti ini akan berterusan apabila seseorang semakin meningkat dewasa.

Kanak-kanak pula kalau dilihat daripada reaksi dan tingkah laku mereka, hari raya sememangnya waktu untuk mengumpulkan duit. Apabila bertandang ke rumah sanak saudara duit raya pasti akan jadi keutamaan. Tapi satu perkara yang aku kurang senang ialah, kanak-kanak sekarang dah pandai meminta-minta. Jika dahulu ibu bapa kita mengajar supaya jangan meminta-minta. Kalau orang beri, barulah kita ambil.

Lain pula yang jadi pada masa kini. Ada segelintir kanak-kanak yang gemar meminta-minta duit raya apabila berkunjung ke rumah-rumah. Walaupun mereka masih mentah, usianya baru 5 atau 6 tahun tetapi sikap itu tidak seharusnya ada pada diri mereka. Ibu bapa perlu tegah anak-anak daripada bersikap demikian. Cuma aku terpikir, mungkin ada segelintir ibu bapa yang mengajar anak mereka sedemikian.

Apabila kanak-kanak mengungkapkan "duit raya takde ke?" atau "nak lagi 1" sambil menghulur tangan, secara kasarnya ia memperlihatkan gelagat kanak-kanak dan suasana riang apabila keluarga terdekat datang ke rumah. Namun adakah ini akan menjadi sikap mereka apabila dewasa kelak? - gemar meminta-minta.

Biar kita bersederhana, jika orang memberi kita terimalah dengan senang hati. Anak-anak perlu didik supaya tidak berkelakuan meminta-minta. Sesetengah orang sangat tidak suka dengan sikap tersebut kerana ia dikatakan satu sikap yang kurang sopan.

Begitu juga dengan kehadiran sekumpulan kanak-kanak yang tidak dikenali datang dari rumah ke rumah untuk beraya. Tujuan mereka adalah untuk mengumpulkan duit raya dan pastinya mereka akan memberitahu rakan-rakan yang lain "rumah warna coklat tu bagi duit raya, pergi la beraya kat sana". Maka ramailah yang akan datang menyerbu rumah coklat berkenaan.

Namun, yang aku pelik, ada segelintir kanak-kanak yang sanggup datang dari jauh, berjalan sekelompok di malam hari untuk beraya di rumah orang yang tidak dikenali semata-mata untuk mendapatkan duit raya. Pada aku niat mereka dah salah. Sebab? Jika berlaku perkara yang tidak diingini ia menyusahkan orang sekeliling dan ibu bapa mereka sendiri.

Jika hendak beraya atau berziarah, seeloknya biarlah kita berkunjung bersama keluarga. Ibu bapa sepatutnya memantau pergerakan anak-anak yang masih kecil dan bukannya membiarkan mereka berjalan tak tentu hala dengan alasan pergi beraya. Keduanya berkunjung ke rumah orang yang kita kenali seperti saudara mara atau rakan-rakan. Itu adalah lebih elok berbanding kita datang ke rumah orang yang tidak dikenali kerana mungkin akan menimbulkan perasaan tidak selesa tuan rumah tersebut.

Golongan remaja dan yang semakin meningkat dewasa aku pasti mereka menjadi segan dan teragak-agak apabila dihulurkan duit raya. Ini perkara biasa kerana aku juga mengalaminya. seperti yang aku katakan tadi, kalau orang bagi, kita ambil la. Hari raya setahun sekali, ketika inilah ramai yang berniat untuk bersedekah dan memberi kegembiraan kepada orang lain dengan cara memberi duit raya.

Ada juga yang bermurah hati untuk memberi duit raya kepada semua orang yang datang ke rumahnya. Hari raya kedua yang lalu aku mengikut kumpulan marhaban dari rumah ke rumah di kawasan kampung. Terdapat beberapa tuan rumah yang memberi duit raya kepada semua tetamunya dari usia kanak-kanak hinggalah usia tua. Walaupun nilai yang diberi RM1 tetapi ia memberikan kegembiraan kepada semua dan itu juga boleh dianggap satu pemberian atau amal jariah. Dengan cara ini, jika kita menyertai kumpulan marhaban, walaupun kita tak kenal tuan rumah, kita tetap akan terima duit raya.

** Kadangkala ada rakan yang meminta duit raya. Untuk kes ni aku tak kisah sebab itu hanya gurauan dan pergaulan mesra seharian.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lain-lain Cerita di OH BELOG!