Ini bahagian kedua yang merupakan kesinambungan daripada catatan yang pertama.
Mengapa sejarah dikatakan subjektif? Berdasarkan perdebatan dan isu hangat yang masih diperkatakan pada masa ini, kita dapat lihat ramai tokoh yang memberi pandangan dan kenyataan masing-masing. Tokoh akademik, tokoh politik dan ramai lagi dari kelompok tertentu yang menyatakan pendirian tentang isu Bukit Kepong, pejuang sebenar dan komunis.
Aku sambung penulisan ini dengan mengemukakan perkara ketiga iaitu dari segi siapa yang layak untuk bercakap soal sejarah. Ada yang mempertikaikan sekiranya anda hanyalah
orang 'biasa-biasa', anda tidak layak untuk bercakap soal sejarah melainkan mereka yang arif dan pakar dalam bidang ini. Bagi aku sesiapa pun boleh dan layak untuk bercakap soal sejarah tetapi nada dan versi penyampaian itu mungkin berbeza. Gaya dan cara seorang ahli politik bercakap mengenai kisah sejarah berbeza berbanding seorang
ahli akademik. Pokok pangkalnya mereka bercerita tentang A, namun penyampaiannya berbeza kerana masing-masing berlainan latar belakang dan bidang yang diceburi.
orang 'biasa-biasa', anda tidak layak untuk bercakap soal sejarah melainkan mereka yang arif dan pakar dalam bidang ini. Bagi aku sesiapa pun boleh dan layak untuk bercakap soal sejarah tetapi nada dan versi penyampaian itu mungkin berbeza. Gaya dan cara seorang ahli politik bercakap mengenai kisah sejarah berbeza berbanding seorang
ahli akademik. Pokok pangkalnya mereka bercerita tentang A, namun penyampaiannya berbeza kerana masing-masing berlainan latar belakang dan bidang yang diceburi.
Persoalannya sekarang, kekeliruan tetap muncul apabila tokoh akademik diminta untuk mengulas atau membetulkan kesilapan dalam penmyapaian fakta sejarah. Ada yang berkata ahli politik hanya sedap mengeluarkan kenyataan dan berniat untuk mengelirukan fakta sejarah. Namun, apabila ahli akademik cuba membetulkan tanggapan salah mengenai sejarah itu tadi, keadaan menjadi semakin mengelirukan dan lebih ramai yang mungkin akan berasa jemu kerana isu ini berpanjangan tanpa ada noktah. Bagi orang 'biasa-biasa', golongan inilah yang akan meraba-raba mencari yang mana satukah fakta yang paling tepat. Golongan inilah juga yang amat mudah terkeliru.
Siapa yang layak bercakap tidak menjadi persoalan. Bagi aku asalkan orang itu ada pengetahuan dan tahu apa yang diperkatakannya, itu sudah cukup untuk berbicara mengenai sejarah. Subjektif di sini merujuk kepada bagaimana cerita sejarah itu 'dilagukan' oleh si pencerita berdasarkan latar belakang bidang yang diceburinya. Faktanya mungin sama tetapi mungkin ada unsur 'penambah rasa' sekiranya ahli politik yang menyampaikan cerita sejarah. Nama pun ahli politik, kita sudah tahu skill mereka untuk menarik perhatian umum...
Seterusnya, keempat, persepsi dan pengaruh seseorang yang berkata-kata mengenai sejarah. Setiap orang memiliki persepsi dan menyokong haluan fahaman politiknya. Persepsi dan haluan politik setiap individu berbeza-beza dan bersilang-kait. Bagaimana cara kita memahami sejarah, bagaimana cara kita mengetahui sejarah turut dipengaruhi oleh persepsi. Persepsi ialah tanggapan seseorang terhadap cerita sejarah yang diketahuinya. Walaupun tahu kisah sejarah yang diajar di sekolah adalah benar, namun terdapat kumpulan yang percaya bahawa masih ada lagi sejarah yang tidak didedahkan. Mereka yakin ada fakta sejarah yang diselindungkan. Ini berkait rapat dengan soal fahaman politik.
Apabila menyebut kaitan politik dengan persepsi, ia sememangnya 'ngam'. Orang yang berfahaman politik sayap haluan kiri, persepsinya akan turut berhaluan kiri dan pastinya berbeza berbanding orang yang berhaluan kanan. Bermaksud, pembangkang di Malaysia mempunyai persepsi negatif terhadap sejarah yang ada sekarang. Mereka berpendapat kerajaan menyembunyikan dan menutup fakta-faktasejarah yang berpihak kepada mereka. Benar atau tidak, sama ada percaya atau tidak dengan dakwaan tersebut, itulah persepsi anda. Sekarang sudah terjawab apakah itu persepsi.
Maka, daripada persepsi dan haluan politik itulah membawa kepada penerimaan seseorang terhadap cerita sejarah pada masa ini. Ada yang mempertikaikan dan ada yang menyokong kerana mereka dipengaruhi oleh persepsi dan haluan politik. Ahli politik yang 'melagukan' kisah sejarah pastinya mengangkat perjuangan generasi terdahulu yang mempunyai fahaman politik yang sama dengan mereka. Masing-masing menegakkan kebenaran. Di pihak A ia menganggap fakta X adalah kebenarannya. di pihak B mereka mendakwa fakta XX lah yang benar. Maka mana satukah 'kebenaran'? Hanya orang yang rasional mampu membezakan yang mana fakta benar dan fakta yang cuba 'dibenarkan'. Sekali lagi ia berkaitan dengan persepsi anda.
Jika kita rangkumkan kesemua butiran mengenai subjektifnya sejarah, ia bersangkutan dengan individu. Daripada penulisan sebelum ini, aku ada menyebut bagaimana seseorang mempercayai sejarah berdasarkan bukti dan kaedah penyampaian serta bagaimana seseorang menerima pendidikan sejarah secara formal,. Dalam entri ini juga aku sudah nyatakan bagaimana cara dan penyampaian kisah sejarah oleh individu yang berlainan bidang serta persepsi dan haluan politik yang akhirnya membawa kepada penerimaan terhadap sesuatu kisah sejarah. Apabila kesemua hujah ini dirangkumkan, inilah jawapannya mengapa kita dapat lihat banyak berlaku pertikaian kisah sejarah pada masa kini.
Itulah jawapannya, kisah sejarah yang disampaikan bergantung kepada kempat-empat point yang telah aku nyatakan. Sejarah itu subjektif...kerana manusia dilahirkan dan membesar dengan pelbagai cara pemahaman, daya intelektual, cara pemikiran, tanggapan, naluri kepercayaan dan pelbagai lagi sifat-sifat kemanusiaan. Oleh itu, pelbagai tafsiran akan dibuat, sejarah akan diulas dan dikisahkan berdasarkan apa yang mereka inginkan, tahu. faham dan kebijaksanaan masing-masing. Mungkin faktanya sama tetapi huraiannya berbeza. Tetapi apa yang lebih malang ialah, fakta yang ada langsung diputarbelitkan dan cuba diubah.
** Kesimpulannya aku memang yakin yang sejarah itu subjektif. Sekian.
0 comments:
Post a Comment