Akhbar Tempatan

Madah Negarawan

Madah Negarawan

Popular Posts

Sejarah itu subjektif (bah. 1)

Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, ramai yang bercerita dan mengungkit kembali kisah-kisah sejarah tak kiralah fakta, mitos, kepercayaan ataupun pemahaman masing-masing mengenai sejarah. Pokok pangkalnya ia berkisar tentang sejarah tanah air. Disebabkan ada segelintir pihak yang menimbulkan kembali kisah sejarah tetapi disampaikan mengikut versi yang bertentangan, maka ramai yang membuka mata, ramai yang bersuara membantah dan menyokong, ramai juga yang cuba mencari kebenaran. Buktinya sudah ada persidangan atau sesi dialog, ceramah atau pembentangan kertas kerja kajian mengenai kisah sejarah yang tidak banyak diketahui masyarakat hari ini.
.
Aku takkan kaitkan penulisan ini dengan mana-mana nama atau pertubuhan yang terpahat dalam lipatan sejarah. Apa yang aku tulis ini adalah satu
tafsiran mengikut pemahaman aku yang bebas , tidak menyalahkan mahupun membuta tuli menyokong mana-mana pihak. Aku tahu aku bukan orang yang pakar untuk mengulas perkara ini, tetapi sekurang-kurangnya aku cuba sampaikan apa yang bermain difikiran ini tanpa prejudis.

"Sejarah itu subjektif". Ini bukan kata-kata aku. Aku terbaca salah satu komen seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) di laman Facebook. Beliau cuba menceritakan bagaimana sejarah itu ditafsirkan  dan dianalisis berdasarkan pemahaman seseorang sejarawan. Aku bersetuju dengan kenyataan beliau bahawa sejarah itu subjektif. Kenapa? 

Pertama, sejarah merupakan peristiwa yang benar-benar berlaku pada zaman lampau. Peristiwa-peristiwa tersebut dicatatkan dalam buku-buku sejarah dan diabadikan di muzium-muzium berdasarkan bukti penemuan seperti gambar, gambar rajah, manuskrip lama, artifak dan lain-lain. Terdapat juga sejarah yang tidak dapat dibuktikan benar dan bersifat kabur kerana ia disampaikan secara lisan iaitu dari mulut ke mulut.  Dengan kata lain ia merupakan penceritaan generasi terdahulu berdasarkan
pengalaman atau berdasarkan penceritaan turun temurun. Ini juga satu sejarah tetapi sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan kerana mungkin telah ditokok tambah ceritanya. Namun, sekiranya kaedah lisan ini turut disertai dengan bahan bukti, ia diterima sebagai satu kisah sejarah yang diakui benar. 

Contohnya atok aku bercerita tentang kekejaman tentera Jepun sewaktu zaman mudanya. Dia sendiri melihat bagaimana tentera Jepun memukul dan membunuh orang kampung tanpa belas kasihan. Pastinya dia bercerita dengan gaya dan mimik muka yang amat serius, kadangkala kita tersenyum melihat gelagatnya.  Itu merupakan teknik penceritaan atau kaedah lisan. Dengan disokong fakta-fakta sejarah hasil daripada kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar, sejarawan dan penyelidik, tentera Jepun yang menakluk Tanah Melayu sememangnya bersikap kejam, zalim dan tidak berperikemanusiaan. Maka, apa yang diceritakan atok aku tadi adalah benar!  

Inilah subjektif yang aku maksudkan, ada kisah sejarah yang diterima sebagai sahih berdasarkan pelbagai sumber dan bukti. Ada juga kisah sejarah yang tidak dapat dipastikan benar atau tidak kerana kekurangan bukti dan tiada sumber berautoriti yang mengesahkannya. Maka ia dipercayai oleh sesetengah pihak sebagai benar dan sesetengah lagi kurang mempercayainya, lalu ia dikatakan sebagai hanyalah mitos. Bermaksud, dari segi penerimaan masyarakat terhadap sesuatu kisah sejarah itu bergantung sejauh mana mereka mempercayai  dan memperakui kisah tersebut.  

Kedua, sejarah yang kita belajar di sekolah merupakan satu sukatan pelajaran yang telah dicipta oleh penyelidik akademik dan dipersetujui oleh panel penilai. Sejarah diajar secara formal bermula di tingkatan satu hingga tingkatan lima dan sesetengahnya hingga tingkatan enam. Apa yang dipelajari di sekolah tidak melambangkan keseluruhan sejarah negara. Ia hanyalah SUKATAN PELAJARAN. Bermakna, hanya beberapa kisah sejarah sahaja yang dipilih untuk dimuatkan dalam buku teks dan diajar di sekolah. Mustahil bagi pelajar-pelajar di sekolah untuk mempelajari keseluruhan sejarah negara dan faham sepenuhnya hanya dalam tempoh beberapa jam dalam seminggu selama lima tahun persekolahan tanpa melakukan penyelidikan lanjut. Oleh itu apa yang kita faham daripada pengajaran sejarah di sekolah adalah terhad dan bersifat selective. Kerana itulah sejarah perlu dipelajari pada tahap yang lebih tinggi di peringkat IPT kerana suasana pembelajaran dan budaya akademik amat dititiberatkan. Walaubagaimanapun, bukan semua orang akan mengambil jalan tersebut kerana hanya mereka yang berminat dan mencintai sejarah sahaja akan meneruskan pengajian dalam bidang tersebut.

Ini menyebabkan pengetahuan sejarah kebanyakan daripada kita cetek, hanya berkisar tentang sejarah yang diajar di sekolah. Tanpa pembelajaran seterusnya, tanpa budaya membaca dan sifat ingin tahu mendalami sejarah negara, kita tidak akan mahir mengenainya. Kebergantungan pada sukatan pelajaran dan belajar sejarah hanya kerana akan menduduki peperiksaan merupakan punca ramai daripada kita tidak tahu banyak lagi timbunan kisah sejarah. Selain itu, apa yang diajar juga hanyalah perkara asas bertujuan untuk menyemai pengetahuan para pelajar. Jika sekadar mempelajari sejarah mengikut sukatan pelajaran, ia tidak mencukupi. Sifat untuk mendalami, memahami, mempersoalkan dan mencari jawapan itu adalah lebih baik.

Subjektif yang aku maksudkan ini merupakan sejauh mana ilmu sejarah kita kuasai. Bermakna sejarah yang kita tahu hanya secebis daripada satu lembaran yang besar. Kita cuma diberikan asas pelajaran dan pengetahuan di sekolah, selebihnya kita perlu dapatkan maklumat lanjut melalui orang yang berpengalaman, pakar, bahan bacaan berilmiah dan sebagainya. Baharulah apa yang bermain di fikiran dan persoalan yang tidak terjawab mengenai sejarah dapat dirungkai dengan tafsiran dan pemikiran kita hasil daripada usaha mempelajari sejarah dengan lebih mendalam. Pengetahuan sejarah seseorang akan mempengaruhi bagaimana dia berfikir dan memahami apakah sebenarnya yang berlaku dalam lipatan sejarah.   

Masalahnya sekarang, respon yang aku terima daripada rakan-rakan mengatakan mereka sangat tidak berminat dengan matapelajaran sejarah ketika di alam persekolahan. Apa yang dilakukan di dalam kelas ketika waktu sejarah ialah tidur. Maka, ilmu sejarah yang ada pada kita berbeza-beza. Itulah perbezaan ketara bagi setiap orang yang tidak kita ketahui. Itu juga satu perkara yang subjektif, kita tidak boleh menilai tahap penguasaan ilmu tawarikh seseorang. 

Aku tak suka menulis entri terlalu panjang. Ni pun dah kira panjang macam menjawab esei peperiksaan. Ada lagi yang ingin aku sampaikan. 

Bila-bila masa nanti aku tulis lagi..."Sejarah itu subjektif" (bah. 2)

Aku nak memerah otak lagi...masih ada yang tersimpan ni.


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

2 comments:

azlanmatt said...

xtaw nk komen ape... tp sy suka dengan pengulasan anda.. cukup padat n bernas

Aziz A'zmi said...

sy tak boleh menilai penulisan sendri...org lain je yg layak beri penilaian. trima kasih..~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lain-lain Cerita di OH BELOG!