Akhbar Tempatan

Madah Negarawan

Madah Negarawan

Popular Posts

2012: Suntikan Halus Propaganda Barat

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan...
Beberapa hari lalu saya dan beberapa teman baik menonton filem "2012". Sebuah filem yang mengisahkan bencana alam maha dahsyat yang membawa kepada tamatnya riwayat kehidupan manusia di muka bumi ini (tetapi yang menaiki bahtera ramai yang terselamat).


Penggambaran, imej, kesan khas, grafik komputer dan segala teknologi perfileman tidak dapat dinafikan kehebatannya. Sememangnya ia mengkagumkan sesiapa sahaja yang menontonnya. Berlainan pula dengan filem tempatan "Pisau Cukur" yang konon-kononnya menjalani penggambaran di atas kapal persiaran mewah, tetapi....bagi anda yang telah menontonnya, faham-faham sahajalah. Bukan niat mahu merendah-rendahkan kualiti filem tempatan, tetapi kita masih jauh ketinggalan dan tahap kita masih di tempat yang sama.


Rasanya saya hampir lari dari objektif asal tajuk entri ini. Apa yang ingin saya ceritakan ialah propaganda Barat yang sangat bijak memainkan sensitiviti masyarakat dunia hari ini tanpa kita sedari. Mungkin pengamatan saya masih kurang tajam, tetapi apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah pengamatan saya terhadap jalan cerita dan adegan yang nyata menunjukkan propaganda Barat dalam memberi interpretasi terhadap perkembangan semasa dunia global hari ini .


1) India - Mempunyai kepakaran yang hebat dalam bidang sains dan keupayannya itu dirahsiakan daripada pengetahuan awam. Filem ini menunjukkan pakar geologi, fizik dan astronomi India menjalankan kajian dan pemantauan 3300 meter di bawah permukaan muka bumi. Merekalah yang mula-mula mengesan letupan yang sangat kuat di permukaan matahari, iaitu 'neutrinos' sehingga menghasilkan 'physical reaction' terhadap Bumi. Berlakunya pergerakan plat tektonik dan pemanasan mendadak kerak bumi serta impak yang akan berlaku terhadap bumi mengikut jangkaan tempoh tertentu.


2) China - Juga diperlihatkan kehebatan mereka dalam bidang kejuruteraan dan teknologi perkomputeran apabila China mencipta, membina dan mengoperasikan 'bahtera' yang sangat besar dan canggih hanya dalam masa dua tahun (2010-2012) dengan bilangan pekerja mahir yang sangat ramai. Namun, watak seorang pekerja China, Tenzin, yang membawa ahli keluarganya dan keluarga Jackson dari Amerika Syarikat menyusup masuk ke dalam bahtera digambarkan sebagai 'perosak' dan penyebab masalah kepada operasi menyelamat umat manusia.


3) Amerika Syarikat - Sebuah negara kuasa besar yang mengetahui segala-galanya. Mereka sedaya upaya cuba menyelamatkan dunia dan manusia daripada kemusnahan tetapi gagal. Presidennya pula digambarkan sebagai seorang yang berjiwa rakyat dan tidak mahu menyelamatkan diri ke China bersama-sama para pegawainya untuk menaiki bahtera. Presiden Amerika mengambil keputusan untuk mengambil pendekatan keagamaan dan berserah kepada ketentuan takdir. Presiden Amerika turun padang berseorangan bersama-sama rakyatnya meghadapi saat-saat kematian menempuh runtuhan bangunan, debu-debu kotoran, dan akhirnya dilanggar ombak tsunami yang datang bersama kapal perang USS yang datang entah dari mana. Manakala kapten bahtera juga merupakan warga Amerika walaupun bahtera tersebut dibina oleh China. Ini menunjukkan mereka amat berkuasa.


4) Rusia - Yuri Karpov, watak bilionaire berbangsa Rusia digambarkan sebagai bangsa yang mementingkan diri dan tamak dalam adegan ketika mereka ditahan oleh penguasa China selepas pesawat mereka terhempas di pergunungan China. Dia juga mengeksploitasi Gordon yang pandai menerbangkan pesawat demi menyelamatkan diri bersama anak-anaknya. Tamara dan Shasha pula mempunyai hubungan sulit dan digambarkan sebagai tidak setia terhadap majikannya. Adegan perlawanan tinju antara petinju Rusia dan Amerika juga menggambarkan petinju Rusia itu mudah hilang fokus dan lemah semangat apabila melihat Curtis berjalan keluar dari tempat berlangsungnya perlawanan, lalu dia dikalahkan lawannya dari Amerika dengan mudah.


5) Arab Saudi - Kerajaan Saudi diangkat sebagai salah satu kerajaan yang menyumbang sejumlah wang untuk membina bahtera melalui watak 'Raja Fahd' yang agak keberatan untuk menyumbang 1 bilion dalam matawang EU, namun permintaan itu ditunaikan juga.


6) Negara kuasa besar dalam PBB - Watak-watak pemimpin negara Rusia, China, Jepun, Jerman, Perancis, Sepanyol, dan UK digambarkan sangat mulia hati dan mengambil berat nasib rakyat ketika dalam adegan pertengkaran antara Adrian dan Anheuser dalam bahtera sama ada mahu membuka pintu bahtera atau tidak kepada orang ramai. Akhirnya para pemimpin tersebut bersetuju membuka pintu bahtera supaya orang ramai boleh memasuki bahtera dan bukan hanya untuk golongan atasan.


Terakhir, fakta yang sudah tersasar jauh, jika filem ini berkisar mengenai "The end of the world" atau "The judgement day" ataupun bahasa mudahnya ialah hari kiamat, sudah tentu tidak ada manusia yang terselamat. Tetapi filem ini menunjukkan rancangan Amerika Syarikat dan usahasama China membangunkan terknologi pembinaan bahtera dapat menyelamatkan manusia daripada hari kiamat. Lebih kurang begitulah tafsiran saya...


Sudah tentu ia bercanggah dengan ajaran agama kita...


Banyak lagi mesej yang tersirat dalam filem ini, baik ada, buruk pun ada, bergantung kepada bagaimana kita menonton sambil menghayati dan berfikir apakah makna terselindung di sebalik adegan dan jalan cerita sesebuah filem Barat.


Wassalam...
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

1 comments:

xanders.co said...

well, movie tu mmg melampau. byk lg mvie dihasilkan utk pesongkan akidah umat islam.


p/s : nice blog. visit mine too. amirulspurs.blogspot.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lain-lain Cerita di OH BELOG!