Akhbar Tempatan

Madah Negarawan

Madah Negarawan

Popular Posts

Pelajar Malaysia di Mesir perlu berterima kasih

Dua minggu sudah berlalu media massa masih lagi membuat liputan meluas mengenai krisis di Mesir manakala kerajaan pula sedang giat berusaha membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia yang berada ke Mesir demi keselamatan mereka. Sehinggakan suatu ketika lalu kisah pendedahan Wikileaks yang sangat popular telah ditenggelamkan sepenuhnya oleh liputan pergolakan di Mesir.

Saya tidak berhajat nak bercerita mengenai pergolakan yang berlaku di sana, tetapi lebih memfokuskan kepada apa yang dilakukan oleh kerajaan untuk menangani masalah pelajar-pelajar Malaysia yang terperangkap di sana.

Pada mulanya ramai yang marah dan tidak berpuas hati dengan kerajaan kerana dikatakan lambat bertindak memindahkan pelajar-pelajar Malaysia di sana. Ada juga yang mempertikaikan mengapa pelajar-pelajar tersebut dipindahkan ke Jeddah terlebih dahulu? Mengapa tidak terus dibawa pulang ke Malaysia? Ini semua merupakan permainan emosi semata-mata memandangkan ibu bapa pelajar tersebut teramat risau mengenai tahap keselamatan anak-anak mereka.


Baru-baru ini timbul pula khabar angin yang mengatakan kerajaan tidak mampu menanggung kos membawa pulang pelajar-pelajar Malaysia. Namun kesemua persoalan tersebut telah dijawab dan dijelaskan Perdana Menteri dan pada pemerhatian saya beliau memang realistik dalam cuba mengatasi masalah ini di samping rasional ketika berhadapan dengan kritikan dan suara sumbang daripada pihak tertentu.

Yakinlah bahawa kerajaan sentiasa cuba melakukan yang terbaik demi rakyatnya di luar negara. Terbukti, apabila ramai yang mengkritik gerak kerja kerajaan di awal krisis, kini mereka terdiam. Kerana pelan pemindahan rakyat Malaysia yang kebanyakannya pelajar di sana sudah hampir berjaya. Ramai yang sudah selamat di pindahkan ke Jeddah dan ramai juga yang selamat tiba di Malaysia. Kita dapat lihat bagaimana ibu bapa tersangat gembira dan terharu menyambut anaknya pulang, sudah pasti selamat dan bersyukur apabila kembali ke tanah air.

Dengan menggerakkan segala kemudahan logistik milik negara, TUDM, TLDM, MAS dan Air Asia, ia sudah cukup menunjukkan kakitangan kesemua agensi tersebut berhempas pulas memastikan Ops Piramid berjaya dilaksanakan dengan arahan dan perancangan daripada kerajaan Malaysia. Tidak lupa Tabung Haji dan Jakim juga menawarkan kemudahan penginapan sementara kepada pelajar yang transit di Jeddah dan Kuala Lumpur.

Pujian sememangnya wajar diberikan untuk mereka, ini adalah kali pertama gerak kerja sebesar ini dilakukan dengan melibatkan pelbagai organisasi. Semua yang terlibat dalam menjayakan misi tersebut sangat komited dan sanggup bersengkang mata demi memastikan rakyat Malaysia selamat dipindahkan.

Bekalan makanan dibawa dari Malaysai untuk diagih-agihkan kepada rakyat Malaysia di sana, termasuklah kos penerbangan mereka ke Jeddah dan seterusnya ke Malaysia adalah percuma. Kesemuanya di bawah tanggungan kerajaan Malaysia. Apa lagi yang boleh diucapkan...sumbangan ini sudah memberi makna yang tidak ternilai. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia menyelamatkan nyawa mereka daripada ancaman rusuhan dan jenayah sepanjang pergolakan di Mesir.
Berterima kasihlah...jangan terlalu taksub kepada pandangan politik. Saya yakin pelajar-pelajar kita di sana menghargai apa yang dilakukan kerajaan demi menyelamatkan mereka. Jika ada pun yang dikatakan masih tidak bersyukur, mungkin segelintir.

Perdana Menteri juga menyatakan tiada sebarang kepentingan politik dalam proses pemindahan ini. Itu yang sebaiknya. Saya tidak bersetuju dengan suara-suara dari blog tertentu yang menggesa kerajaan supaya memindahkan pelajar yang menyokong UMNO sahaja. Apa yang difikirkan itu hanyalah pemikiran mengenai kepentingan politik peribadi dan bukan kepentingan nasional.

Ini soal keselamatan rakyat kita, tidak harus wujudnya pilih kasih. Semua harus diselamatkan sedaya upaya dan kerajaan bersama pelbagai organisasi menggembleng tenaga menguruskan segala masalah yang wujud.

Cuma...yang hairan dan sedikit kecewa ialah, di kala ramai yang berusaha demi memastikan Ops Piramid sukses, ada juga mereka yang sibuk berdemonstrasi sebagai tanda menyokong kebangkitan rakyat di Mesir. Perlukah? Adakah ia lebih penting berbanding menyelamatkan nyawa rakyat kita di sana?

Utamakanlah yang utama....tidak salah jika menawarkan diri untuk sama-sama membantu kerajaan demi kepentingan negara.

Yang penting....berterima kasihlah.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

1 comments:

Cik Fadz said...

Bersyukurlah ats segala nikmat..sesungguhnya Dia Maha Pemurah... Politik hanyalah kuasa sementara...Isu kemanusiaan seharusnya tidak perlu dipolitikkan kerana ia isu sejagat..Mereka yg suka mencampur-adukkan perkara sebegini kudoakan agar diberi keterbukaan hati dan minda oleh Allah dalam membuat penilaian...sesungguhnya tugas khalifah dimuka bumi ini tidak hanya terhad kepada mentadbir sahaja..=)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lain-lain Cerita di OH BELOG!