Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan.
Sengaja saya timbulkan persoalan ini sebagai tajuk artikel terbaru ini. Sebenarnya ungkapan “retorik” itu terkeluar dari mulut sahabat saya ketika berbincang mengenai iklan-iklan di televisyen ketika sedang menunggu order di sebuah restoran.
Syarikat-syarikat korp
orat dan indu
stri hari ini lebih cenderung untuk menyiarkan iklan di televisyen dengan slogan dan logo 1Malaysia. Sememangnya itu yang dikehendaki kerajaan sebagai salah satu langkah untuk menyokong dan mendukung aspirasi kerajaan menjayakan gagasan tersebut yang diperkenalkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak. Antara iklan yang menyiarkan logo dan slogan 1Malaysia seperti Maybank, UMW Motors, Petronas, TM dan sebagainya termasuklah iklan cat Colourland. Kebanyakan syarikat tersebut merupakan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang semestinya sentiasa menyokong agenda dan dasar kerajaan. Institusi pendidikan juga tidak ketinggalan dalam mengaplikasikan gagasan 1Malaysia. Jika anda berada di IPT, kita sudah mula sinonim dengan slogan 1Siswa, 1Malaysia, 1Aspirasi. Semua ini merupakan langkah untuk mempopularkan dan menjayakan dasar baru YAB Perdana Menteri ke-6.


Nombor satu sangat popular ketika ini sehinggakan jika ada majlis keramaian anjuran pertubuhan atau organisasi atau pemimpin kerajaan, banner, papan tanda dan poster menyiarkan logo 1Malaysia. Jika ada sesi fotografi bersama pihak media, gaya dan situasi yang sering kita lihat ialah wajah-wajah masyarakat berbilang kaum tersenyum sambil bersorak dan menunjukkan isyarat jari telunjuk yang membawa maksud 1.
Berbalik kepada isu iklan, satu lagi iklan yang sering ditayangkan sekarang ialah iklan tiga sekawan yang berbilang kaum, Melayu, Cina dan India. Si ibu Melayu menyuruh anaknya memberikan kuih kepada rakan Cina dan India. Apabila si anak tiba di rumah rakan Cina, bapa rakan Cina itu menghulurkan seekor ayam hidup lalu menyuruh si anak Melayu itu memberikan ayam tersebut kepada bapanya untuk disembelih dan makan bersama. Kemudian si anak Melayu pergi pula ke rumah rakan India. Kemudian mereka melihat ayam tadi disembelih. Turut kelihatan si ibu Melayu dan si Ibu India masak bersama-sama dan ketiga-tiga keluarga tadi makan bersama. Hmmm...sungguh cantik iklan itu yang menggambarkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum. Banyak lagi iklan yang menerapkan unsur 1Malaysia. Cantik jalan ceritanya dan sejuk hati melihatnya.
Persoalannya sekarang ia hanya sekadar iklan. Realitinya?? Saya secara peribadi melihat konsep 1Malaysia ini belum menunjukkan hasil dan belum ‘meresap’ masuk dalam diri warganegara kita. Ketika saya makan di sebuah restoran, duduk satu kumpulan pelajar sedang menyambut hari lahir rakan mereka. Tetapi kumpulan tersebut kesemuanya pelajar Cina. Di sebuah meja lain, sekumpulan India sedang makan bersama dan seperti biasa Melayu makan dengan Melayu. Tidak ada pun satu kumpulan Cina, India dan Melayu makan bersama. Sukar sekali untuk melihat situasi yang ditayangkan seperti di dalam televisyen. Itu baru bercerita mengenai makan. Belum masuk lagi cerita yang lebih sensitif mengenai stereotaip, prejudis, dan perasaa benci antara kaum.
Saya sendiri menjadi sasaran sikap prejudis kaum lain terhadap kaum Melayu. Buktinya? Lihat, baca dan ‘hayati ayat-ayat indah’ komen daripada pengunjung blog saya yang menghentam habis-habisan, mencaci, menghina dan melakukan provokasi melampau terhadap bangsa Melayu. Saya dikatakan rasis kerana bercerita mengenai perpaduan Melayu, tetapi bagi mereka yang menghina Melayu, membanding-bandingkan ciri Melayu dengan Cina, dan pelbagai lagi kata-kata nista dilemparkan kepada Melayu, itu tidak rasis?
Sudah tentu la saya tidak duduk diam sekiranya saya dan bangsa saya dihina sedemikian rupa. Tetapi bak kata Tun Dr. Mahathir, jika beliau dan orang Melayu menyuarakan perasaan tidak puas hati atau membangkitkan isu Melayu, mereka dikatakan RASIS. Tetapi jika bangsa lain melontarkan suara mengenai kaun mereka, ia dilakukan atas dasar HAK! Ooh...begitu ya?
Gagasan ini baru sahaja dilaksanakan, jadi pelbagai program dijalankan dengan menerapkan unsur perpaduan, keharmonian dan mesra rakyat berdasarkan gagasan 1Malaysia. Seperti biasa, kita tidak layak untuk menentukan sejauh mana keberkesanan sesuatu dasar itu kerana ia baru sahaja diperkenalkan. Tunggulah sepuluh tahun? Dua puluh tahun? Lima puluh tahun? Mungkinkah keharmonian kaum yang ditayangkan dalam televisyen itu menjadi realiti?
Sebenarnya istilah “retorik” yang dilemparkan terhadap gagasan 1Malaysia tidak tepat. Pelaksanaannya masih berjalan dan kita sebagai rakyat patut menghayati apakah maksud tersirat di sebalik gagasan itu. Bukan memanipulasikan dan memutarbelit keadaan. Saya ada rakan Cina dan India, lelaki dan perempuan dan kami berkawan seperti biasa tanpa sebarang permusuhan atau sikap prejudis. Hanya segelintir extremis kaum yang melakukan perkara-perkara yang melampaui batas. Kita tidak mahu tragedi 13 Mei 1969 berulang lagi. Tolonglah faham sensitiviti, hak dan perbezaan antara kita. Kita sebagai masyarakat majmuk di Malaysia dikatakan masyarakat majmuk contoh, tetapi hakikat sebenarnya kita menunjukkan sikap sebaliknya. Itu harus kita elakkan.
Saya yakin ketika saya sedang meniupkan seruan keharmonian kaum, ia masih belum dapat diterima sepenuhnya. Kita masih lagi bersama kaum kita sahaja, iaitu kumpulan yang berkongsi nilai yang sama. Nilai apakah yang dimaksudkan? Nilai merujuk kepada unsur-unsur seperti adat, budaya, agama, warna kulit dan sebagainya. Sebenarnya ia berbalik kepada diri kita sendiri...terpulang bagaimana kita melihat menyahut seruan gagasan 1Malaysia.