Akhbar Tempatan

Madah Negarawan

Madah Negarawan

Popular Posts

Cubaan Menghasut Mahasiswa Menyertai Perhimpunan Mansuhkan ISA

Assalamualaikum dan salam inspirasi...

Semalam saya menghadiri perjumpaan dan taklimat Program Pimpin Siswa USM di Dewan Kuliah A. Tiba-tiba saya terpandang sehelai kertas yang isi kandungannya menarik perhatian saya seperti di bawah...sama dan serupa cuma bezanya kertas itu cetakan hitam putih tanpa warna.



Membara hati saya apabila mendapati risalah-risalah dan iklan itu menyeru orang ramai supaya bersama-sama menyertai perhimpunan mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1 Ogos 2009 di Kuala Lumpur. Apabila ‘sampah’ ini disebarkan di dalam kampus tidakkah ia bermaksud ada golongan mahasiswa yang terlibat dengan gerakan luar yang mempunyai kaitan dengan pembangkang?? Jawapannya sudah tentu!

Saya tidak kisah sekiranya risalah tersebut diedarkan di luar kampus, tetapi apa yang membuatkan saya geram apabila melihat ‘sampah-sampah’ tersebut berada di dalam dewan kuliah A. Sahabat saya Haja Mydin yang juga merupakan anggota MPP turut memberitahu bahawa risalah-risalah tersebut bersepah-sepah di dalam bilik tutorial. Saya turut berkongsi rasa tidak puas hati dengan sahabat saya dari Kampus Kejuruteraan yang turut sama hadir pada malam itu, Sdr. Safwan Hamzah.

Bagaimana ‘sampah’ ini boleh terlepas masuk ke dalam kampus?? Sudah tentu ada dalang yang menjalankan kegiatan underground menyebarkan iklan dan risalah tersebut untuk menghasut mahasiswa supaya bersama-sama menyertai perjuangan mereka memansuhkan ISA. Saya tidak bersetuju sama sekali anasir ini dibawa masuk ke dalam kampus. Mahasiswa masih tertakluk dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Walaupun AUKU telah dipinda tetapi masih ada syarat-syarat tertentu yang melarang pelajar menyertai gerakan politik di luar sewenang-wenangnya.

Antara lain, kandungan iklan tersebut menyeru orang ramai memakai pakaian dan badge yang tertera perkataan ‘Mansuhkan ISA’. Selain itu terdapat juga risalah yang menceritakan keburukan dan segala macam perkara negatif berkenaan ISA. Malangnya risalah tersebut tidak selari dengan perkembangan semasa kerana terdapat beberapa maklumat lapuk seperti:

“Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga merupakan Perdana Menteri akan menandatangani persetujuan untuk membolehkan tahanan ISA terus ditahan di Kem Kamunting selama dua tahun berulang-ulang kali tanpa batasan”.

Alahai, kalau nak menghasut sekalipun pastikanlah update dahulu risalah tuu...kami ni bukan buta...

Terdapat juga maklumat di bawah risalah tersebut yang membolehkan orang ramai berhubung dengan badan ini. Sekiranya benar, risalah ini diterbitkan oleh SUARAM dan mereka beroperasi di University Height, Sg. Dua. Bayangkan mereka berada di sekitar kita menyebarkan dakyah dan perjuangan karut mereka di samping menarik perhatian mahasiswa USM untuk menyertai mereka. Mereka juga mengalu-alukan orang ramai supaya melawati blog mereka suarampg.blogspot.com.

Secara jujur saya meluat melihat risalah ini berada di dalam kampus USM. Saya harapkan para mahasiswa kita tidak ‘menari mengikut paluan gendang’ pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Mudah-mudahan tidak ada juga yang menjadi sebahagian daripada ‘kambing hitam’ di dalam kampus ini. Mohon Majlis Perwakilan Pelajar memantau perkara ini agar ianya tidak berleluasa di hari kemudian. Jika ada MPP yang melihat risalah tersebut agaknya apa komen mereka??

“Bersama Menjunjung Aspirasi Universiti”
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lain-lain Cerita di OH BELOG!