Akhbar Tempatan

Madah Negarawan

Madah Negarawan

Popular Posts

Antara Perpaduan Melayu, Kerajaan Perpaduan dan 1Malaysia

Assalamualaikum dan salam perpaduan...

Sebelum saya mengarang dengan lebih panjang mengenai topik ini, saya tegaskan di sini penulisan ini bukanlah berunsurkan politik semata-mata. Apa yang saya ingin luahkan di sini ialah perpaduan bangsa Melayu yang semakin rapuh hanya kerana perbezaan fahaman politik dan hasutan daripada anasir luar yang tidak mahu melihat Melayu bersatu padu. Lebih malang lagi apabila ada diantara kita sendiri yang menjadi batu api dan penentang kepada usaha membawa perpaduan dalam masyarakat kita. Saya akui apabila berbicara mengenai perpaduan dan bangsa Melayu, kita tidak dapat lari daripada memperkatakan unsur politik. Dalam isu ini saya tidak hanya menyentuh mengenai perpaduan Melayu tetapi juga memberi penekanan terhadap perpaduan bangsa Malaysia. Tetapi kita perlu ingat, sebelum perpaduan bangsa Malaysia dapat dicapai perpaduan Melayu perlu digerakkan terlebih dahulu kerana bangsa Melayu merupakan tonggak kepada perpaduan masyarakat di negara ini. Tetapi banyak cabaran dan halangan yang perlu dihadapi untuk menjadikan slogan 1Malaysia menjadi realiti. Rasanya saya lebih selesa untuk membahasakan bangsa Melayu tu sebagai “kita”. Seterusnya kita perlu melihat krisis dalaman orang Melayu yang kini tidak mencapai perpaduan kerana politik kepartian yang memecahkan kita kepada empat kelompok.

Pertama, kelompok yang menyokong perjuangan UMNO. Kedua, kelompok penyokong Pas. Ketiga, penyokong PKR dan terakhir golongan yang tidak ambil peduli dan tidak memihak kepada mana-mana kelompok. Kita lupakan kelompok yang keempat itu kerana mereka tidak mempunyai kepentingan dalam perbincangan ini. Secara kasarnya jika kita melihat asas perjuangan ketiga-tiga parti yang disertai oleh orang-orang kita, mereka mengaku memperjuangkan bangsa Melayu. Saya ulangi...secara kasarnya. Namun begitu, kesemua kelompok ini mempunyai ideologi dan fahaman yang berbeza dari segi pelaksanaan dasar perjuangan mereka. Masing-masing mempunyai latar belakang yang berbeza tidak kiralah warna merah yang berunsurkan perjuangan Melayu, warna hijau yang memperjuangan Islam dan juga warna biru muda atau parti anomik, iaitu parti yang ditubuhkan secara tiba-tiba disebabkan tercetusnya isu tertentu (tidak perlu saya jelaskan lagi).

Muzakarah antara UMNO dan Pas pernah diadakan tetapi tidak menemui resolusi. Hal ini kerana ada pemimpin yang menyokong dan menentang usaha tersebut. Dalam parti yang didominasi oleh orang Melayu sendiri tidak ada perpaduan, bagaimana ingin mewujudkan perpaduan bersama parti lain? Jika kita luaskan skop, bagaimana ingin menyatupadukan pengikut sedangkan pemimpin Melayu bertelagah sesama sendiri? Masing-masing mementingkan kepentingan dan keutamaan parti berbanding perpaduan yang sepatutnya dicapai antara dua parti Melayu terbesar ini. Manakala sebuah lagi parti sememangnya jauh dari meja rundingan bersama UMNO dan Pas. Mungkin juga mereka tidak akan bekerjasama sampai bila-bila kerana parti tersebut tidak didominasi oleh satu kaum, sebaliknya ia mengutamakan ‘perpaduan nasional’ dengan membuka keahlian kepada semua bangsa. Maka, parti tersebut dilihat lebih liberal dan kurang memfokuskan kepada agenda menyatupadukan bangsa Melayu.

Cukup mengenai parti politik. Kita beralih kepada penyatuan bangsa. Bangsa Melayu. Bangsa kita tidak bersatu padu seperti bangsa Cina dan India. Telah saya katakan tadi, orang Melayu terpisah kepada empat kelompok. Begitu juga bangsa Cina, mereka juga terpisah kepada beberapa kelompok parti politik. Walaubagaimanapun, apabila bercakap mengenai soal perpaduan atau kepentingan bangsa mereka, ideologi politik dan semangat kepartian ditolak ketepi. Mengapa? Mereka lebih cenderung duduk bersama dalam persatuan-persatuan dan kedudukan kewangan mereka amat kukuh. Duduk berbincang menjadi amalan mereka di belakang pandangan kita. Adakah kita sedari? Situasi ini sangat berbeza dengan sikap orang-orang kita. Maka tidak hairanlah apabila ada yang mengatakan “Orang Melayu sangat bergantung kepada kerajaan. Ada masalah saja lari kepada kerajaan. Orang Cina tidak bergantung kepada kerajaan, mereka ada banyak persatuan yang boleh membela dan menjadi tempat mengadu”.

Itu merupakan satu kebenaran. Jangan kita nafikan fenomena ini. Ungkapan tersebut sudah cukup menggambarkan bagaimana bangsa lain mampu bersatu padu berbanding bangsa kita. Jadi, adakah bangsa kita mampu berdiri sendiri seperti mereka? Saya percaya bangsa kita sudah terlalu selesa dengan bantuan kerajaan yang sejak sekian lama diterajui oleh orang Melayu. Bagaimanakah keadaannya sekiranya negara ini ditadbir oleh orang bukan Melayu? Ianya tidak mustahil. Adakah bangsa kita masih akan bergantung kepada kerajaan? Dan adakah kerajaan ketika itu mahu membantu kita?

Mungkinkah apabila kita sudah terpinggir dan tidak mempunyai kuasa politik baharulah mahu bersatu?

Berkenaan dengan Kerajaan Perpaduan, isu ini pernah dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang ketika Muktamar Pas yang lalu, tetapi nampaknya telah berkubur. Saya pasti semua tahu mengapa idea itu tidak jadi dilaksanakan. Presiden memberikan buah fikiran untuk kepentingan dan kelangsungan hidup orang kita, tetapi ada pihak yang menentang dengan alasan masih mengimbau kenangan lampau, peristiwa hitam dan sejarah lapuk perjuangan parti. Pas pernah ‘ditikam dari belakang’ dan ‘ditendang keluar dari BN’. Maka ia menjadi asas penolakan idea Presiden mereka sendiri. Akhirnya Presiden hanya menurut sahaja. Inilah contoh konsep ‘ketaatan kepada ketua’. Hujah yang dikemukakan untuk menolak kerajaan perpaduan hanyalah kerana cerita lama yang masih tidak dapat diterima hingga sekarang. Antara perpaduan bangsa dan cerita lama politik, yang manakah lebih penting? Sudah tentulah politik. Kerana apa? Kerana masing-masing mahu parti mereka mendominasi dan tidak mahu diketepikan dan hilang pengaruh. Inilah situasi politik bangsa kita hari ini. Tidak ada persefahaman dan berkiblatkan kuasa politik semata-mata.

Tetapi ada juga kata-kata yang menyalahkan media kerana sengaja mensensasikan isu tersebut. Media menjalankan tugas. Mereka sememangnya melaporkan berita mengikut pandangan dan perspektif yang berbeza. Mengikut Teori Penetapan Agenda yang dikemukakan oleh Prof. McComb dan Prof. L. Shaw, kuasa media sangat hebat apabila melaporkan berita secara meluas dan memanipulasikannya untuk menarik perhatian pembaca dengan cara tertentu. Seterusnya masyarakat yang terdedah kepada laporan media akan mula dipengaruhi dengan pemikiran yang percaya bahawa isu tersebut sangat penting untuk diperkatakan dan dibincangkan. Akhirnya ia akan memberi kesedaran dan perhatian yang lebih mengenai isu tersebut. Inilah yang berlaku sebenarnya di sekeliling kita. Hasil daripada kuasa media telah memberi impak kepada masyarakat yang mahukan perpaduan bangsa. Media kerajaan, media pembangkang mahupun media alternatif, kesemuanya memainkan isu ini dan ia tidak akan mati begitu sahaja selagi ada ancaman dan pergolakan dalam sesuatu masyarakat majmuk seperti kita di Malaysia. Ia bukanlah satu permainan politik yang disengajakan, ini merupakan realiti dunia kehidupan kita.

1Malaysia? Saya tidak perlu mengulas panjang. Selagi apa yang telah diperkatakan di atas tidak tercapai, konsep yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak sukar untuk dilaksanakan. Apabila sukar dilaksanakan, keberkesanannya juga lambat untuk kita nikmati. Satu dasar yang mulia, yang bertujuan untuk memakmurkan rakyat seharusnya difahami dan dihargai. Bukannya dimanipulasi dan diputerbelit sehingga menimbulkan tanda tanya, persoalan dan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Sistem politik di Malaysia masih lagi mengamalkan toleransi dan demokrasi. Demokrasi yang dimaksudkan bukanlah demokrasi tulen atau demokrasi yang sebenar-benarnya. Tidak wujud demokrasi sebegitu. Ada demokrasi yang lebih cenderung kepada liberal dan ada demokrasi yang cenderung kepada autokrasi. Di Malaysia? Bandingkanlah demokrasi kita dengan demokrasi negara lain seperti Amerika Syarikat yang lebih liberal dan Singapura yang sedikit autokratik . Perpaduan sewajarnya dicapai melalui medium demokrasi sederhana yang kita amalkan. Kita lebih banyak berpolitik daripada memikirkan masa depan. Harus kita ingat, politik sememangnya MEMPENGARUHI masa depan tapi tidak MENJAMIN masa depan yang lebih sejahtera.

Mungkin saya kelihatan berpolitik di ruangan ini. Tetapi isu ini memerlukan perbincangan demi survival orang Melayu. Itu secara logiknya. Menurut Aristotle manusia semulajadinya ialah ‘haiwan’ politik. Kita tidak akan terlepas daripada memperkatakan politik dalam kehidupan. Maka, fikir, tafsir dan pandang dari sudut ilmiah.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

2 comments:

FikRaH FiKIRaN said...

tahniah..tulisan yang matang...marilah kita sama2 mencari titik temu isu perpaduan nasional..teruskan sahabat!!!!

Aziz A'zmi said...

trima kasih fikrah fikiran...
harap terus mengikuti blog sy...
sebarang komen dialu2 kan...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lain-lain Cerita di OH BELOG!