Korea Utara sejak penubuhannya hingga sekarang mengamalkan corak pemerintahan autoritarian ataupun diktator. Presiden Korea Utara merupakan satu jawatan yang dipegang turun temurun dan seumur hidup oleh keluarga Kim. Bermula dengan pengasas Korea Utara, Kim il-Sung, Kim Jong-il dan kini jawatan tersebut diwarisi anak Jong-il, Kim Jong-un yang baru berusia 27 tahun.
Ini bermakna, setakat 2011, Korea Utara baru diperintah oleh tiga orang Presiden sedangkan negara-negara lain yang mengamalkan sistem demokrasi ciptaan Barat telah ditadbir dan diurus oleh ramai pemimpin dan ia sentiasa bertukar ganti apabila berlaku pilihan raya.
Kuasa keluarga Kim dalam pemerintahan Korea Utara memang hebat sehinggakan setiap generasi daripada keturunannya telah disiap, dibentuk dan dilatih untuk menerajui negara tersebut. Buktinya, Kim Jong-un baru berusia 27 tahun, tetapi dia telah dinamakan dan telah dilatih dari awal untuk menjadi pengganti bapanya. Lebih menarik, kesetiaan rakyat dan pasukan tenteranya sangat padu walaupun dia masih muda.