
Di luar jangkaan. Itu saja yang aku katakan apabila melihat tajuk berita "Anwar dibebaskan" melalui laporan langsung laman Facebook Sinar Harian. Mungkin disebabkan keputusan itu bertentangan dengan jangkaan aku maka aku terdiam dan berfikir lagi. Melihat status dan komen rakan-rakan pro dan anti Anwar Ibrahim di Facebook, sedikit sebanyak memberi sedikit ilham pada aku untuk membuat penilaian yang bernada optimis dan pesimis.
Optimis kerana aku melihat dalam isu menangani perhimpunan 901, PDRM mengambil langkah berlembut atau menongkah arus berbanding sikap tegas seperti sebelum ini yang mengisytiharkan sebarang perhimpunan pro pembangkang adalah perhimpunan haram. Sebaliknya perhimpunan 901 dibenarkan dengan syarat-syarat yang perlu dipatuhi berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2011 yang baru diluluskan Parlimen.