Banyak blog dan portal berita sudah mula melancarkan perang saraf berikutan pilihan raya kecil DUN Tenang sudah semakin hampir. Nampaknya pelbagai berita negatif sudah mula tersebar, cerita-cerita buruk dan serangan peribadi terhadap calon kedua-dua parti bertanding tersebar luas.
Mahu percaya atau tidak, itu persoalan kedua kerana masyarakat kita sangat berpegang kuat kepada kesetiaan terhadap parti politik yang menjadi pilihan. Maka soal calon itu mungkin menjadi pilihan kedua untuk dipertimbangkan.
Semalam ketika melayari laman sosial Facebook, saya terbaca status milik seorang kenalan yang mengatakan bahawa alangkah baiknya jika ADUN atau Ahli Parlimen kawasannya meninggal dunia kerana kawasannya itu akan berhadapan dengan PRK. Maka PRK akan mengubah suasana kawasan itu menjadi medan curahan janji dan habuan kepada penduduk setempat. Pemimpin negara juga akan bertandang ke sana dan masa itulah akan digunakan sebaiknya untuk mendekati dan mengambil berat akan permasalahan rakyat.
Saya dengan segera memberi komen ringkas, "Setuju!!".
Ya, memang benar apabila PRK bakal diadakan ia akan memberikan sedikit habuan kepada penduduk kawasan berkenaan. Tidak kiralah projek jangka masa panjang, sumbangan ihsan atau program bantuan kerajaan terhadap pelajar-pelajar sekolah dan sebagainya.
Ini yang berlaku apabila PRK bakal diadakan kerana ia merupakan satu cara memikat hati pengundi. Ini bukan lagi taktik, tapi sudah menjadi kebiasaan atau trend. Lihat sahaja berita di televisyen, banyak program diadakan di kawasan tersebut bagi menarik perhatian pengundi. Sebagai rakyat, kita mengambil sikap "kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan". Inilah rezeki ataupun dalam istilah politiknya habuan untuk pengundi.
Boleh dikatakan habuan itu sebagai perangsang kepada pengundi untuk memilih dan mengundi calon dari parti tertentu. "Kami beri kamu bantuan, kamu beri kami UNDI". Adil? Soal timbal balas itu penting. "Wa tolong lu, lu tolong wa".
Persoalannya, adakah ada di antara kita yang mendoakan supaya ADUN dan Ahli Parlimen di kawasan masing-masing supaya cepat meninggal dunia? Tak mungkin lah....
0 comments:
Post a Comment