Akhbar Tempatan

Madah Negarawan

Madah Negarawan

Popular Posts

Menilai Tahap Keintelektualan Mahasiswa


Sesi kemasukan mahasiswa baru bagi sidang akademik 2010/2011 semakin hampir dan pastinya hanya mereka yang mempunyai kelayakan akademik seperti yang ditetapkan oleh pihak universiti layak mendapat tempat yang terhad di IPTA seluruh negara.
.
Persoalan yang sering ditimbulkan ialah adakah calon-calon yang bakal bergelar mahasiswa ini benar-benar mempunyai keintelektualan yang sepatutnya untuk menggalas tanggungjawab sebagai mahasiswa? Keintelektualan yang bagaimana? Jika keintelektualan itu ditafsirkan dari sudut pencapaian akademik semata-mata, sudah pasti ia belum mencukupi dan tidak menunjukkan tahap intelek yang sebenar. Oleh sebab itu syarat kemasukan universiti pada masa kini diperketat dengan lebih mengutamakan pelajar-pelajar yang bergiat aktif dalam aktiviti luar kelas di samping menitikberatkan pencapaian akademik.
.
Namun, apabila telah menjejakkan kaki ke menara gading, sebahagian daripada mahasiswa yang dikatakan pelajar aktif di sekolah didapati kurang melibatkan diri dalam program dan aktiviti di universiti. Malah ada juga segelintir mahasiswa langsung tidak bergiat aktif dalam sebarang acara. Lebih malang lagi masih ada golongan mahasiswa yang lemah pengetahuan amnya dan tidak mengambil pusing mengenai isu-isu semasa dalam dan luar negara. Hasilnya, mereka gagal menyampaikan pendapat dengan baik apabila diajukan pertanyaan, apatah lagi jika diajak berdebat yang memerlukan pengetahuan am yang luas dan kebijaksanaan berbicara. Bayangkan masih ada yang bertanyakan mengenai tragedi 13 Mei 1969, malah ada mahasiswa tidak mengenali menteri kabinet yang memegang portfolio utama. Perkara sebegini wujud dan saya lihat sendiri sepanjang berada di kampus.
.
Baru-baru ini seorang rakan saya mengeluh setelah menonton rancangan Bicara Siswa TV1. Beliau mempersoalkan mengapa panelis rancangan tersebut yang juga merupakan pemimpin mahasiswa universiti tidak dapat menjawab soalan berkenaan isu-isu siswa dan kampus yang dikaitkan dengan situasi semasa negara dengan baik. Mereka seolah-olah menjawab soalan secara ‘schematic’ atau menggunakan ayat buku, bermakna apa yang mereka lontarkan umpama skrip. Kegagalan menyampaikan pendapat daripada pemikiran dan ideologi sendiri adalah satu perkara yang dianggapnya sebagai minda yang tidak berkembang dan tahap keintelektualan berada pada tahap yang rendah.
.
Jadi, kita dapat ihat bagaimana para pemimpin pelajar tidak memberi respon yang diharapkan. Dengan kata lain mereka gagal memberikan impak yang berkesan serta kurang memberi input kepada para penonton yang juga merupakan para mahasiswa yang mahukan satu jawapan konkrit dan rasional. Ini merupakan kelemahan yang perlu diatasi segera. Isu yang sering dimainkan di kampus-kampus pada masa kini ialah mengenai mahasiswa itu sendiri yang dikatakan semakin lesu. Ya, memang benar. Memang itu yang terjadi pada hari ini apabila kita melihat daripada keterampilan, gaya percakapan, idea yang dilontarkan dan pemikiran mahasiswa yang masih berada dalam ruang lingkup yang terhad. Mungkin juga berpunca daripada kurangnya pengalaman dan penglibatan dalam aktiviti kesukarelaan, tabiat membaca yang terbatas dan kurang mengambil tahu isu-isu semasa. Inilah perkara yang menjadi penghalang kepada mereka untuk berinteraksi, berkomunikasi dan memberi pandangan dengan huraian menarik, matang dan berkredibiliti.
.
Sebenarnya, keintelektualan boleh dibina dan dijana dengan sikap mahasiswa itu sendiri. Nyata apabila mahasiswa tidak mengambil peduli mengenai apa yang berlaku di dalam negara seperti peralihan kepimpinan negara, rombakan kabinet, pindaan akta, situasi politik semasa, persidangan parlimen dan sebagainya ia merupakan kelemahan yang harus ditangani segera.
.
Pihak universiti diyakini banyak menganjurkan program-program bertaraf kebangsaan dan ini merupakan ruang dan peluang yang harus diisi oleh mahasiswa untuk bergiat aktif sama ada sebagai sukarelawan, urusetia mahupun peserta. Di Universiti Sains Malaysia sendiri banyak menganjurkan seminar dan program-program di luar kuliah setiap tahun seperti National Innovation and Research Competition (NIRC), Kursus kejurulatihan Pimpin Siswa, Ekspo Konvokesyen (ConvEx), Kursus Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) dan banyak lagi program berbentuk seminar, persidangan, forum termasuklah yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan persatuan-persatuan pelajar. Secara tidak langsung pengalaman tersebut membolehkan mereka mendalami dan memahami apakah input yang diperoleh hasil daripada penganjuran program berkenaan.
.
Keterlibatan mahasiswa dalam merancang, merangka dan menggerakkan program-program di universiti juga mampu mengembangkan bakat dan pengetahuan dalam prosedur menjalankan program, pengurusan majlis, protokol, interaksi dan menilai keberkesanan program. Penglibatan sekadar sebagai peserta masih belum mencukupi. Ini juga merupakan salah satu perkara yang seharusnya membantu mahasiswa meningkatkan keintelektualan dan imej sebagai mahasiswa yang berwawasan. Tahap keintelektualan juga kedangkala diukur berdasarkan kemampuan berpidato, berhujah, berlakon dan pelbagai lagi kemahiran insaniah yang mungkin tidak dimiliki oleh setiap orang. Namun, ia boleh diasah sekurang-kurangnya dengan meningkatkan daya pemikiran dan pengetahuan am melalui bahan-bahan bacaan ataupun dengan cara mengikuti rancangan berbentuk forum atau bual bicara seperti Hujah TV9, Soal Jawab TV3 dan rancangan lain yang berinformasi. Hakikatnya banyak cara yang boleh kita lakukan selain daripada apa yang dinyatakan di atas bagi meningkatkan keintelektualan mahasiswa.
.
Jangan kita lupa, Sudut Pidato yang diwujudkan semula di IPTA baru-baru ini dikatakan tidak mendapat sambutan. Mengapa? Salah satu faktor yang dinyatakan adalah kerana kurangnya sikap berhujah dalam kalangan mahasiswa. Jika suatu ketika dahulu mahasiswa lantang bersuara dan sibuk berpidato memperjuangkan isu-isu kebajikan mahasiswa, namun bahang suasana itu tidak lagi bertapak di IPTA hari ini. Selepas ini akan tertubuh pula Parlimen Mahasiwa di USM yang diharapkan akan menampilkan wajah-wajah wakil mahasiswa yang akan berhujah sepertimana yang berlaku di Dewan Rakyat. Medium dan platform sudah tersedia. Namun adakah mahasiswa bersedia untuk menyahut cabaran ini? Sekarang, marilah sama-sama kita menilai di manakah sebenarnya tahap keintelektualan mahasiswa hari ini dalam memastikan keintelektualan merupakan kesinambungan daripada budaya kecemerlangan yang diamalkan universiti tempatan.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Siapa Helen Thomas, Haneen Zoubi ?

Ada perkara yang menarik perhatian saya untuk mengetahui siapakah Helen Thomas selepas Buletin Utama TV3 menyiarkan mengenainya semalam. Selepas itu saya teringat pula kisah kekecohan yang berlaku di Knesset Israel (Parlimen Israel) apabila seorang ahli parlimennya, Haneen Zoubi mempertikaikan dan mengutuk apa yang telah dilakukan Komando Israel terhadap kapal Mavi Marmara.
.
Kedua-duanya merupakan wanita dan mempunyai pendirian yang sama terhadap isu kekejaman Israel. Mengapa saya menamakan dua wanita ini di sini? Rasanya kita perlu tahu bahawa masih ada saki baki golongan anti-Zionis yang berani bersuara menentang Israel. Namun, mereka hanyalah insan kerdil dan hak untuk bersuara menyatakan kebenaran telah disekat.

Helen Thomas merupakan seorang wartawan yang berumur 89 tahun, berketurunan Lebanon dan telah bertugas sebagai wartawan politik di White House sejak zaman John F. Kennedy hinggalah zaman Barack Obama. Cukup lama beliau bertugas sebagai wartawan. Beliau juga cukup dikenali kerana sering mengajukan soalan-soalan tajam kepada Presiden dalam sidang media di White House. Tetapi baru-baru ini beliau dikatakan telah meletakkan jawatan kerana mengeluarkan kenyataan yang pedas terhadap Israel yang berbunyi "Israel patut berambus dari Palestin".
.
Tak pasti pula sama ada adakah benar beliau meletakkan jawatan, atau mungkin dicadangkan meletakkan jawatan, atau dipecat?? Hanya kerana statement tersebut....
.
Haneen Zoubi pula ialah Ahli Parlimen Israel berketurunan Arab. Dalam sidang Parlimen Israel yang lalu beliau telah tampil ke hadapan dan mengecam tindakan ganas Israel terhadap sukarelawan Mavi Marmara. Lalu tindakannya itu dibantah oleh ahli-ahli parlimen yang lain yang pastinya berketurunan Yahudi dan menyokong dasar keganasan kerajaan Israel. Pertikaman lidah, cercaan dan segala kata-kata kesat dilemparkan kepada Haneen Zoubi di dalam Parlimen. Yang melucukan tak pasal-pasal beliau dilabel sebagai "pengganas" kerana menentang tindak-tanduk Israel terhadap sukarelawan tersebut. Tak masuk akal....
.
Tidak cukup dengan itu, satu petisyen telah diwujudkan dan usaha mengumpul tandatangan telah dijalankan bagi menyingkirkan beliau dari Parlimen Israel. Mengapa? Kerana Yahudi tidak mahu ada manusia yang membongkar dan menentang apa yang mereka lakukan lebih-lebih lagi apa yang telah dipersetujui di Parlimen.
.
Mereka hanyalah sebahagian daripada golongan yang berani bersuara menentang Israel dan lebih istimewa, mereka bertugas di tempat yang penting iaitu White House dan Parlimen Israel. Malangnya, kebenaran yang disuarakan ditutup oleh keegoan pihak yang lebih berkuasa. Mereka didiskriminasi dan disingkirkan.
.
Seperti yang saya katakan di permulaan tadi, masih ada golongan kecil yang anti-Zionis memperjuangkan hak Palestin di sana dan mereka lebih berisiko tinggi untuk dipinggirkan kerana hidup dalam persekitaran masyarakat yang menyokong Israel dan Amerika Syarikat.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Antara Hero Gaza dan Hero Nak Ke Gaza

Akhir-akhir ini media memberi fokus kepada isu rampasan dan serangan Israel ke atas kapal-kapal bantuan aktivis pro-Palestin ke Gaza. Dari akhbar-akhbar hinggalah media baru blog dan portal berita kesemuanya memberikan respon dan ulasan terhadap isu berkenaan.
.
Baru-baru ini saya terlihat satu tajuk di sebuah blog yang berbunyi "Ramai yang nak jadi hero Gaza sekarang ni kan?"...namun saya tiada kesempatan untuk membaca isinya. Baru-baru ini juga ketika menonton Buletin Utama TV3, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengumumkan beliau bersedia untuk menyertai dan menggerakkan misi bantuan ke Gaza sekiranya terdapat peruntukan dan sokongan ramai. Mungkin tajuk blog dan apa yang saya tonton di berita tersebut ada kaitannya. Paham-paham la sendiri...
.
Persoalan mengenai siapa hero ini kadang-kadang lucu bila difikirkan kerana sesetengah pihak kelihatan kurang senang dengan tindakan pihak lain yang tampil ke hadapan untuk mengutuk, menganjurkan protes, demonstrasi, bantahan dan sebagainya termasuklah yang mahu mengheret Israel ke Mahkamah Antarangsa. Mungkin itulah yang dirujuk sebagai hero.
.
Ketika media sedang sibuk memberi liputan meluas tentang kekejaman Israel, sudah pasti ianya menyentuh sensitiviti masyarakat Islam dan juga masyarakat dunia yang cintakan keamanan. Mungkin disebabkan suasana hangat yang dicetuskan oleh media menyebabkan banyak pihak tampil mengeluarkan kenyataan berbaur kritikan dan kebencian terhadap Israel. Manakala di pihak lain ada juga yang menawarkan diri untuk menyertai atau menggerakkan misi bantuan ke Gaza.
.
Berita terbaru terdapat usaha dari Free Gaza Ireland yang mahu menghantar tiga buah kapal bantuan ke Gaza dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Walaupun mereka bukan beragama Islam tetapi usaha yang hendak digerakkan itu adalah usaha yang murni bagi membantu rakyat Palestin yang tertindas.
.

Para sukarelawan Kapal Mavi Marmara pula masing-masing telah selamat tiba di negara masing-masing, kebanyakannya dari Turki termasuklah 12 orang dari Malaysia. Kepulangan mereka yang terselamat ini disambut dengan penuh kegembiraan, kesyukuran, doa dan kemeriahan. Malahan pengalaman ngeri mereka turut dikongsi bersama dengan semua pihak. Maka mereka dianggap Hero Gaza kerana misi mereka telah berjaya membuka mata dunia tentang kekejaman Zionis. Saya tidak menafikan atau memperlekehkan 'title' Hero Gaza terhadap mereka kerana mereka merupakan kumpulan pertama yang sanggup berlayar ke Gaza untuk membantu rakyat di sana. 'Title' Hero Gaza bukanlah gelaran yang mereka kejarkan jauh sekali terlintas di fikiran mereka untuk digelar sedemikian.
.
Itu kisah Hero Gaza....bagaimana pula Hero Nak ke Gaza?
.
Saya menimbulkan persoalan adakah bantuan-bantuan yang hendak disalurkan ke Gaza benar-benar sampai ke tangan rakyatnya? Jawapannya tidak! Kita tahu konvoi Mavi Marmara telah ditawan dan dibawa ke Pelabuhan Ashdod, Israel, begitu juga Rachel Corrie turut mengalami nasib yang sama. Ke manakah perginya segala barangan tersebut? Saya pun tidak tahu mengenainya.



Persoalan kedua pula, adakah berbaloi barang-barang yang dihantar ke sana dengan tujuan untuk meringankan beban rakyat Gaza tetapi akhirnya tiba di Israel? Bertan-tan bahan dan barang disumbangkan dan melibatkan nilai wang jutaan ringgit hendak disumbangkan kepada Gaza tetapi ia tersekat dan tak tahu ke mana destinasi akhirnya apabila kesemua kapal itu ditawan dan dibawa ke Israel. Dengan kata lain objektif sebenar misi tersebut adalah gagal.
.
Pihak yang berhajat untuk menggerakkan misi bantuan ke Gaza selepas ini mungkin dikatakan sebagai "Hero Nak Ke Gaza". Mereka juga mempunyai misi dan tujuan yang sama dengan misi-misi bantuan sebelum ini. Cuma kita tahu setiap kapal yang menuju ke Gaza akan dipintas dan ditawan Israel. Jadi perlukah misi seperti ini diteruskan?
.
Sebenarnya ini semua hanyalah persoalan-persoalan yang bermain di fikiran saya...bukanlah bermakna saya mencemuh usaha tersebut sebagai membazir atau membuang masa atau mengorbankan nyawa free atau sebagainya. Tidak sama sekali. Hakikatnya saya memandang misi bantuan seperti ini bergantung kepada niat dari hati yang ikhlas untuk membantu saudara Islam di sana. Tidak kiralah siapapun yang menggerakkannya, pihak mana sekalipun yang mahu memberikan bantuan amat dialu-alukan. Tidak kiralah dari NGO, parti politik atau institusi pendidikan dan sebagainya, niat yang betul amat penting bagi menggalas misi sebesar ini.
.
Persoalan Hero tidak penting dan ia sepatutnya tidak ditimbulkan kerana semua pihak berpeluang dan mampu untuk tampil ke hadapan menyatakan rasa marah, benci, mengkritik, mencemuh, mengutuk dengan cara apa sekalipun dengan segala tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan Israel. Tindakan tersebut adalah wajar dan berasas. Tidak perlulah kita melabel "dia pun nak jadi Hero" kerana saya percaya usaha sebegini dijalankan atas dasar kemanusiaan dan niat murni untuk membantu rakyat Palestin.
.
Andaikata ada niat lain, tujuan dan matlamat terselindung di sebalik misi bantuan ke Gaza selepas ini, kita tidak layak menilainya dan ia di luar pengetahuan kita melainkan Allah s.w.t.
.
Berkenaan dengan gagal mencapai objektif sebenar misi tersebut, saya setuju ia tidak mencapai objektif yang diharapkan tetapi kita perlu sedar bahawa secara tidak langsung tragedi Mavi Marmara telah memperlihatkan suara masyarakat di seluruh pelosok dunia bergema melaungkan slogan anti-Israel dan kesedaran terhadap kekejaman Israel semakin meluas.
.
Jadi, walaupun bahan bantuan tidak sampai kepada mereka yang berhak, namun ia tidak menjadi masalah kerana sekurang-kurangnya kemenangan moral telah dicapai dan misi tersebut telah membuktikan bahawa Israel telah melakukan pelbagai salah laku dan tidak mematuhi peraturan antarangsa di samping tekanan terhadapnya semakin memuncak daripada masyarakat antarabangsa.
.
Teruskan usaha untuk membongkar lebih banyak lagi kelakuan sundal Israel dan menyerlahkan lagi kerakusan mereka mengingkari perundangan antarabangsa. Mereka yang terkorban kerana mengikuti misi ini bukanlah mati sia-sia tetapi mereka gugur syahid kerana mahu membantu saudara Islam yang tertindas....yang terselamat saya yakin mereka akan semakin berkobar-kobar untuk meneruskan pelbagai lagi rancangan membantu rakyat Gaza pada masa depan...
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Pengganas Hipokrit

Sejak peristiwa serangan ke atas bangunan World Trade Center (WTC) perkataan terrorist/terrorism atau pengganas sangat popular dan sudah menjadi sebahagian daripada isu global yang harus ditangani khususnya oleh kuasa besar dunia.
.
Malangnya keganasan dan pengganas telah disinonimkan dengan umat Islam sehingga wujudnya satu lagi fobia dalam kalangan manusia iaitu Islamophobia. Sememangnya agenda dan perencanaan kaum Yahudi sangat licik dan tersusun dalam usaha menjatuhkan umat Islam dan meneruskan lagi survival mereka dengan sokongan padu Amerika Syarikat.
.

Mereka telah berjaya melabelkan umat Islam sebagai pengganas, mereka telah berjaya meruntuhkan beberapa kerajaan Islam, mereka telah berjaya mengaut hasil kekayaan negara-negara Islam, mereka telah berjaya memperkayakan diri mereka dengan pelbagai senjata berbahaya, mereka sudah lama menguasai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), mereka sudah lama memiliki pengaruh dan kuasa yang hebat dan mereka juga telah membuatkan semua pihak mengikut telunjuk mereka. Itu yang mereka mahukan sebenarnya hasil daripada permainan politik dan helah terancang sejak sekian lama.
.
Tetapi kita harus sedar bahawa perkembangan yang terjadi dalam dunia global hari ini merupakan antara perancangan golongan tersebut. Islam hanya dijadikan mangsa dan umatnya pula teraniaya hingga hari ini.
.
Kita selalu dengar ungkapan "orang gila tak mengaku dirinya gila"....begitu juga "pengganas tidak mengaku dirinya pengganas". Tetapi pengganas sebenar telah menghalakan label tersebut kepada umat Islam. Pada sudut pandang kita sebagai umat Islam, kita menafikan tuduhan tersebut.
.
Mengapa begitu sukar untuk masyarakat dunia sedar siapakah pengganas yang sebenar? Hakikatnya kita tahu US dan Israel merupakan kuasa yang memonopoli rancangan keganasan sebenar. Daripada peristiwa WTC, serangan ke atas Afghanistan, peperangan Iraq, ancaman terhadap Iran, hinggalah kepada diskriminasi terhadap penduduk Palestin. Siapa punya angkara?
.
Mereka menghalalkan keganasan, penindasan, peperangan dan segala perbuatan mereka dengan berselindung di sebalik kempen menghapuskan keganasan, senjata pemusnah di samping menggunakan kuasa veto dalam PBB untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang antarabangsa. Malahan propaganda mereka berjaya meraih sokongan masyarakat dunia dan para sekutu bagi meneruskan agenda mereka.
.
Taktik yang sangat berkesan bukan? Inilah yang dikatakan KUASA.
.
Kita tahu menilai siapakah sebenarnya pengganas. Peristiwa serangan Komando Israel ke atas kapal Mavi Marmara yang membawa pelbagai bahan bantuan kepada penduduk Palestin ada hikmahnya. Dunia perlu sedar siapakah pengganas yang sebenar. Sudah lama mereka berkecimpung dalam dunia keganasan tetapi tidak pula dikecam kerana melakukan keganasan. Malahan mereka menuduh kepada umat Islam pula.
.
Pengganas hipokrit takkan berhenti daripada cuba menakluk dunia dengan cara yang halus. Mereka lakukan apa sahaja tanpa dikenakan sekatan mahupun tindakan. Sekurang-kurangnya misi bantuan ke Gaza tempoh hari walaupun tidak mencapai objektif sebenar, namun mereka berjaya mencapai objektif lain yang dilihat menggugat kekebalan Israel sebagai Pengganas Hipokrit Dunia.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lain-lain Cerita di OH BELOG!