Akhbar Tempatan

Madah Negarawan

Madah Negarawan

Popular Posts

Antara Hero Gaza dan Hero Nak Ke Gaza

Akhir-akhir ini media memberi fokus kepada isu rampasan dan serangan Israel ke atas kapal-kapal bantuan aktivis pro-Palestin ke Gaza. Dari akhbar-akhbar hinggalah media baru blog dan portal berita kesemuanya memberikan respon dan ulasan terhadap isu berkenaan.
.
Baru-baru ini saya terlihat satu tajuk di sebuah blog yang berbunyi "Ramai yang nak jadi hero Gaza sekarang ni kan?"...namun saya tiada kesempatan untuk membaca isinya. Baru-baru ini juga ketika menonton Buletin Utama TV3, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengumumkan beliau bersedia untuk menyertai dan menggerakkan misi bantuan ke Gaza sekiranya terdapat peruntukan dan sokongan ramai. Mungkin tajuk blog dan apa yang saya tonton di berita tersebut ada kaitannya. Paham-paham la sendiri...
.
Persoalan mengenai siapa hero ini kadang-kadang lucu bila difikirkan kerana sesetengah pihak kelihatan kurang senang dengan tindakan pihak lain yang tampil ke hadapan untuk mengutuk, menganjurkan protes, demonstrasi, bantahan dan sebagainya termasuklah yang mahu mengheret Israel ke Mahkamah Antarangsa. Mungkin itulah yang dirujuk sebagai hero.
.
Ketika media sedang sibuk memberi liputan meluas tentang kekejaman Israel, sudah pasti ianya menyentuh sensitiviti masyarakat Islam dan juga masyarakat dunia yang cintakan keamanan. Mungkin disebabkan suasana hangat yang dicetuskan oleh media menyebabkan banyak pihak tampil mengeluarkan kenyataan berbaur kritikan dan kebencian terhadap Israel. Manakala di pihak lain ada juga yang menawarkan diri untuk menyertai atau menggerakkan misi bantuan ke Gaza.
.
Berita terbaru terdapat usaha dari Free Gaza Ireland yang mahu menghantar tiga buah kapal bantuan ke Gaza dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Walaupun mereka bukan beragama Islam tetapi usaha yang hendak digerakkan itu adalah usaha yang murni bagi membantu rakyat Palestin yang tertindas.
.

Para sukarelawan Kapal Mavi Marmara pula masing-masing telah selamat tiba di negara masing-masing, kebanyakannya dari Turki termasuklah 12 orang dari Malaysia. Kepulangan mereka yang terselamat ini disambut dengan penuh kegembiraan, kesyukuran, doa dan kemeriahan. Malahan pengalaman ngeri mereka turut dikongsi bersama dengan semua pihak. Maka mereka dianggap Hero Gaza kerana misi mereka telah berjaya membuka mata dunia tentang kekejaman Zionis. Saya tidak menafikan atau memperlekehkan 'title' Hero Gaza terhadap mereka kerana mereka merupakan kumpulan pertama yang sanggup berlayar ke Gaza untuk membantu rakyat di sana. 'Title' Hero Gaza bukanlah gelaran yang mereka kejarkan jauh sekali terlintas di fikiran mereka untuk digelar sedemikian.
.
Itu kisah Hero Gaza....bagaimana pula Hero Nak ke Gaza?
.
Saya menimbulkan persoalan adakah bantuan-bantuan yang hendak disalurkan ke Gaza benar-benar sampai ke tangan rakyatnya? Jawapannya tidak! Kita tahu konvoi Mavi Marmara telah ditawan dan dibawa ke Pelabuhan Ashdod, Israel, begitu juga Rachel Corrie turut mengalami nasib yang sama. Ke manakah perginya segala barangan tersebut? Saya pun tidak tahu mengenainya.



Persoalan kedua pula, adakah berbaloi barang-barang yang dihantar ke sana dengan tujuan untuk meringankan beban rakyat Gaza tetapi akhirnya tiba di Israel? Bertan-tan bahan dan barang disumbangkan dan melibatkan nilai wang jutaan ringgit hendak disumbangkan kepada Gaza tetapi ia tersekat dan tak tahu ke mana destinasi akhirnya apabila kesemua kapal itu ditawan dan dibawa ke Israel. Dengan kata lain objektif sebenar misi tersebut adalah gagal.
.
Pihak yang berhajat untuk menggerakkan misi bantuan ke Gaza selepas ini mungkin dikatakan sebagai "Hero Nak Ke Gaza". Mereka juga mempunyai misi dan tujuan yang sama dengan misi-misi bantuan sebelum ini. Cuma kita tahu setiap kapal yang menuju ke Gaza akan dipintas dan ditawan Israel. Jadi perlukah misi seperti ini diteruskan?
.
Sebenarnya ini semua hanyalah persoalan-persoalan yang bermain di fikiran saya...bukanlah bermakna saya mencemuh usaha tersebut sebagai membazir atau membuang masa atau mengorbankan nyawa free atau sebagainya. Tidak sama sekali. Hakikatnya saya memandang misi bantuan seperti ini bergantung kepada niat dari hati yang ikhlas untuk membantu saudara Islam di sana. Tidak kiralah siapapun yang menggerakkannya, pihak mana sekalipun yang mahu memberikan bantuan amat dialu-alukan. Tidak kiralah dari NGO, parti politik atau institusi pendidikan dan sebagainya, niat yang betul amat penting bagi menggalas misi sebesar ini.
.
Persoalan Hero tidak penting dan ia sepatutnya tidak ditimbulkan kerana semua pihak berpeluang dan mampu untuk tampil ke hadapan menyatakan rasa marah, benci, mengkritik, mencemuh, mengutuk dengan cara apa sekalipun dengan segala tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan Israel. Tindakan tersebut adalah wajar dan berasas. Tidak perlulah kita melabel "dia pun nak jadi Hero" kerana saya percaya usaha sebegini dijalankan atas dasar kemanusiaan dan niat murni untuk membantu rakyat Palestin.
.
Andaikata ada niat lain, tujuan dan matlamat terselindung di sebalik misi bantuan ke Gaza selepas ini, kita tidak layak menilainya dan ia di luar pengetahuan kita melainkan Allah s.w.t.
.
Berkenaan dengan gagal mencapai objektif sebenar misi tersebut, saya setuju ia tidak mencapai objektif yang diharapkan tetapi kita perlu sedar bahawa secara tidak langsung tragedi Mavi Marmara telah memperlihatkan suara masyarakat di seluruh pelosok dunia bergema melaungkan slogan anti-Israel dan kesedaran terhadap kekejaman Israel semakin meluas.
.
Jadi, walaupun bahan bantuan tidak sampai kepada mereka yang berhak, namun ia tidak menjadi masalah kerana sekurang-kurangnya kemenangan moral telah dicapai dan misi tersebut telah membuktikan bahawa Israel telah melakukan pelbagai salah laku dan tidak mematuhi peraturan antarangsa di samping tekanan terhadapnya semakin memuncak daripada masyarakat antarabangsa.
.
Teruskan usaha untuk membongkar lebih banyak lagi kelakuan sundal Israel dan menyerlahkan lagi kerakusan mereka mengingkari perundangan antarabangsa. Mereka yang terkorban kerana mengikuti misi ini bukanlah mati sia-sia tetapi mereka gugur syahid kerana mahu membantu saudara Islam yang tertindas....yang terselamat saya yakin mereka akan semakin berkobar-kobar untuk meneruskan pelbagai lagi rancangan membantu rakyat Gaza pada masa depan...
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Pengganas Hipokrit

Sejak peristiwa serangan ke atas bangunan World Trade Center (WTC) perkataan terrorist/terrorism atau pengganas sangat popular dan sudah menjadi sebahagian daripada isu global yang harus ditangani khususnya oleh kuasa besar dunia.
.
Malangnya keganasan dan pengganas telah disinonimkan dengan umat Islam sehingga wujudnya satu lagi fobia dalam kalangan manusia iaitu Islamophobia. Sememangnya agenda dan perencanaan kaum Yahudi sangat licik dan tersusun dalam usaha menjatuhkan umat Islam dan meneruskan lagi survival mereka dengan sokongan padu Amerika Syarikat.
.

Mereka telah berjaya melabelkan umat Islam sebagai pengganas, mereka telah berjaya meruntuhkan beberapa kerajaan Islam, mereka telah berjaya mengaut hasil kekayaan negara-negara Islam, mereka telah berjaya memperkayakan diri mereka dengan pelbagai senjata berbahaya, mereka sudah lama menguasai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), mereka sudah lama memiliki pengaruh dan kuasa yang hebat dan mereka juga telah membuatkan semua pihak mengikut telunjuk mereka. Itu yang mereka mahukan sebenarnya hasil daripada permainan politik dan helah terancang sejak sekian lama.
.
Tetapi kita harus sedar bahawa perkembangan yang terjadi dalam dunia global hari ini merupakan antara perancangan golongan tersebut. Islam hanya dijadikan mangsa dan umatnya pula teraniaya hingga hari ini.
.
Kita selalu dengar ungkapan "orang gila tak mengaku dirinya gila"....begitu juga "pengganas tidak mengaku dirinya pengganas". Tetapi pengganas sebenar telah menghalakan label tersebut kepada umat Islam. Pada sudut pandang kita sebagai umat Islam, kita menafikan tuduhan tersebut.
.
Mengapa begitu sukar untuk masyarakat dunia sedar siapakah pengganas yang sebenar? Hakikatnya kita tahu US dan Israel merupakan kuasa yang memonopoli rancangan keganasan sebenar. Daripada peristiwa WTC, serangan ke atas Afghanistan, peperangan Iraq, ancaman terhadap Iran, hinggalah kepada diskriminasi terhadap penduduk Palestin. Siapa punya angkara?
.
Mereka menghalalkan keganasan, penindasan, peperangan dan segala perbuatan mereka dengan berselindung di sebalik kempen menghapuskan keganasan, senjata pemusnah di samping menggunakan kuasa veto dalam PBB untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang antarabangsa. Malahan propaganda mereka berjaya meraih sokongan masyarakat dunia dan para sekutu bagi meneruskan agenda mereka.
.
Taktik yang sangat berkesan bukan? Inilah yang dikatakan KUASA.
.
Kita tahu menilai siapakah sebenarnya pengganas. Peristiwa serangan Komando Israel ke atas kapal Mavi Marmara yang membawa pelbagai bahan bantuan kepada penduduk Palestin ada hikmahnya. Dunia perlu sedar siapakah pengganas yang sebenar. Sudah lama mereka berkecimpung dalam dunia keganasan tetapi tidak pula dikecam kerana melakukan keganasan. Malahan mereka menuduh kepada umat Islam pula.
.
Pengganas hipokrit takkan berhenti daripada cuba menakluk dunia dengan cara yang halus. Mereka lakukan apa sahaja tanpa dikenakan sekatan mahupun tindakan. Sekurang-kurangnya misi bantuan ke Gaza tempoh hari walaupun tidak mencapai objektif sebenar, namun mereka berjaya mencapai objektif lain yang dilihat menggugat kekebalan Israel sebagai Pengganas Hipokrit Dunia.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Rachel Corrie ditawan Israel

Kisah kapal bantuan Mavi Marmara yang digempur Komando Israel sudah diketahui seluruh dunia. Tidak perlu diulas panjang di sini. Pelbagai laporan dan berita telah disiarkan dan kita pastinya berasa lebih benci kepada bangsa laknat tersebut.
.
Terbaru, kapal bantuan Rachel Corrie yang dalam perjalanan ke Gaza turut telah ditawan ketika post ini sedang disiapkan. Namun tidak diketahui apakah situasi sebenar yang berlaku di atas kapal tersebut dan bagaimana keadaan para sukarelawan di sana.
.
Pastinya kita mengharapkan tiada perkara buruk berlaku dan tragedi yang berlaku kepada para sukarelawan kapal Mavi Marmara tidak berulang.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Alahai Malaysia dan Indonesia

Apa agaknya yang tidak kena dengan hubungan Malaysia dan Indonesia? Sedangkan kita merupakan negara yang dikatakan seperti adik-beradik kerana berasal dari rumpun yang sama dan banyak nilai yang dikongsi bersama.


Saya tidak melihat wujudnya masalah antara pemimpin dan kerajaan kedua-dua negara tetapi terdapat krisis dan provokasi daripada rakyat Indonesia yang kelihatan sangat membenci Malaysia dan rakyatnya.
.


Isu yang berbangkit kebanyakannya berpunca daripada penciplakan nilai budaya dan tradisi masyarakat Indonesia oleh Malaysia. Selain itu terdapat juga pertindihan dan perbezaan pendapat mengenai persempadanan negara dan perebutan pulau serta beberapa kes kecil yang menjadi besar akibat peranan media.
.
Hakikatnya sentimen bencikan Malaysia wujud apabila berlakunya peristiwa 'Buluh Runcing' dan baru-baru ini lagu "Negaraku" yang sedang berkumandang dipersenda dan ditenggelamkan dengan nyanyian "Indonesia Raya" oleh peminat fanatik futsal Indonesia.


Cuba kita rujuk kembali beberapa isu yang menjadi punca kepada kontroversi Malaysia-Indonesia:


  1. Malaysia mengisytiharkan batik sebagai salah satu warisan tradisionalnya. Indonesia juga mengakui batik ialah warisan mereka dan Malaysia hanya meniru batik yang berasal dari Indonesia.
  2. Tarian pendet-pendet yang tertera dalam iklan mempromosikan Malaysia dibantah Indonesia kerana tarian tersebut merupakan tarian tradisional Indonesia, bukan Malaysia.
  3. Lagu "Rasa Sayang" yang dinyanyikan dalam iklan mempromosikan pelancongan di Malaysia juga didakwa berasal dari Indonesia.
  4. Lagu kebangsaan Malaysia "Negaraku" digubah daripada lagu "Terang Bulan" iaitu lagu negeri Perak. Namun "Terang Bulan" juga dikatakan sebuah lagu klasik yang berasal dari Indonesia yang mempunyai pelbagai versi.
  5. Kes tuntutan bertindih ke atas pulau Sipadan dan Ligitan telah dimenangi Malaysia. Indonesia masih menganggap pulau tersebut miliknya.
  6. Perebutan Wilayah Ambalat yang kaya dengan hasil minyak.
  7. Kes pembantu rumah Indonesia didera seperti Nirmala Bonat
  8. Kes pergolakan rumah tangga kerabat diraja Kelantan antara Tengku Temenggung Kelantan, Tengku Fakhri dan isterinya yang berasal dari Indonesia, Manohara Pinot.
Jika kita amati, kelihatan Malaysia yang bersalah kerana menjadi punca kepada konflik yang tercetus dan perasaan tidak puas hari rakyat Indonesia. Tetapi banyak faktor yang perlu diambil kira supaya tuduhan itu tidak dilakukan secara berat sebelah atau 'bias'.
Saya tidak perlu mengulas panjang isu-isu yang diketengahkan di atas kerana telah banyak diulas dalam media.
Sekadar mengingatkan kembali peristiwa lalu agar kita sentiasa beringat bahawa kehidupan dan setiap hubungan pasti ada pasang surutnya termasuklah hubungan diplomatik antara dua negara. Terpulang kepada kebijaksanaan kerajaan Malaysia dan Indonesia untuk menyelesaikannya dengan cara baik.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lain-lain Cerita di OH BELOG!