Akhbar Tempatan

Madah Negarawan

Madah Negarawan

Popular Posts

Ahli politik dan skandal seks...

Dalam ruangan "Cerita Kaki" sebuah akhbar hari ini memaparkan satu coretan ringkas bertajuk "Skandal Seks: Rakyat Mexico tidak kisah"

Tinjauan yang dijalankan oleh Reuters/Ipsos melibatkan 18,700 responden di lebih 20 buah negara mendapati 57% rakyat Mexico tidak kisah atau tidak peduli dengan aktiviti/skandal seks di kalangan ahli politik dan orang kenamaan.

Negara lain yang turut disebut ialah
- rakyat bolivia (55%)
- rakyat Amerika Syarikat (48%) 

dan yang paling sedikit, ialah negara Jepun (28%) 

Nampaknya rakyat di Mexico tidak kisah sekiranya wakil rakyat atau ahli parlimen kawasan mereka terlibat dengan skandal seks. Aku berpendapat mungkin mereka terlalu liberal dalam soal ini dan menganggap bahawa soal peribadi tidak perlu dicampur aduk dengan tugas serta tanggungjawab mereka sebagai ahli politik di negara berkenaan. 

Maka, dalam perkara ini keperibadian, sahsiah dan latar belakang seseorang itu tidak diambil kira untuk melayakkan mereka berkhidmat kepada rakyat. Jika rakyat tidak kisah dengan skandal seks ahli politik, maka ini sudah menjadi satu 'lampu hijau' kepada golongan politikus di Mexico untuk terlibat dengan skandal
seks dengan sesuka hati. Mereka juga tidak berhadapan dengan risiko hilang kepercayaan dan disingkirkan daripada arena politik atas desakan rakyat dan seteru politik sebagaimana di negara-negara timur seperti Jepun, Indonesia dan Malaysia.

Di Amerika Syarikat, walaupun kebanyakan rakyatnya bersikap terbuka dan berfahaman liberal tetapi skandal seks masih lagi menjadi satu faktor kukuh untuk menyingkirkan seseorang daripada arena politik, seterusnya memusnahkan karier mereka sebagai seorang pemimpin. 

Bill Clinton, bekas Presiden Amerika Syarikat meletak jawatan setelah rahsia skandal seknya dengan pembantu peribadinya, Monica Lewinsky terbongkar. Kes ini berlaku pada tahun 1997 dan mendapat liputan meluas media di seluruh dunia.

Turki, sebuah negara Islam sekular turut memandang serong perbuatan tidak bermoral ini, beberapa pemimpin kanan parti pembangkang meletakkan jawatan apabila rakaman video seks dan video yang memaparkan mereka dalam keadaan yang memalukan telah tersebar di internet. klik sini. Mereka juga menolak apabila dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya.

Di Indonesia, kali ini bukan berkenaan skandal seks, tetapi akibat menonton video lucah ketika sidang parlimen berlangsung, seorang ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia meletakkan jawatan  serta merta. Satu rakaman CCTV telah tersebar yang menunjukkan ahli parlimen itu sedang duduk di tempatnya sambil menonton video lucah di komputer tabletnya. Maka beliau meletakkan jawatan akibat berasa malu dengan perbuatannya sendiri. klik sini

Perdana Menteri Italy, Silvio Berluscony merupakan seorang ahli politik yang telah lama dikaitkan dengan skandal seks dan tabiatnya yang gemar berpesta dan melanggan pelacur. Hingga ke hari ini beliau masih bertahan kekal memegang jawatan PM Italy walaupun terpalit dengan pelbagai skandal seks termasuklah bersama remaja berusia 17 tahun. klik sini. Nampaknya rakyat Italy tak kisah PM mereka mempunyai tabiat sedemikian rupa.


Ok, jom bercerita skandal seks di Malaysia pula. 

Sekadar mengambil beberapa contoh skandal seks yang pernah berlaku dalam politik tanah air, kita perlu tahu bahawa adat ketimuran masih menebal di negara kita. Lebih-lebih lagi majoriti rakyat Malaysia berbangsa Melayu dan beragama Islam, perbuatan tidak bermoral amat dibenci dan tidak direstui apabila ia melibatkan pemimpin negara atau ahli-ahli politik. Peribadi, latar belakang, sahsiah dan karisma seseorang amat penting bagi mendapatkan kepercayaan rakyat dan meraih sokongan bagi melayakkan seseorang menjadi wakil rakyat. 

Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, bekas Ahli Parlimen Labis dan bekas Menteri Kesihatan pernah berhadapan dengan kemusnahan karier politiknya apabila rakaman CCTV yang memaparkan adegan seks tersebar ke seluruh negara. Ketika itu timbul spekulasi bahawa individu yang kelihatan dalam rakaman tersebut adalah dirinya. Kes ini memang menggemparkan negara dan telah mencalarkan imej kerajaan pada masa itu.

Amat mengejutkan apabila beliau mengaku bahawa imej dalam rakaman tersebut adalah dirinya dan beliau memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia. Serta merta beliau meletakkan semua jawatan yang dipegangnya dalam kerajaan dan parti.Tidak lama selepas itu, beberapa tahun kemudian, beliau kembali muncul dalam arena politik dan rakyat telah melupakan skandal seksnya yang lalu. Hari ini beliau merupakan Presiden MCA. 

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dahulu merupakan ahli politik sayap kerajaan. Kisah beliau dipecat dariapda jawatan Timbalan Perdana Menteri sudah diketahui umum. Beliau juga dikaitkan dengan kesalahan liwat selepas pemecatannya. Kini perbicaraan kes liwat keduanya sedang berlangsung. Beliau juga dikaitkan dengan video seks bersama pelacur China di sebuah hotel. 

Namun DSAI ini mungkin seperti PM Italy, kesnya amat lambat untuk diselesaikan dan beliau masih lagi memegang jawatan Ketua Pembangkang, ahli parlimen dan ketua umum partinya. Beliau tidak mengambil jalan seperti yang dilakukan oleh ahli parlimen Turki dan Indonesia. Aku tahu, penyokongnya sangat ramai dan juga fanatik. Hingga ke hari ini peribadinya dipertikaikan kerana terlalu banyak dikaitkan dengan skandal seks dan pelbagai lagi isu. 

Skandal seks yang melibatkan ahli politik memang takkan terlepas daripada perhatian media. Biasalah, cerita panas seperti ini pasti mendapat sambutan memandangkan rakyat Malaysia gemar kepada bahan-bahan berita bersifat gosip dan kontroversi. 

Pada asasnya, di Malaysia rakyatnya masih berpegang kepada  amalan dan adat ketimuran. Sebarang aktiviti dan skandal seks yang membabitkan ahli politik tidak akan diterima dan tiada kompromi terhadapnya. Imej seorang pemimpin perlu bersih daripada sebarang kontroversi supaya rakyat memberi sokongan dan kepercayaan untuk memimpin negara. 

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lain-lain Cerita di OH BELOG!