Akhbar Tempatan

Madah Negarawan

Madah Negarawan

Popular Posts

Action speaks louder than words

Orang putih kata, "action speaks louder than words" yang maksudnya lebih kurang begini, "kau jangan cakap banyak, buat je!".

Jelas?

Sengaja aku bagi bahasa pasar supaya mudah faham.

Sebenarnya apa yang aku nak sampaikan ialah di negara kita ini, ramai yang bersikap lebih banyak cakap daripada mengambil tindakan sewajarnya. Ataupun lebih banyak memberi amaran daripada mengambil tindakan undang-undang bagi kes-kes yang melibatkan kepentingan nasional dan isu kenegaraan.

Begitu juga dengan kehidupan seharian, ada segelintir dalam kalangan kita ini lebih suka bercakap besar,
mendabik dada dan hanya pandai berkata-kata tetapi pelaksanaan ataupun pelan tindakan tidak dilakukan. Kita lebih banyak bercakap, beretorik, bagi cadangan yang kelihatan mudah tetapi hakikatnya apa yang diperkatakan itu tidak dilaksanakan.

Sebab itu muncul pula satu lagi ungkapan "cakap tak serupa bikin".

Bermaksud, apa yang kita perkatakan tidak serupa dengan tindakan yang diambil. Mungkin dari segi perkataan, sesuatu idea yang dilontarkan itu kelihatan menarik dan bernas, tetapi apabila tindakan dilaksanakan, tidak seperti apa yang diharapkan.

Mungkin itulah juga penyebab wujudnya peribahasa "melepaskan batuk di tangga". Bermakna tindakan yang diambil secara sambil lewa atau acuh tidak acuh.

Sebenarnya daripada pemerhatian aku, berdasarkan isu-isu semasa di negara kita, ramai individu dan NGO yang 'rajin' bersuara dan memberi idea sebagai satu cara membantah sesuatu perkara yang melibatkan isu sensitif. Ia dilihat seolah-olah satu ugutan sahaja tindakan belum tentu akan dilakukan.

Berkenaan isu Mat Sabu yang seronok berceramah sehingga akhirnya mengundang pelbagai bantahan, isu ini sedang hangat diperdebatkan. Ramai yang membantah dan tersinggung dengan apa yang beliau katakan. Waris-waris mangsa serangan Bukit Kepong, bekas anggota pasukan keselamatan, polis, tentera dan golongan yang cintakan sejarah bermati-matian tidak bersetuju dan menganggap Mat Sabu telah menghina mangsa yang terkorban.

Ada juga yang menyokong kenyataan Mat Sabu dan cuba merungkai satu lagi kisah sejarah yang dikatakan telah 'dipadam' oleh kerajaan. Maka ramailah yang memberi pendapat dan ada usaha untuk menulis semula sejarah.

Berbalik kepada "action speaks louder than words", aku lihat ramai yang cakap nak ambil tindakan saman atau tindakan undang-undang terhadap Mat Sabu kerana kenyataannya berunsur fitnah dan penghinaan.

Ada juga yang memberi pelbagai label dan gelaran kepada Mat Sabu dek kerana keceluparannya. Buta sejarah, buta hati, pengkhianat bangsa, tali barut komunis, kurang ajar, biadab..dan pelbagai lagi. Itu aku tak peduli...

Apa yang patut dilakukan ialah, kalau benar Mat Sabu melakukan penghinaan dan fitnah, silakan ambil tindakan undang-undang dengan segera, jangan hanya bertempik dan berkokok sahaja. Jangan hanya pandai bercakap dan memberi amaran di media untuk meraih simpati. Aku tahu itu juga merupakan salah satu cara untuk menunjukkan rasa tidak puas hati dan bantahan. Tetapi, mana agensi kerajaan? Mana badan-badan yang memperjuangkan sejarah? Mana tindakan?

Lakukan sesuatu dengan tegas supaya kita yakin bahawa undang-undang di negara ini berkuasa menghukum orang yang bersalah. Jika mahu saman, teruskan. Tidak perlu memberi amaran, peringatan dan sebagainya. Itu hanya membuang masa. Mat Sabu orang politik, dia tidak sedikit pun gentar dengan peringatan dan amaran daripada anda yang merupakan rakyat biasa.

Sebab itulah kita perlu lakukan tindakan, bukan hanya bercakap sahaja. Aku tahu banyak NGO dan individu telah membuat laporan polis. Tapi adakah cukup dan berpuas hati setelah laporan dibuat? Pihak polis perlukan bahan bukti dan kerjasama daripada si pengadu. Maka laporan polis tidak patut hanya sekadar laporan tanpa sebarang tindakan diambil terhadap orang yang berkenaan. Buatlah follow up supaya tahu perkembangan kes dan bukannya serahkan bulat-bulat pada pihak polis.

Ingat sekali lagi, "action speaks louder than words". Jangan sampai orang menggelarkan kita sebagai "cakap tak serupa bikin" dan "melepaskan batuk di tangga" sahaja apabila melakukan sesuatu.

** Sebelum ni banyak kes penghinaan terhadap sultan, institusi diraja, agama Islam dan sebagainya. Banyak laporan polis dibuat, tapi apa keputusannya? Senyap je...
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lain-lain Cerita di OH BELOG!