Akhbar Tempatan

Madah Negarawan

Madah Negarawan

Popular Posts

Cabaran Menangkis Perspektif Negatif PDRM


Polis Diraja Malaysia (PDRM) – Sebuah institusi yang cukup gah namanya di negara ini telah berkhidmat selama 203 tahun kepada rakyat. Bukan sekadar gah pada nama tetapi juga gah pada kecemerlangan dan kecekapannya dalam aspek keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam. Coretan ini tidak bermaksud untuk memberi pujian tinggi melangit kepada PDRM tetapi penghayatan kepada protokol dan proses memahami bidang tugas kepolisan telah mengunjurkan satu sentimen untuk menghargai jasa dan peranan yang dimainkan pasukan ini sejak sekian lama. Amat wajar sekiranya ia diterjemahkan di sini untuk dikogsi bersama dengan pemikiran rasional tanpa tuduhan melulu.

Suatu ketika dahulu PDRM memperkenalkan lencana “Saya Anti Rasuah” yang dilekatkan di uniform setiap anggota polis sebelum ianya ditukarkan kepada lencana “Integriti Amalan Kita”. Lencana tersebut seperti yang kita fahami membawa mesej supaya setiap anggota polis perlu menjauhi amalan rasuah. Hakikatnya amalan rasuah sememangnya berlaku dan telah lama menular dalam institusi PDRM. Oleh sebab itulah kepimpinan PDRM sendiri mengambil inisiatif untuk membanteras gejala ini supaya integriti dan imej pasukan polis tidak diragui masyarakat. Namun, wujud pihak-pihak tertentu yang dilihat sangat sukar untuk mengubah stereotaip “polis makan rasuah” dan pelbagai caci maki dilemparkan terhadap PDRM termasuklah dengan mempersendakan lencana tersebut sebagai “Saya Nanti Rasuah”.

Amalan rasuah diakui berlaku melibatkan nilai yang kecil hinggalah kepada nilai jutaan ringgit. Namun apa yang dikesalkan masyarakat mengambil sikap ‘melihat dengan satu mata’ iaitu hanya melihat PDRM sebagai organisasi penguatkuasa yang mendominasi dan menjuarai amalan rasuah sejak dahulu lagi. Apakah kita tidak melihat organisasi penguatkuasa yang lain? Adakah kita tidak melihat amalan rasuah di negara lain? Rasuah wujud dan berlaku di mana-mana. Pandangan masyarakat terhadap imej PDRM sangat negatif lebih-lebih lagi mengenai gejala ini seolah-olah rasuah hanya berlaku di Malaysia dan PDRM sahaja.

Jika kita membincangkan mengenai rasuah kita akan dapati bahawa banyak lagi organisasi dan negara-negara yang masih lagi bergelut dengan amalan rasuah, sukar dibanteras dan lebih malang lagi amalan tersebut sudah sebati dan menjadi budaya di negara terbabit. Rasuah merupakan satu fenomena, satu isu global yang diketahui umum. Ada yang menyalahkan pihak polis kerana sengaja meminta suapan untuk membereskan kes yang dihadapi pesalah.

Ada juga yang menyalahkan pihak yang memberi sogokan kerana golongan inilah yang menyemai gejala tidak bermoral ini. Polemik ini tidak akan berpenghujung. Sebenarnya jika kita menggunakan analogi permintaan dan penawaran, kedua-duanya saling berhubung dan bergantungan untuk mewujudkan suatu urusniaga. Begitu juga dengan amalan rasuah, pihak yang memberi dan menerima atau meminta rasuah juga saling berhubungkait, bezanya mereka merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam merosakkan imej dan kepercayaan terhadap PDRM. Harus diingat bahawa tugas penguatkuasaan undang-undang merupakan amanah yang bukan mudah untuk dipikul PDRM. Kerjaya mereka melibatkan akses yang meluas terhadap orang ramai yang semestinya sangat terdedah kepada gejala rasuah dan risiko-risiko lain. Hal Ini merupakan faktor utama yang menyebabkan anggota polis terdedah kepada gejala rasuah.

Jangan kita bersuara mengatakan kita sudah tidak menaruh kepercayaan dan memandang serong terhadap PDRM kerana rasuah yang berleluasa, walhal masyarakat kita sendiri yang menyumbang dalam amalan keji ini. Realiti perlu diterima bahawa rasuah adalah satu fenomena yang takkan boleh dihapuskan. Ia seumpama kewujudan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah, banyak usaha untuk membasmi kegiatan ini namun tidak berjaya. Ternyata fenomena buruk seumpama ini bukan mudah untuk dihapuskan tetapi sangat perlu untuk dikurangkan kadar pelakuannya. Maka sudah tentu langkah memerangi rasuah habis-habisan sangat bertepatan dengan konsep pentadbiran yang cekap dan telus yang ingin diwujudkan di negara ini. Dalam masa yang sama kerajaan dan PDRM perlu berperanan untuk mengikis stereotaip tersebut agar tidak terus bersarang dalam minda dan pemikiran masyarakat hari ini.

Trend semasa juga memperlihatkan PDRM sering menjadi sasaran tohmahan dan tuduhan tidak berasas parti pembangkang dalam isu-isu tertentu yang dilihat membawa signifikan kepada survival politik mereka. Mengimbas kembali pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengenai wujudnya aktiviti penyebaran ideologi kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) dalam institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dituduh pihak tertentu sebagai sandiwara kerajaan yang cuba untuk mengalih perhatian rakyat daripada beberapa isu yang berlaku sekarang. Adakah penyusupan masuk JI ke dalam kampus bukan suatu isu yang serius? Wajarkah isu ini dipermain-mainkan dan diperlekeh? Kita patut melihat tindakan PDRM yang telah terlebih dahulu menghidu pergerakan tersebut sebagai langkah pre-emptive.

PDRM bertanggungjawab dalam segala hal keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam, maka satu pujian untuk pasukan ini kerana telah bertindak pantas mengesan kehadiran kumpulan pengganas yang cuba menghasut dan mempengaruhi mahasiswa dengan melakukan penyebaran ideologi ekstremis kepada mereka. Siapakah yang boleh memberi jaminan bahawa Malaysia benar-benar selamat daripada ancaman anasir luar lebih-lebih lagi dunia telah melabelkan rantau nusantara ini sebagai salah satu sarang ataupun pusat kegiatan pengganas yang dikehendaki. Sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat kita seharusnya memberi galakan dan sokongan kepada pasukan PDRM sebagai sebuah organisasi yang sebenarnya berkhidmat melindungi dan memastikan kehidupan masyarakat sentiasa aman dan selamat.

Amalan menuding jari dan meletakkan beban kesalahan kepada PDRM hanyalah satu perkara yang mampu meruncingkan keadaan, menggoyahkan kepercayaan rakyat dan melunturkan semangat pasukan tersebut. Ini terbukti dengan kes Aminulrasyid yang ditembak mati oleh seorang anggota polis dalam satu kejadian beberapa bulan lalu. Secara peribadi, kes ini dilihat mempunyai unsur tindakan refleks daripada naluri curiga seorang anggota polis apabila berhadapan dengan suspek dan keadaan yang tidak dijangka sehingga membuatkan beliau melepaskan tembakan. Malangnya tembakan tepat tersebut menjadi satu musibah buat anggota polis tersebut dan PDRM secara amnya apabila institusi penguatkuasaan ini merudum imejnya lantaran teruk dihentam dan dikritik, menjadi sasaran golongan tertentu melemparkan pelbagai kata-kata kesat sebagai tanda protes dan meluahkan rasa tidak puas hati dengan PDRM.

Bagi ‘memeriahkan’ lagi bahang suasana tersebut, ada pihak yang menubuhkan kumpulan ‘Justice for Aminulrasyid’ dan ‘Kami benci terhadap kekejaman polis Malaysia’ di laman sosial Facebook. Di ruangan maya tersebut terhamburlah segala kata makian dan cercaan terhadap pasukan PDRM demi kerana konon-kononya memperjuangkan keadilan bagi seorang remaja yang berusia 15 tahun. Walaupun demikian, sekalung penghargaan buat pihak yang masih boleh berfikir secara waras, rasional dan dapat menilai pro dan kon terhadap kes dramatik tersebut. Ironinya kewujudan kumpulan tersebut hanyalah sekadar hangat-hangat tahi ayam dan selepas beberapa minggu berlalu, owner kumpulan tersebut telah menghilangkan diri dan akaun kumpulan tersebut tidak lagi aktif. Mana pergi mereka yang dikatakan berjuang dan bersuara demi keadilan? Pada ketika itu kes tersebut masih lagi dalam perbicaraan tetapi segelintir masyarakat terlalu bersikap emosional dan meletakkan 100 peratus kesalahan terhadap pasukan polis. Sebagai rakyat sememangnya kita diakui mempunyai hak untuk bersuara dalam batas-batas tertentu tetapi adakah dengan cara ini kita boleh memberikan semula nyawa kepada Aminulrasyid?

Ini menggambarkan masyarakat kita masih belum matang dalam menilai dan menganalisis sesuatu kejadian jenayah. Memang benar kerana masih ada yang mempertikaikan mengapa pihak polis sering menembak mati kumpulan penjenayah? Adakah tindakan yang perlu dilakukan pihak polis perlu menepati citarasa rakyat? Untuk apa anggota polis bertindak jika segala tindakan mereka hanyalah mengundang kecaman dan kritikan masyarakat?

PDRM bukan sebuah organisasi yang baru lahir dan baru menguatkuasakan undang-undang. Anggotannya telah dilatih untuk berhadapan dengan situasi getir dalam menjalankan tugas di samping perlu mematuhi segala SOP (standard operating procedure) yang ditetapkan. Walaubagaimanapun, anggota polis tetap seorang manusia yang kadangkala melakukan kesilapan. Tidaklah wajar untuk kita memandang kesilapan tersebut sebagai kecuaian dan salah laku PDRM secara keseluruhan seolah-olah mereka langsung tidak boleh membuat kesilapan dalam menjalankan tugas.

Dalam kes-kes tertentu seperti kes A. Kugan (sekadar menyebut satu kes) pihak polis dikatakan menggunakan kekerasan dan perbuatan salah laku sehingga menyebabkan kematian suspek ketika berada dalam tahanan. Kebenaran kebiasaannya akan terserlah dan individu yang dikatakan melakukan kekerasan tetap akan dihukum sekiranya didapati bersalah oleh mahkamah. Kita perlu membiarkan proses penghakiman dijalankan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. Persoalannya, mengapa hanya kes tertentu mendapat perhatian pihak berkepentingan? Dan mengapa ia sengaja disensasikan dengan mengaitkannya dengan isu perkauman? Semua ini merupakan salah satu cubaan untuk menjejaskan imej PDRM dengan cara menyebarkan propaganda dan agenda jahat mereka untuk mempengaruhi pemikiran rakyat supaya membenci pasukan polis. Maka tersebarlah nama baru PDRM iaitu “Polis Raja di Malaysia” dengan tujuan untuk menggambarkan bahawa pihak polis sangat rakus melakukan apa-apa tindakan mengikut kehendak sendiri tanpa dapat dibendung lagi.

Perbuatan ini juga merupakan satu bentuk ancaman kepada institusi PDRM, tetapi malangnya ancaman ini datangnya daripada masyarakat kita sendiri yang mempunyai agenda tersembunyi. Kita tidak boleh membiarkan ancaman ini berleluasa dan terus menimbulkan satu lagi persepsi buruk terhadap PDRM.
Sesungguhnya setiap kejadian yang berlaku ada hikmahnya dan tiada apa di dunia ini yang benar-benar bersih daripada segala permasalahan. Kelibat anggota polis sentiasa diperhatikan dan setiap kesilapan akan dijadikan point untuk merendah-rendahkan martabat pasukan ini. Cabaran sebegini sudah tentu dihadapi oleh mana-mana badan penguatkuasa kerana undang-undang itu lebih sukar untuk ditegakkan berbanding dikhianati. PDRM juga merupakan agensi kerajaan yang paling banyak menerima kritikan dan aduan daripada masyarakat dan perkara ini seharusnya dijadikan iktibar bagi warga PDRM kerana seragam biru yang disarung itu senantiasa diekori oleh lirikan mata banyak pihak di negara ini.

Cabaran menangkis segala persepsi buruk bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan kerana di negara ini, polis dilihat sebagai alat kerajaan dan golongan yang sering mencari kesalahan orang ramai berbanding rakyat di negara maju yang memberi kepercayaan kepada pihak polis untuk menguatkuasakan undang-undang yang digubal. Maka apa yang diperlukan pasukan PDRM untuk terus cemerlang dalam perkhidmatan adalah satu bentuk kepercayaan, sokongan padu dan kerjasama berterusan daripada semua pihak khususnya anggota masyarakat yang sentiasa diyakini memerlukan PDRM demi kesejahteraan sosial sebagaimana PDRM juga memerlukan masyarakat untuk membantu melancarkan tugasan seharian yang melibatkan pelbagai kes.

Peningkatan dan penambahbaikan mutu perkhidmatan pasukan ini sedang dijalankan selari dengan tuntutan kerajaan yang memperkenalkan enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) termasuklah usaha mengurangkan kadar jenayah dan memerangi rasuah. Hal ini amat penting dalam mewujudkan satu nilai kebertanggungjawaban dalam diri para pentadbir awam khususnya anggota PDRM itu sendiri.


Stereotaip atau persepsi buruk terhadap PDRM sewajarnya dikikis dan tidak diserap dalam minda generasi hari ini kerana baik buruk PDRM ia tetap merupakan sebuah organisasi yang termaktub mempunyai prioriti dalam menggerakkan penguatkuasaan undang-undang dan setia terhadap kerajaan mana yang memerintah negara ini.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lain-lain Cerita di OH BELOG!