Akhbar Tempatan

Madah Negarawan

Madah Negarawan

Popular Posts

Ubah format dan konsep UPSR, mansuhkan PMR

Belakangan ini banyak perubahan atau pindaan yang ingin dilaksanakan kerajaan. Salah satunya termasuklah desas-desus untuk memansuhkan UPSR dan PMR. Seperti biasa ramai yang mengusulkan pandangan sama ada menyokong atau menentang termasuklah yang memandang sinis terhadap niat tersebut dengan melemparkan bermacam-macam kata-kata sindiran atas faktor fahaman politik.

Agak merimaskan sebenarnya apabila polemik pemansuhan peperiksaan tersebut dibiarkan berlarutan kerana banyak pihak tertunggu-tunggu apakah keputusan sebenar kerajaan. Malang apabila isu ini disensasikan dan dipolitikkan pihak tertentu kerana memakan masa yang lama untuk dimuktamadkan. Dalam masa yang sama bagi mereka yang celik, sesuatu keputusan untuk rakyat yang menentukan halatuju dan kesejahteraan bersama yang hendak dibuat memerlukan kajian mendalam dan mengambil kira pandangan semua pihak termasuklah pakar, bukannya hentam semberono dan terburu-buru.

Seharusnya pindaan, rombakan atau penstrukturan semula tidak harus dilakukan secara kerap kerana ia akan mengundang tanggapan negatif masyarakat dan inilah yang menyebabkan kerajaan dituduh flip-flop dalam melaksanakan sesuatu keputusan.

Berkenaan dengan peperiksaan UPSR dan PMR, secara peribadi, PMR memang wajar dimansuhkan tetapi tidak bagi UPSR berdasarkan justifikasi berikut. UPSR perlu dikekalkan atas dasar ia menjadi penunjuk aras pencapaian dan keupayaan pelajar sekolah rendah dalam menerima pendidikan formal selama enam tahun seterusnya dapat menilai keberkesanan pelajaran dan pembelajaran di sekolah. Pencapaian pelajar-pelajar dalam UPSR selama ini dikatakan meningkat dan peratusan semua lulus dan 100% A juga dikatakan bertambah. Jadi mengapa ia perlu dimansuhkan?

Kejayaan tersebut belum memadai kerana masih banyak sekolah luar bandar menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan. Tahap pencapaian pelajar-pelajar juga bergantung kepada kaedah pengajaran dan cara pemahaman yang cuba disampaikan oleh para guru. Sekolah-sekolah juga sentiasa cuba meletakkan sasaran untuk menjadi lebih baik dengan mengadakan program-program kecemerlangan, kursus, kelas tambahan dan sebagainya untuk para pelajar. Ini menunjukkan usaha yang dipamerkan setiap warga pendidik amat baik kerana adanya UPSR yang secara tidak langsung memperlihatkan usaha guru dan pihak sekolah dalam memberikan sesuatu yang terbaik kepada pelajarnya untuk mnghadapi UPSR.

Tambahan pula dewasa ini kerajaan telah menetapkan bahawa dalam tempoh tertentu pada masa akan datang, setiap bakal guru yang akan mengajar di sekolah rendah perlu memiliki kelayakan ijazah bagi memikul tugas tersebut berbanding kelayakan yang lebih rendah sebelum ini. Ini menunjukkan warga pendidik yang diamanahkan untuk memberikan pendidikan sekolah rendah kepada anak-anak telah dinaiktaraf kelayakannya.

Sudah tentu kesemua mereka ini diberikan kepercayaan untuk mengajar dengan sebaiknya para pelajar selama mereka berada di peringkat sekolah rendah. Kemuncaknya, UPSR menjadi penentu kepada sejauh manakah kelayakan tinggi yang dimiliki para guru mampu menyediakan pelajar yang cemerlang dalam UPSR sekaligus peperiksaan tersebut menjadi cabaran kepada para guru dan pelajar untuk menempuhinya. Jadi adakah wajar UPSR dimansuhkan setelah langkah penyediaan guru yang lebih berkualiti diambil?

Soal sistem pembelajaran sekarang berorientasikan peperiksaan sepatutnya tidak timbul kerana peperiksaan itu perlu dan keputusan untuk memansuhkannya dirasakan tidak tepat kerana kita mungkin mempunyai alternatif lain.

Apa gunanya jika UPSR dimansuhkan tetapi diganti dengan peperiksaan lain? Ianya sama sahaja dan kita janganlah menjadikan perkara ini sebagai jenaka dengan memansuhkan UPSR tetapi selepas itu diwujudkan pula peperiksaan lain. Ianya tetap peperiksaan. Alternatif yang mungkin boleh dilaksanakan ialah mengekalkan UPSR tetapi konsep atau format peperiksaan tersebut perlu diubah, tidak hanya berteraskan peperiksaan bertulis sahaja tetapi mungkin boleh ditokok tambah dengan elemen lain dengan turut menyertakan sekali pemarkahan dalam pencapaian luar kelas, keterampilan, mock interview atau kerja kursus mengikut tahap kesesuaian peringkat umur pelajar supaya lebih dinamik dan mengikut spesifikasi yang diinginkan dalam melahirkan pelajar yang lebih berkualiti dan tidak terlalu bergantung dengan keputusan peperiksaan bertulis semata-mata.

Maka dengan itu para pelajar juga tidaklah terlalu memfokuskan kepada pelajaran akademik sahaja tetapi mereka juga perlu mengambil bahagian dan menonjolkan kemampuan dalam setiap elemen yang akan ditetapkan dalam 'peperiksaan baru' tersebut sepanjang tempoh persekolahan mereka selama enam tahun dan bukannya hanya bersedia pada saat-saat akhir peperiksaan sepertimana yang sering kita dengar dari mulut para pelajar sebagai last minute study.

Atau, mungkin sudah tiba masanya sekolah-sekolah sama ada sekolah rendah mahupun menengah memulakan sistem pointer iaitu dengan mengumpul purata nilaian gred (PNG) dan purata nilaian gred keseluruhan (PNGK) seperti yang telah diamalkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan di peringkat universiti. Walaubagaimanapun, sistem ini agak rumit jika hendak dilaksanakan di sekolah rendah. Justeru, satu mekanisme baru perlu diwujudkan dengan menggunapakai atau mengaplikasikan sistem ini tetapi disuaipadankan dengan tahap sekolah rendah agar ia lebih relevan.

Melalui sistem ini pemarkahan pelajar ditentukan berdasarkan peratusan tertentu yang telah ditetapkan untuk beberapa elemen setiap semester sepanjang tempoh persekolahan. Sebagai contoh, 40% daripada markah peperiksaan bertulis UPSR akan ditambah dengan kerja kursus (10%), kehadiran (10%), partisipasi dalam kelas, (10%) , dan ko-kurikulum (30%) setiap semester. Kesemua markah tersebut akan dikumpulkan dan dikira sebagai purata lalu diterjemahkan sebagai keputusan keseluruhan UPSR serta diberikan gred bagi setiap matapelajaran. Ini bermakna purata markah yang telah dikumpulkan sejak darjah 1 hingga 6 akan menunjukkan keupayaan dan nilai sebenar seseorang pelajar itu.

PMR pula dilihat lebih wajar untuk dimansuhkan kerana ia sekadar satu platform untuk menempatkan pelajar ke sekolah tertentu dan aliran tertentu apabila mereka menginjak di tingkatan empat dan lima (menengah atas). Mungkin ada yang menyatakan PMR boleh dijadikan sebagai medan untuk menebus kesilapan dan kegagalan UPSR agar pelajar tertentu boleh berhijrah dari sekolah menengah harian biasa ke sekolah berasrama penuh (SBP) atau ke MRSM atau mana-mana sekolah elit setelah mereka memperoleh keputusan yang cemerlang dalam PMR. Ya, mungkin alasan tersebut boleh dijadikan sandaran tetapi adakah menempatkan diri di sekolah pilihan menjadi keutamaan berbanding keputusan cemerlang yang perlu diperoleh?

Di sinilah kita dapat lihat mengapa perlunya UPSR dikekal dan diperkasakan supaya para pelajar mempunyai kesedaran dari awal lagi untuk berusaha dan meningkatkan kemahiran insaniah agar dapat menempatkan diri di sekolah elit dengan pencapaian membanggakan apabila mereka berada di peringkat sekolah menengah. Kita tidak mahu PMR sekadar dijadikan alat untuk menebus kembali kegagalan UPSR seolah-olah peperiksaan tersebut merupakan talian hayat bagi mereka yang lambat menerima kesedaran. Kita tidak mahu apabila calon UPSR mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan, mereka akan menaruh harapan pula kepada PMR dengan kata-kata ini, "tak apa, PMR nanti aku nak berusaha lebih baik". Ia menggambarkan para pelajar gemar bertangguh dan terlalu mengharap kepada peluang kedua untuk mencapai kejayaan. Tanggapan ini perlu diubah kerana peluang yang ada harus kita rebut dan dimanfaatkan sepenuhnya serta mengelakkan diri daripada terlalu bergantung kepada peluang kedua yang mungkin memakan diri sendiri jika disia-siakan. Mengapa tidak? Amat malang jika seorang pelajar menjadikan PMR sebagai sandaran untuk menebus kegagalan lalu dalam UPSR turut menerima kegagalan yang sama.

Selain itu dengan kewujudan PMR telah memberi tekanan kepada para pelajar khususnya apabila mereka berada di tingkatan tiga. Jika sekolah rendah hanya mempunyai satu peperiksaan iaitu UPSR sepanjang enam tahun persekolahan, mengapa di peringkat sekolah menengah para pelajar perlu menghadapi dua peperiksaan iaitu PMR dan SPM dalam tempoh lima tahun persekolahan? Ketepikan soal peringkat umur, tetapi fokuskan kepada faktor masa. Tempoh masa lima tahun persekolahan tetapi perlu menghadapi dua peperiksaan besar dilihat membebankan pelajar. Adalah lebih baik jika 'halangan' yang perlu dilalui pelajar tingkatan tiga dihapuskan kerana ia akan menawarkan satu nilai masa dan ruang yang selesa bagi pelajar meneruskan pelajaran dan kegiatan luar kelas tanpa dikenakan sekatan dan tekanan peperiksaan.

Perlu diketahui bahawa terdapat sekolah yang menghadkan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum apabila mereka berada di tingkatan tiga dengan sebab mereka harus menumpukan kepada soal akademik dan banyak program ilmiah telah dirangka pihak sekolah sebagai persediaan untuk menghadapi PMR. Ini merupakan satu bentuk tekanan kepada para pelajar kerana keinginan mereka untuk bergiat aktif dalam aktiviti luar kelas telah dinafikan atas faktor bimbang tumpuan dan keputusan peperiksaan yang bakal dihadapi akan terjejas.

Maka kewajaran untuk memansuhkan PMR dilihat lebih relevan dan kerajaan perlu melihat pendidikan sekolah rendah sebagai prioriti dalam usaha membentuk generasi berilmu dan berkemahiran dalam pelbagai bidang kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lain-lain Cerita di OH BELOG!